2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 25 April 2001

Wang pampasan bukan jaminan konsulat kita selamat

Oleh:ZULKIFLEE BAKAR (JAKARTA)
PEMERINTAH Indonesia akhirnya mengambil jalan pintas bagi menyelesaikan konflik yang melibatkan Konsulat Malaysia di Pontianak apabila memenuhi tuntutan kelompok yang mengancam konsulat berkenaan.

Cara yang dilakukan ialah dengan membayar wang pampasan sebanyak Rupiah 59 juta (RM21,000) kepada ahli keluarga seorang pembantu rumah Indonesia yang kononnya didera ketika bekerja di Malaysia.

Langkah penyelesaian yang boleh dianggap `aneh' itu telah dimaklumkan oleh Menteri Luar Indonesia, Alwi Shihab kepada akhbar The Jakarta Post seperti disiarkan semalam.

Menurut Alwi, satu perjanjian telah dibuat dengan pihak yang terlibat di mana mereka berjanji akan menghentikan ancaman mereka ke atas Konsulat Malaysia.

Sememangnya dari satu segi kita memuji tindakan pantas pemerintah Indonesia tersebut dalam usaha memastikan ancaman ke atas rakyat Malaysia di Pontianak tidak berulang lagi.

Tetapi ia juga menimbulkan persoalan apakah tindakan membayar pampasan berkenaan merupakan cara terbaik untuk menyelesaikan konflik yang berlaku.

Ini kerana ia seolah-olah mengajar pihak lain untuk melakukan tindakan yang sama selepas ini untuk memenuhi tuntutan tidak munasabah mereka.

Apatah lagi Utusan difahamkan, ini bukanlah kali pertama kelompok tertentu di Pontianak menggunakan cara sedemikian bagi mendapatkan wang secara mudah.

Dan apa yang lebih dikesalkan ialah semua kes tuntutan sedemikian melibatkan rakyat Malaysia sepertimana kes penahanan beberapa buah bas dari Kuching yang masuk ke Pontianak pada bulan lalu.

Bas berkenaan dijadikan `mangsa' untuk menuntut `tebusan' hampir Rupiah 100 juta (RM35,000) dan tuntutan berkenaan dibayar oleh syarikat bas terlibat.

Oleh itu, dalam kes terbaru ini, jika benar kes penderaan tersebut berlaku, kenapakah ia tidak dibawa ke tengah atau lebih tepat lagi diselesaikan di mahkamah.

Justeru, walaupun tindakan pemerintah Indonesia tersebut dipuji namun ia boleh dianggap bukanlah cara terbaik kerana sampai bila pun, konsulat atau rakyat Malaysia akan terus menjadi `lubuk' untuk puak tertentu mencari keuntungan secara cepat.

Tetapi apa yang lebih dikesalkan, ketika Alwi sedang berusaha untuk menamatkan konflik dengan menggunakan cara demikian terdapat pula pihak yang cuba `memanaskan' suasana dengan mengkritik keras tindakan Malaysia menutup pejabat konsulatnya di Pontianak.

Ini terbukti melalui laporan akbar Kompas kelmarin yang menyiarkan kenyataan dua tokoh masyarakat Pontianak termasuk seorang anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) yang menganggap apa yang dilakukan oleh Malaysia adalah berlebihan dan mengada-ada.

``Tindakan kurang terpuji sesetengah masyarakat Kalimantan Barat ke atas rakyat Malaysia bukan tidak bersebab, biasanya di antara mereka ada kes peribadi seperti soal perniagaan dan penganiayaan ke atas pekerja Indonesia,'' kata Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Tanjungpura, Rousdy Said.

Kenyataan Rousdy ini sudah jelas menampakkan bahawa sememangnya terdapat kelompok di Indonesia yang seolah-olah menganggap tindakan mengancam Konsulat Malaysia atau rakyat kita adalah satu hal yang wajar.

Tetapi mereka langsung tidak memikirkan bahawa perbuatan berkenaan sebenarnya adalah sikap yang tidak bertamadun dan bukan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah.

Tuduhan terhadap Malaysia itu menjadi semakin mengelirukan apabila ahli politik di Pontianak yang kononnya mengaku dirinya pejuang rakyat turut membuat dakwaan yang bukan-bukan mengenai Malaysia.

Malah ada tuduhan yang dilemparkan kepada Malaysia sama sekali tidak berasas dan tidak mempunyai fakta tetapi hanya berdasarkan kepada sentimen ingin memusuhi Malaysia sahaja.

Ini jelas apabila seorang anggota DPRD, Makarius Sintong membuat dakwaan bahawa rakyat Malaysia memberi layanan tidak berperikemanusiaan kepada rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia.

``Meski berbulan-bulan bekerja di rumah majikan, tetapi gaji tidak pernah dibayar, pembantunya (rakyat Indonesia) sering dipukul, dianiaya, bahkan diperkosa hingga mengandung.

``Malah pengaduan mangsa kepada pihak polis dan pihak berkuasa Malaysia tidak dipandang serius sehingga mereka yang melakukan perbuatan berkenaan bebas begitu sahaja. Kes ini bukan dialami oleh seorang dua pembantu rumah Indonesia tetapi sudah ratusan orang,'' kata Makarius.

Jika dikaji kenyataan itu adalah jelas, Makarius merupakan salah seorang ahli politik di Indonesia yang sama sekali tidak memahami apa yang berlaku di Malaysia.

Malah beliau mungkin membuat tuduhan melulu berkenaan semata-mata demi kepentingan politiknya sebagai seorang wakil rakyat di Pontianak.

Dengan itu, tuduhan dibuat tanpa disertakan dengan bukti yang sah, apatah lagi kita mengetahui semua tuduhan itu lebih cenderung kepada kes yang berlaku kepada pembantu rumah Indonesia yang bekerja di Arab Saudi.

Mungkin berada terlalu jauh di pedalaman seperti di Pontianak, Makarius gagal mendapat maklumat yang tepat mengenai Malaysia terutama mengenai nasib pembantu rumah Indonesia.

Ini termasuklah bagaimana pihak polis Malaysia mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang mendera pembantu rumah Indonesia.

Malah kita bersimpati dengan Makarius kerana kekurangan maklumat berhubung peristiwa di mana Menteri Kesihatan, Chua Jui Meng melawat seorang pembantu rumah Indonesia yang didera secara kejam oleh majikan yang kini dihadapkan ke mahkamah.

Semua itu telah menunjukkan keprihatinan Malaysia terhadap nasib pembantu rumah Indonesia yang bekerja di negara kita.

Oleh itu untuk membuat tuduhan terhadap satu kes yang belum tentu kebenarannya seperti peristiwa terbaru di Pontianak, ia bukanlah satu tindakan yang bijak.

Berdasarkan pada pandangan serong yang masih lagi melumuri sebahagian besar rakyat Indonesia di Pontianak mengenai Malaysia, kita tetap berpendapat bahawa wilayah itu sudah tidak selamat lagi bagi rakyat kita.

Oleh itu, usaha Alwi dan pemerintah Indonesia yang cuba menyelesaikan masalah dengan cara membayar pampasan tidak mendatangkan apa-apa hasil atau menjadi satu jaminan kukuh kepada nasib rakyat Malaysia di Pontianak.

Sebaliknya, ia hanya akan membangkitkan semangat kelompok tertentu untuk terus melakukan cara sedemikian kerana melihat bahawa ada kesediaan daripada pemerintah Indonesia untuk memenuhi tuntutan mereka.

Adalah diharapkan, Wisma Putra tidak akan mudah menerima dengan senang hati cara penyelesaian oleh pemerintah Indonesia ini, walaupun bukan Malaysia yang mengeluarkan wang pampasan berkenaan.

Ini kerana ia bukanlah jaminan bahawa selepas ini ancaman ke atas konsulat atau rakyat Malaysia tidak akan berulang lagi kerana sebelum ini kita juga sudah menerima jaminan yang sama tetapi kesudahannya kita terpaksa menghantar pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Pontianak. - Utusan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum