2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 24 April 2001

RMK-8 PERLUKAN KERJASAMA RAKYAT-Lidah Pengarang

SUNGGUHPUN bagi kebanyakan rakyat negara ini, Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) mungkin dipandang kurang memberi erti secara langsung, kita haruslah ingat bahawa program-program yang dikemukakan itu sebenarnya membabitkan mereka dari segi pembangunan sosioekonomi.

Setiap peringkat masyarakat, sama ada penganggur, ahli korporat, kanak-kanak, orang dewasa, lelaki atau wanita tidak akan terkeluar daripada pelan itu.

RMK-8 jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam memberikan tumpuan pembangunan yang terancang bagi menyediakan kemudahan-kemudahan ekonomi dan sosial kepada rakyat dalam pelbagai bidang. Ini termasuklah dalam soal menjamin kesejahteraan dan kemakmuran serta perkembangan kebudayaan masyarakat di samping meningkatkan mutu kehidupan mereka.

Pelan yang merupakan fasa pertama pelaksanaan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ke-3 (RRJP3) bertujuan menyediakan infrastruktur fizikal serta minda masyarakat untuk memasuki era globalisasi dan liberalisasi serta usaha bagi mencapai matlamat Wawasan 2020 yang mensasarkan Malaysia menjadi negara perindustrian.

Bagi kalangan korporat, pelabur serta ahli-ahli perniagaan, RMK-8 merupakan pelan data yang akan memberikan mereka panduan membuat pelaburan, memerhatikan infrastruktur bakal dirancang dan pelbagai projek yang menyediakan peluang perniagaan dan kontrak untuk diambil bahagian.

RMK-7 yang berjaya mengharungi tempoh getir kemelesetan ekonomi 1997-1998 jelas telah memberikan keyakinan kepada kerajaan supaya lebih bersedia melalui tempoh RMK-8 ini dengan teras kepada pertumbuhan ekonomi mapan. Krisis yang dialami dalam RMK-7 memberikan pengajaran kepada kerajaan supaya berhati-hati dan berdaya tahan dari segi sosioekonominya.

Walaupun pembiayaan pembangunan defisit itu jelas menunjukkan akan meningkat pinjaman luar dengan ketara dalam RMK-8 berbanding RMK-7, kerajaan sudah tentu mempunyai strategi tersendiri bagi mendapatkan pembiayaan itu.

Bagaimanapun, kita percaya pengalaman lalu sudah tentu memberi pengajaran kepada kerajaan supaya memberikan tumpuan kepada membangunkan sektor dalam negeri di samping bergantung besar kepada perdagangan asing ataupun menjana dana luar untuk pembangunan.

Berdasarkan ini jugalah maka sasaran yang besar diberikan kepada sektor pertanian daripada 1.2 peratus kepada 3.0 peratus dalam RMK-8.

Di samping meneruskan tumpuannya kepada membasmikan kemiskinan rakyat, kerajaan juga terus mengambil langkah-langkah penyusunan semula ekuiti di kalangan bumiputera dalam sektor awam kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2010.

Perhatian lebih juga diberikan kepada menyediakan tenaga mahir dengan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terutama di kalangan bumiputera seperti menubuhkan Majlis ICT bumiputera bagi merancang agenda ICT bumiputera sebagai antara daripada pelbagai rancangan dan sasaran ICT negara.

Di samping perhatian kepada sektor ekonomi dan sosial supaya berkembang pesat dengan peruntukan yang bertambah, kerajaan tidak akan merubah dasar penswastaannya yang dianggap akan membantu pembiayaan belanjawannya setiap tahun.

Kini terpulanglah kepada para pelaksana menjadikannya kenyataan dengan kerjasama keseluruhan rakyat.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum