2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Mingguan Malaysia 22 April 2001

Upacara `mistik' sambut 1 sura

Jakarta Oh Jakarta bersama ZULKIFLEE BAKAR
REPUBLIK Indonesia sememangnya memiliki alim ulama yang bertaraf kiai dan di negara itu jugalah terdapat ribuan pondok pengajian agama.

Namun pada masa yang sama Indonesia juga memiliki beribu-ribu dukun atau paranormal yang menjalankan kegiatan mereka dalam dunia mistik tanpa sebarang sekatan.

Apa yang malang sebahagian besar mereka merupakan orang Islam yang amat memahami bahawa tiada tempat lain untuk kita sembah dan meminta pertolongan melainkan kepada Allah s.w.t.

Minggu ini penulis akan memaparkan mengenai satu perayaan yang dikenali sebagai `Perayaan 1 Sura.' Apa yang menarik perayaan ini jatuh bersamaan dengan sambutan tahun baru Hijrah pada 1 Muharam.

Sambutan 1 Sura adalah perayaan bagi menyambut tahun baru Jawa yang memasuki tahun 1934. Tahun ini perayaan yang penuh dengan acara yang bernuasai `kepercayaan' Jawa itu telah diadakan di Taman Mini Indonesia (TMI) yang terletak di Jakarta.

Acara itu disertai oleh beratus-ratus paranormal yang dianggap cukup popular dan terkenal di Indonesia.

Seorang paranormal yang mengikuti sambutan berkenaan, Cak Narto memberitahu wartawan bahawa `tema' sambutan tahun ini bertajuk `inti bumi.'

``Ini adalah bersesuaian dengan situasi Indonesia sekarang yang sedang dilanda pelbagai masalah. Melalui upacara ini kita berharap semua pihak akan menyedari kesilapan dan tanggungjawab masing-masing,'' katanya.

Menurut beliau, melalui acara itu mereka berharap Indonesia akan diberikan kemakmuran, khususnya untuk rakyat.

``Jika kita semua sebagai rakyat tidak mahu masalah negara ini berlanjutan kita harus berusaha untuk mengubah nasib diri sendiri,'' katanya.

Justeru itu semua paranormal yang menghadiri upacara sambutan berkenaan menganggap apa yang terjadi di Indonesia sekarang ialah satu cubaan sekali gus peringatan daripada Allah s.w.t.

Acara sambutan sampai kemuncaknya apabila ia memasuki apa yang dikenali sebagai upacara `Tirta Husada.' Ketika ia berlangsung pelbagai barang pusaka yang kononnya dianggap mempunyai kekuatan ajaib dipamerkan.

Antara barang-barang itu termasuklah tombak kiai Thole daripada Sultan Hamengku Buwono ketujuh, keris Buddha abad ke-8, badik Mataram dan Tombak Demak yang kononnya milik Sunan Kalijogo - salah seorang wali songo - sembilan wali terkenal di Nusantara.

Tirta bererti `air,' manakala Husada ertinya `penyembuhan,' oleh itu upacara tersebut disebut `air penyembuhan.' Upacara itu diadakan bagi memberi air berkenaan secara percuma kepada orang ramai yang hadir.

Sebelum diberikan kepada orang ramai, paranormal yang hadir akan `mengisi' air berkenaan dengan pelbagai jampi serapah. Orang ramai menganggap air berkenaan sebagai air `mukjizat.'

``Air itu merupakan gabungan air bersih yang belum tercemar dari seluruh dunia, antaranya termasuk dari Sungai Jamuna dan Sungai Ganga di India serta beberapa pergunungan di Indonesia,'' kata seorang paranormal.

Paranormal itu mendakwa, air berkenaan mempunyai kekuatan dan mukjizat seperti menyembuhkan pelbagai penyakit, awet muda dan memulihkan segala penyakit lemah batin.

Justeru itu tidak hairanlah apabila pihak penganjur menjemput orang ramai mengambil air berkenaan, mereka berebut-rebut mendapatkan air yang dianggap suci ini.

Tindakan orang ramai itu telah menimbulkan kekecohan sehinggakan pihak penganjur terpaksa `mengerah' seekor gajah yang turut terlibat dalam sambutan 1 Sura itu untuk menghalang serbuan orang ramai.

Walaupun ditawarkan secara percuma oleh seorang rakan, penulis tetap menolak pemberian air berkenaan kerana meragui kebersihannya, apatah lagi apabila melihat gelagat paranormal ketika mereka menjampi air tersebut.

Lagipun, penulis keliru dengan maksud upacara itu kerana ketika mereka menganggap ia diadakan bagi memohon pertolongan daripada Allah tetapi pada masa yang sama upacara berkenaan penuh dengan unsur-unsur syirik.

``Jangan bimbang mas, mereka yang menyertai acara ini terdiri daripada paranormal yang kuat agama Islamnya,'' kata seorang teman yang mewakili salah sebuah media tempatan.

Upacara pada malam itu diteruskan dengan doa kitab agung sura. Ia diikuti oleh mereka yang dikatakan memegang moto hidup `Jumangkah Lumampah Sucining Pratiri' yang bermaksud langkah perjalanan yang disertai tekad dan kesucian hati ini diharapkan untuk merawat bumi pertiwi.

``Kita berharap melalui acara ini Indonesia akan terlepas daripada sebarang gangguan dan cubaan serta menjadi aman tenteram kembali,'' kata seorang lagi paranormal.

Sebenarnya, bagi sesetengah masyarakat Jawa yang menyambut ketibaan 1 Sura ini, mereka sudah melakukan sambutan sehari sebelumnya iaitu pada malam 1 Sura.

Pelbagai cara peringatan dilakukan dan disertai pelbagai upacara yang kononnya bertujuan untuk membersihkan diri daripada segala sifat keburukan yang ada.

Begitulah juga yang dilakukan oleh Kumpulan Kuda Lumping (kepang) yang akan bertanggungjawab membuat persembahan pada hari 1 Sura di TMI, Jakarta itu.

Tepat pukul 12 tengah malam, mereka akan membasuh semua benda yang dianggap mempunyai semangat `mistik' dengan air bunga serta disapu minyak dan diasapkan dengan kemenyan.

Di samping itu setiap anggota diwajibkan melakukan puasa seperti `puasa mutih' iaitu hanya berbuka dengan nasi kosong dan air sahaja selama tiga hari.

Ia kemudiannya diakhiri dengan puasa `patigeni' iaitu tidak makan dan minum serta berkurung di dalam bilik selama sehari semalam.

Kononnya, perbuatan itu dilakukan untuk membersihkan diri dan mengasah ketajaman ilmu yang dimiliki kerana mereka menganggap bulan Sura adalah bulan paling baik untuk tujuan berkenaan.

Ketika hendak mengadakan persembahan pula, mereka akan membuat garis yang kononnya satu pagar ghaib sebagai perlindungan daripada sebarang gangguan makhluk halus.

Selain itu, sebilah keris yang dibalut dengan kain hitam diletakkan di satu sudut bersama pelbagai jenis makanan serta kemenyan dan bunga-bungaan.

Para penonton dilarang sama sekali bersiul ketika persembahan kuda kepang sedang dijalankan. Ini kerana kononnya bagi kumpulan kuda kepang itu, siulan merupakan panggilan atau cabaran bagi seseorang yang jiwanya telah dirasuk jin atau syaitan.

Malah anggota kumpulan berkenaan mendakwa, walau di mana juga seseorang itu bersiul, mereka pasti akan mengetahui siapa yang melakukan perbuatan itu.

Anggota kuda kepang ini diawasi oleh seorang dukun yang dikenali sebagai `Mbah Wo Kucing' yang dikatakan handal untuk menyembuh sesiapa juga yang dirasuk oleh makhluk halus.

Sememangnya sambutan 1 Sura adalah salah satu upacara yang melibatkan sesetengah umat Islam di Indonesia tetapi penuh dengan acara yang bertentangan dengan Islam sendiri.

Mereka menganggap apa yang mereka lakukan telah diamalkan sejak turun-temurun dan begitu yakin bahawa ia boleh membawa berkat kepada mereka.

Tetapi malangnya sepertimana dalam sambutan 1 Sura itu, penulis melihat sendiri bagaimana pembaziran berlaku dengan sewenang-wenangnya.

Makanan yang disediakan untuk upacara itu kemudiannya dicampak entah ke mana dan bukannya diberikan kepada orang ramai yang sebahagian besar terdiri daripada warga miskin di kota Jakarta.

Walaupun upacara itu bertentangan dengan Islam, namun tidak ada ulama atau para kiai yang mahu menegur perbuatan tersebut kerana mereka menganggap ia adalah kebebasan bagi setiap warga untuk melaksanakan apa yang mereka percayai.

Justeru itulah selepas upacara berkenaan, penulis tertanya-tanya apakah benar upacara 1 Sura yang boleh dianggap lebih banyak mencemarkan bulan berkat Muharam itu akan mendatangkan manfaat kepada Indonesia.

Tetapi inilah kehidupan Indonesia, kadang- kala kita keliru dengan telatah penduduknya, apatah lagi upacara-upacara mistik seumpama itu diadakan di tengah-tengah kemegahan kota Jakarta yang sememangnya tidak pernah sunyi daripada pelbagai pergolakan dan krisis.

Sememangnya sukar dipastikan sama ada apa yang mereka lakukan dalam sambutan yang menelan belanja berpuluh-puluh ringgit itu akan mendatangkan hasil atau tidak.

Namun apa yang pasti sebagai seorang Islam, kita seharusnya memahami bahawa dalam kehidupan di dunia fana ini tidak ada tempat lain untuk kita sembah dan memohon pertolongan melainkan kepada Allah s.w.t.

Ini jelas dinyatakan dalam surah al-Fatihah ayat 4 yang bermaksud: Hanya kepada Engkaulah kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.

Justeru itu, upacara 1 Sura, walaupun dianggap satu majlis untuk meminta pertolongan Allah tetapi ia dicemari dengan pelbagai unsur yang bertentangan dengan perintah Allah.

Berdasarkan hakikat itu ingatlah sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Sesungguhnya ucapan yang paling benar adalah kitabullah dan sebaik-baik jalan hidup ialah jalan hidup Muhammad, sedangkan seburuk-buruk urusan agama ialah yang diada-adakan. Tiap-tiap yang diada-adakan adalah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat dan setiap kesesatan (menjurus) ke neraka. - MINGGUAN.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi