2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 30 April 2001

Selesaikan masalah banjir kilat-Lidah Pengarang

KERAJAAN dan pihak swasta mengambil masa yang lama untuk membina kemudahan awam dan bangunan canggih di bandar raya Kuala Lumpur, tetapi hujan lebat hanya mengambil masa yang singkat sahaja untuk menenggelamkan ibu negara kita.

Hujan lebat kira-kira tiga jam pada petang Khamis lalu, yang dikatakan paling buruk sejak 1971 telah menyebabkan Kuala Lumpur hampir lumpuh. Dengan lain perkataan, kejadian banjir kilat juga menyebabkan begitu ramai mangsa mengalami kerugian yang besar.

Dalam merancang pembangunan bandar raya, masalah banjir kilat sepatutnya menjadi perhatian utama bagi setiap pihak yang ingin merancang pembangunan di Kuala Lumpur. Perkara ini tidak boleh lagi dipandang ringan. Sudah lumrah di bandar raya kita, hujan lebat yang turun sekejap sahaja pun boleh menenggelamkan beberapa kawasan rendah dan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

Sering kali kita mendengar alasan bahawa banjir kilat berlaku kerana sistem perparitan tidak berfungsi dengan baik. Kalangan penduduk Kuala Lumpur terutama di kawasan setinggan bukan tidak sedar bahawa apabila sistem perparitan tidak dijaga dengan baik, banjir kilat bila-bila masa boleh berlaku.

Dengan demikian, jika berlaku banjir kilat, memang wajarlah mereka menderitainya. Sebaliknya sikap sesetengah pihak yang tidak berdisiplin itu juga menyebabkan penduduk Kuala Lumpur yang lain turut merana.

Kerajaan sudah membelanjakan berjuta-juta ringgit bagi mendalamkan sungai serta melaksanakan projek tebatan banjir, namun mendapan sampah terus menimbun kerana orang ramai terus membuang sampah ke dalam sistem perparitan seperti longkang dan sungai.

Masalah banjir kilat bukan fenomena baru, bahkan kerap melanda banyak kawasan sejak sekian lama. Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan sudah tentu ada rekod tentang kejadian banjir kilat itu yang sering berulang. Tetapi apa yang sudah dibuat oleh kedua-dua pihak berkuasa ini?

Kita perlu merenungi pandangan Perdana Menteri mengenai punca banjir kilat yang berlaku di Kuala Lumpur. Menurut Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, reka bentuk pembangunan bandar raya kita kurang baik tetapi agak terlewat untuk buat sesuatu melainkan kalau kita sanggup mengeluarkan belanja besar dan sanggup juga menangani masalah setinggan.

Inilah masalahnya, selain masalah setinggan yang sudah diresapi isu politik, kita juga asyik menumpu kepesatan pembangunan yang boleh dilihat di atas kepala, tetapi lupa kepentingan asas seperti sistem perparitan yang berada di bawah kaki. Perkara inilah perlu perhatian oleh semua pihak bukan sahaja pihak berkuasa tetapi orang awam supaya sama-sama menjaga sistem perparitan berjalan dengan baik.

Para perancang bandar dan jurutera juga sepatutnya mengambil kira faktor seperti kecenderungan pertambahan penduduk, termasuk tabiat membuang sampah serta kawalan keselamatan ketika musim hujan. Malah penyelenggaraan jalan dan perparitan juga perlu dijalankan sekerap mungkin. Perkara ini bukan sukar dilakukan dan tidak wajarlah setiap kali banjir kilat di perut bumi Kuala Lumpur berlaku, inilah juga alasannya.

Kini kerajaan nampak serius untuk menangani bencana alam ini. Kita memahami dilema yang dihadapi oleh kerajaan. Jika pihak berkuasa bertindak mengikut undang-undang terhadap penduduk setinggan, akan dikatakan pula kerajaan tidak bertimbang rasa terhadap orang miskin. Inilah masalah tanggapan dalam masyarakat kita terhadap usaha baik kerajaan.

Kita mengharapkan masyarakat di Kuala Lumpur tidak merosakkan apa yang dimaju dan dibangunkan oleh kerajaan. Jika tidak sia-sialah apa yang kita rancangkan bersama.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum