2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Mingguan Malaysia 22 April 2001

Antara kenyataan dan impian hak asasi manusia

Isu minggu ini oleh ABDULLAH AHMAD
HAK Asasi Manusia (human rights) adalah satu idea bahawa setiap orang dilahirkan dengan beberapa hak asasi mutlak termasuk kebebasan berpolitik yang tidak seharusnya dinafikan kepadanya oleh kerajaan/pemerintah.

Konsep Hak Asasi ini bermula di Eropah dan mengikut perisytiharan Majlis Perhimpunan Kebangsaan Perancis pertama (First National Assembly of France) kejahilan, pengabaian atau ketiadaan hormat terhadap hak asasi adalah punca berlakunya kelakuan buruk, tidak prihatin, penderitaan rakyat, musibah rasuah dan kerajaan/pemerintah/pemimpin/pegawai makan suap (korupsi).

Frasa Peranchis droits de I'homme - atau dalam bahasa Inggeris ``the rights of man'' dan dalam bahasa ibunda kita hak asasi rakyat - adalah satu hak semula jadi yang diperjuangkan oleh ahli falsafah politik Inggeris John Locke pada kurun ketujuh belas.

Kita hamba Allah sebenarnya pada teorinya dilahirkan sama rata dan bebas, tetapi setelah kita besar dan harta benda kita bercampur gaul dengan hak umum, kita menyerahkan pentadbiran hal ehwal kita dan umum dan tempat tinggal kepada kerajaan/pemerintah. Tanpa penyerahan demikian akan wujud masyarakat rimba.

Selepas revolusi Amerika dan revolusi Perancis, hak asasi manusia meningkat hinggalah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan Deklarasi Sejagat (Universal Declarations of 1948) dan impaknya lebih terserlah apabila nama itu diubah kepada Hak Asasi Manusia.

Dalam tahun 1950an dan 1960an, perjuangan hak asasi manusia tertumpu kepada agitasi menentang perbezaan kulit di Amerika Syarikat dan apartheid di Afrika Selatan. Setelah kemenangan tercapai dan hak sivil orang kulit hitam terjamin dan mereka sekaligus diberi hak politik, agitasi tentang Hak Asasi Manusia mencari medan perang baru lazimnya di negara-negara membangun bermula dengan Presiden Jimmy Carter (1977-81).

Agitasi meningkat kembali dan menjadi satu fesyen perjuangan politik zaman pentadbiran Bill Clinton dan bermulanya agitasi hak asasi manusia secara serius di Malaysia. Apabila bekas Naib Presiden Amerika Syarikat Al Gore ketika persidangan APEC di Kuala Lumpur telah menghasut puak reformasi dan penyokong-penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim bangun beramai-ramai menentang kerajaan Barisan Nasional dan menggulingnya. Tabii bukan adat Melayu - demonstrasi jalanan - menjadi ikutan mereka yang pro-Anwar dan Amerika Syarikat hingga ke hari ini dan penulis menjangka hingga masa ke muka kelak, ia akan terus berlaku kalau kerajaan segan bertindak tegas mulai sekarang.

Kemuncak agitasi menjadikan Hak Asasi Manusia matlamat agenda pihak tertentu dan kerajaan kita terasa terdesak menubuhkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Musa Hitam (banyak lagi negara yang dianggap lebih demokratik daripada kita belum mewujudkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia). Suhakam sekaligus bagai bantal diberi kepada orang yang mengantuk. Penulis tidak membangkang atau menyambut Suhakam. Sebenarnya Suhakam adalah seperti serampang dua mata.

Perhatian penulis tertarik kepada kenyataan Dr. Chandra Muzaffar yang selayang pandang penulis dia tidak bersetuju dengan tunjuk perasaan menentang kerajaan kerana rakyat ada wadah lain seperti pilihan raya umum untuk memperlihatkan ketidaksetujuan mereka dengan dasar-dasar yang ada. Chandra Muzaffar sudah bersetuju dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad bahawa pada umumnya rakyat tidak dapat menerima demonstrasi jalanan yang menggugat dan mengancam kehidupan rakyat yang lazimnya aman damai ini.

Kita bukan Indonesia atau Thailand tetapi kita juga tidak keras seperti Singapura. Demokrasi sudah sebati dengan rakyat kita mulai tahun 1955 lagi. Tiada lain jalan bagi mendapat kuasa di negara ini melainkan melalui pilihan raya. Pas telah menguasai Kelantan dan Terengganu dan potensinya untuk menang pada pilihan raya akan datang wujud seperti juga potensi UMNO untuk mendapatkan balik kedua-dua negeri itu ada pada teorinya. Sama ada ia menjadi kenyataan terpulang kepada kebijaksanaan dan penerimaan rakyat di kedua-dua buah negeri itu terhadap Pas dan UMNO.

Penulis menerima baik laporan Suhakam yangmengiktiraf rekod dan amalan hak asasi manusia di negara tercinta ini sebagai baik walaupun ada beberapa hal yang harus diperbetulkan seperti juga wujudnya kelemahan amalan hak asasi manusia yang boleh dikritik di Amerika Syarikat, di Perancis dan di England apalagilah di negara-negara jiran.

Musa pernah menjadi Menteri Dalam Negeri dan dia tahu bagaimana sukarnya mengambil tindakan atau menguatkuasakan sesuatu undang-undang terutama Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam sesuatu kes yang mengancam keselamatan negara, contohnya seperti peristiwa Memali. Kehadiran Musa sebagai Pengerusi Suhakam amat bermanfaat kepada kerajaan dan juga kepada rakyat. Kini Musa bertindak sebagai referee antara penguatkuasaan undang-undang dan mereka yang menjadi mangsanya.

Pengalamannya sebagai bekas menteri, pengkritik kerajaan dan pembela rakyat amat menguntungkan semua pihak, namun begitu kita berada di Malaysia bukan di Eropah. Maka segala perubahan jika perlu diwujudkan mestilah berasaskan kepada acuan negara dan bangsa kita bukan mengikut acuan mereka yang kononnya menegakkan hak asasi manusia tetapi terus menekannya melalui kekuasaan ekonomi melintasi globalisasi.

Kita harus berwaspada dengan idea liberal demokrasi Barat yang menghantui pihak-pihak yang mahu menyamakan diri mereka sebagai liberal tetapi apakala hak asasi manusia dicabuli terang-terangan di Baitul Muqqadis dan di wilayah pemerintahan Palestin, liberal barat dan liberal Malaysia berdiam diri seribu bahasa.

Liberal Malaysia hanya berani menegur tindakan kerajaan mereka yang kalau dikira kekejamannya bagai satu titik embun (inipun kalau mereka melanggar undang-undang) dalam Lautan Pasifik dan Atlantik! Kita telah lihat liberal Barat yang bermuka dua talam itu di Palestin, di Bosnia, di Kosovo, Serbia di Timor Timur - daerah di mana orang Kristian menjadi majoriti tapi berdiam diri di Acheh. Mereka hanya bising kalau rakyat Kristian dan Yahudi menjadi mangsa tetapi tidak kalau mangsa itu Islam, Buddhist atau lain.

ISA masih diperlukan untuk menangkis ancaman bagi memastikan ancaman daripada puak antinasional dalam dan dari luar terkawal. Ia juga perlu bagi memastikan pertumbuhan ekonomi berterusan dan menjamin rakyat hidup aman dan tenteram.

Penulis bangga dengan ketegasan Dr. Kassim Ahmad, bekas presiden Parti Rakyat yang menjadi idola Dr. Syed Husin Ali dan kawan-kawannya, yang selama lebih tiga dekad secara terang-terangan menegaskan ISA hanya wajib buat tempoh tertentu, yakni sehingga negara kita ini tidak lagi menjadi sasaran kepada pengacau-pengacau perkauman dan anasir-anasir antinasional yang ekstremis lagi agresif yang mahu menegak negara ciptaan mereka melalui kekerasan; apabila ekonomi kita tidak lagi diancam oleh mereka dari dalam dan luar yang anti Dasar Ekonomi Baru yang mahu terus membantu meningkatkan taraf hidup Melayu; apabila orang Melayu dan bumiputra benar-benar terasa terjamin negara mereka akan terus diperintah, dicorak dan ditujuhala mereka sendiri.

Kassim seperti juga penulis menjadi mangsa ISA selama lima tahun Ñ dua tahun antaranya kami dikurung solitari iaitu keseorangan. Kami telah dibebas kan pada akhir bulan Julai 1981 oleh Dr. Mahathir dan Musa tanpa syarat. Syed Husin, pejuang menentang ISA, telah menerima syarat kerana mahu kebebasan pada tahun 1980. Itu pilihannya tersendiri tetapi dia bersumpah tidak akan menerima syarat. Pada akhirnya Kassim dengan penulis antara tapol (tahanan politik) yang tidak berganjak bagi menegak prinsip: Kami tidak bersalah, kami dianiayai kerana kegilaan kuasa politik segolongan pelampau UMNO yang berkuasa waktu itu atas desakan beberapa kuasa asing yang mahu melihat Malaysia di bawah telunjuk mereka.

Penulis dan Kassim menentang hebat penyalahgunaan ISA yang diperalatkan untuk mengekalkan kuasa peribadi. Kami tidak mempunyai ramai pengikut seperti ``wira-wira kuasa asing'' sekarang dan kami ditahan semata-mata kerana dendam politik. Bagaimana kami bisa mengancam negara sedangkan tiada demonstrasi jalanan ketika itu, apalagi sokongan dari luar.

Kassim dan penulis sedar pahit maung dalam tahanan seorang diri, diserang beribu nyamuk, lock-up gelap gelita, kotor, penderitaan batin, minda dan kesayuan hati dan kehibaan tidak terhingga terkenang anak dan isteri, kawan dan saudara mara. Penulis tidak mahu ISA dipergunakan kerana muslihat politik tetapi seperti Kassim, penulis juga tidak membangkang kalau ISA benar-benar digunakan bagi mengelakkan huru-hara yang akan membakar bumi tercinta ini oleh kumpulan yang berniat bagi melaksanakan objektif politik sebuah kuasa asing walau bagaimanapun hebat kuasa itu.

Singapura dipandang lebih demokratik daripada kita oleh Amerika Syarikat dan Eropah kerana Singapura tidak melaung menentangnya lagi pada hal undang-undang ISA di Singapura dan undang-undang pilihanrayanya ketat dan penguatkuasaannya berani, tegas, tanpa kasihan belas, sebab itu Lee Kuan Yew, Goh Chok Tong ditakuti kalau pun tidak disayangi.

Kita mesti pilih: Mahu dihormati atau populariti? Penulis termimpi-mimpi pada satu hari demokrasi akan menghancur negara kita seperti demokrasi sedang membinasakan Indonesia hari demi hari. Pelajarilah demokrasi acuan Cina Singapura. Bukankah kita Melayu/Malaysian maka ikutlah acuan Melayu-Malaysian kenapa acuan Washington, London hatta acuan liberal?

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi