2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 05 Mei 2001

25 hari lagi tentukan politik Gus Dur

PRESIDEN Abdurrahman Wahid (Gus Dur) pada hakikatnya tidak mempunyai banyak masa untuk menentukan apa yang harus beliau lakukan berikutan langkah Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) memberikan memorandum kedua kepadanya pada 30 April lalu.

Kalau dihitung bermula pada hari ini, Gus Dur hanya mempunyai 25 hari untuk memenuhi setiap tuntutan dalam memorandum kedua tersebut - satu perkara yang dianggap agak mustahil.

Ini kerana mengikut memorandum kedua tersebut Gus Dur diberi peringatan supaya memperbaiki prestasi kerja, menegakkan undang-undang nasional dan tidak membuat kenyataan kontroversi dalam tempoh 30 hari selepas memorandum itu dikeluarkan.

Jika semua peringatan ini dilanggar maka sesuai dengan ketetapan MPR Nombor II/MPR/1978 mengenai hubungan antara lembaga tinggi negara, maka DPR akan meminta MPR mengadakan sidang istimewa untuk meminta pertanggungjawaban Presiden serta menentukan pembahagian kekuasaan antara Presiden dengan Naib Presiden atau memilih Presiden baru Republik Indonesia.

Memorandum kedua tersebut merupakan susulan kepada memorandum pertama yang dikeluarkan pada 1 Februari lalu kepada Gus Dur kerana terlibat dalam penyelewengan dana yayasan Badan Urusan Logistik (Bulog) berjumlah RM17.5 juta dan sumbangan Sultan Brunei bernilai AS$2 juta.

Berdasarkan memorandum kedua itu, beban yang ada pada Gus Dur agak berat, namun beliau ternyata terus berusaha menunjukkan kedegilannya tidak mahu tunduk kepada DPR.

Ini terbukti apabila beliau hanya mengucapkan terima kasih kepada DPR kerana membuat keputusan yang dianggap baik dan sama sekali tidak mengulas langkah DPR memberi memorandum kedua itu.

Gus Dur membuat pendirian yang dianggap kontroversi itu ketika menyampaikan pidato nasional yang disiarkan ke seluruh negara oleh beberapa stesen televisyen dan radio di Indonesia.

Oleh itu, DPR menganggap apa yang dilakukan oleh Gus Dur tidak serius dan cuba mempamerkan keangkuhannya sebagai Presiden.

Berdasarkan keadaan itulah, DPR melalui kerjasama dengan parti-parti utama mula mengatur langkah untuk mengenakan tekanan yang lebih berat ke atas Gus Dur supaya beliau insaf dan sedar bahawa karier politiknya kini sedang berada di hujung tanduk.

Parti-parti besar dijangka akan mengadakan pertemuan pada 11 Mei ini di Jakarta bagi membincangkan apa yang harus mereka lakukan bagi mencairkan kedegilan Gus Dur.

Walaupun Gus Dur melalui menteri-menteri kanannya cuba bertindak lunak dengan menawarkan rombakan kabinet, namun semua itu tidak dapat diterima oleh parti-parti besar.

Begitu juga dengan cadangan orang-orang kepercayaannya supaya Gus Dur menyerahkan kuasa pemerintahan harian kepada Megawati Sukarnoputri manakala beliau sendiri hanya menjadi Ketua Negara yang menguruskan soal protokol.

Sebaliknya, tuntutan yang pasti tetapi belum dinyatakan secara terbuka ialah mereka mahu Gus Dur yang baru 20 bulan menjadi Presiden meletakkan jawatan bagi menggelakkan MPR mengadakan sidang istimewa untuk memecatnya.

Keadaan itu menunjukkan dengan jelas bahawa Gus Dur pada hakikatnya sedang berhadapan dengan tekanan politik yang hebat berikutan pengeluaran memorandum kedua tersebut.

``Sifat tenang dan degil yang selama ini beliau tunjukkan tidak sesuai lagi dalam berhadapan dengan memorandum kedua kerana ia peringatan akhir sebelum sidang istimewa MPR diadakan,'' kata seorang pengamat politik.

Menurut pengamat politik berkenaan, jika Gus Dur menganggap bahawa DPR tidak akan berani meminta sidang istimewa MPR kerana kekuatan penyokongnya, beliau telah membuat tafsiran yang salah.

``Ini kerana sebahagian parti bersetuju mengeluarkan memorandum kedua kepada Gus Dur kerana marah dengan tindakan Presiden Indonesia tersebut yang mengancam akan berlaku pemberontakan nasional jika beliau disingkirkan,'' katanya.

Apatah lagi sejarah politik Indonesia telah membuktikan bahawa memorandum daripada DPR sering menjadi senjata yang paling ampuh untuk menggugat seorang presiden Republik Indonesia.

Ketika negara itu di bawah pemerintahan Sukarno, DPR yang pada masa tersebut dikenali sebagai Dewan Perwakilan Rakyat Gotong Royong (DPRGR) telah mengeluarkan memorandum kepada beliau pada 9 Jun 1966.

Memorandum tersebut dikeluarkan kerana dewan itu memandang banyak penyelewengan berlaku terhadap amanat rakyat dan ia disusuli dengan Surat Perintah 11 Mac - satu peringatan tegas supaya semua bentuk penyelewengan dihentikan.

Pengeluaran memorandum dan Surat Perintah yang dianggap memorandum kedua tersebut telah mendorong MPR meminta pertanggungjawaban Sukarno.

Bagaimanapun ucapan pertanggungjawaban Sukarno telah ditolak oleh sidang istimewa MPR dan melalui ketetapan MPR No 33/MPR/1967, Sukarno disingkirkan daripada jawatannya dan tempat beliau diambil alih oleh Suharto.

Pada zaman pemerintahan Suharto, memorandum DPR juga pernah diberikan kepada beliau pada tahun 1972 berhubung pembinaan Taman Mini Indah Indonesia (TMII).

Tetapi oleh kerana ketika itu Suharto cukup berkuasa maka hanya menteri sahaja yang menjawab memorandum DPR tersebut dan kedudukan Suharto terselamat.

Malah nasib yang lebih buruk menimpa B.J Habibie apabila tidak sampai 153 hari menjadi Presiden Republik Indonesia, beliau telah diminta menyampaikan apa yang telah beliau lakukan sejak menjadi Presiden pada 13 Mei 1998.

Ternyata dalam ucapan pertanggungjawabannya di sidang MPR, Habibie kehilangan jawatan, namun sebagai seorang tokoh politik yang rasional, Habibie sama sekali tidak menggunakan sebarang kekerasan dan sikap degil untuk tidak mahu berundur.

Beliau sebaliknya menarik diri daripada menjadi calon Presiden bagi penggal 1999-2004 kerana menyedari bahawa DPR dan MPR sudah tidak mempercayainya lagi.

Kini Gus Dur sedang berada pada kedudukan seperti yang dialami oleh Habibie, bekas Ketua Umum Pengurus Besar Nahdlathul Ulama (NU) tersebut sedang berhadapan dengan persimpangan sama ada meneruskan perjuangan sehingga sidang istimewa MPR atau meletakkan jawatan.

Ini kerana berdasarkan apa yang berlaku sekarang, Gus Dur pada hakikatnya hanya meneruskan perjuangan yang sia-sia untuk mempertahankan kedudukannya.

Beliau sama sekali tidak mempunyai kekuatan di dalam Parlimen sama ada di MPR atau DPR. Majoriti anggota kedua-dua lembaga tertinggi tersebut boleh dianggap tidak mempunyai rasa simpati kepada beliau lagi untuk terus menjadi Presiden Republik Indonesia.

Justeru itu mahu tidak mahu dalam tempoh 25 hari yang tinggal kini, Gus Dur harus membuat perhitungan segera sama ada berundur secara hormat atau disingkirkan melalui sidang istimewa MPR.

Walaupun Megawati menegaskan bahawa beliau tidak akan mengikut jejak Presiden Filipina, Arroyo dalam merebut jawatan berkenaan namun ini bukanlah jaminan yang abadi.

Ia disebabkan melalui Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) yang mempunyai kerusi yang cukup banyak dalam MPR dan DPR, Megawati boleh bila-bila masa `berubah' menjadi Arroyo.

Semua ini bergantung kepada sikap Gus Dur dalam mencari penyelesaian terhadap konflik politik yang terjadi sekarang. Jika beliau `melayan' memorandum kedua DPR sepertimana memorandum pertama maka sudah pasti seorang lagi anak bekas Presiden akan memimpin sebuah lagi negara di ASEAN iaitu Megawati Sukarnoputri.

Bagi ahli-ahli politik Indonesia, mereka melihat Gus Dur tidak mempunyai apa-apa lagi alasan untuk terus memimpin negara itu apatah lagi dengan kecacatan penglihatan yang dialaminya.

``Bayangkanlah, Habibie yang bijak dan sempurna dari segi fizikal ditolak oleh ahli politik dan rakyat Indonesia, apatah lagi Gus Dur yang ternyata gagal melakukan apa-apa perubahan untuk negara itu,'' kata seorang diplomat sebuah negara ASEAN.

Walaupun suatu ketika dahulu soal kecacatan Gus Dur tidak menjadi perhitungan tetapi sejak memorandum pertama dikeluarkan oleh DPR pada 1 Februari lalu, soal kecacatan tersebut mula bergema di seluruh pelosok Indonesia.

Ahli-ahli politik Indonesia semakin sedar bahawa negara itu kini sudah hampir `lumpuh' dalam semua bidang, oleh itu tidak wajar ia dipimpin oleh seseorang yang masih `meraba-raba' mencari jalan keluar terhadap krisis yang berlaku. - Utusan

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum