2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 06 Mei 2001

BISIK-BISIK MINGGUAN-AWANG SULUNG

BUAT APA TUKAR DATUK BANDAR
AWANG mengambil pendirian tidak mahu ulas apa-apa setelah banjir kilat melanda ibu kota minggu lalu. Ini kerana menyertai yang lain menghentam Dewan Banda- raya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan mengubah apa-apa.

Namun demikian, apabila berlaku tanah jerlus di Kilometer 7 Jalan Klang Lama Khamis lalu di mana sebuah kereta terjatuh ke dalamnya, Awang tidak dapat menahan diri daripada turut membicarakannya.

Seperti selalu, apabila kena hentam, DBKL akan keluar dengan seribu satu macam alasan untuk mempertahankan dirinya. Begitu juga jabatan-jabatan lain yang mengorek dan menampal jalan. Jabatan Parit dan Saliran ada masalahnya sendiri. Pemaju perumahan ada pandangannya. Kesemuanya betul. Jadi, siapa yang tidak betul?

Tidak mungkin semua orang betul. Jika semua orang betul keadaan tidak akan menjadi sebegitu buruk walaupun hujan yang turun pada 26 April itu dikatakan yang terlebat dalam tempoh 50 tahun.

Jika semua orang betul, tidak akan berlaku tanah jerlus di Jalan Klang Lama yang dipercayai akibat keadaan bawah tanah menjadi mendap disebabkan kebocoran paip air.

Marahnya orang ramai hingga ada wakil mereka membuat gesaan di Dewan Rakyat supaya Datuk Bandar Kuala Lumpur meletakkan jawatan.

Tapi ini Malaysia. Kita tidak ada budaya letak jawatan. Kita ada budaya salahkan orang lain. Kata Pak Gus Dur, ekonomi Indonesia tidak akan berubah walaupun presidennya ditukar seratus kali.

Dalam semangat yang sama, elok saja dikekalkan datuk bandar yang sedia ada.

BILA DILAHIRKAN ANAK CINA
BEBERAPA hari kebelakangan ini akhbar-akhbar yang banyak dibaca oleh bukan Melayu menyiarkan laporan tentang bagaimana anak-anak Cina yang mendapat keputusan cemerlang tidak dapat memasuki universiti awam.

Yang diterima masuk pula mengadu ditempatkan dalam pengajian yang bukan menjadi pilihan mereka. Kebanyakan mereka memilih pengajian dalam bidang sains tetapi ada yang ditempatkan dalam pengajian sastera.

Juga dilaporkan, pelajar SPM terbaik seluruh negara, Ong Jin Hock yang mendapat 13 A1 masih belum menerima berita sama ada dia berjaya mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) walaupun telah diterima masuk ke Universiti Teknologi Malaysia untuk belajar kejuruteraan komputer.

Kesemua laporan itu membawa satu mesej - bukan Melayu menghadapi masalah memasuki universiti awam kerana sistem kuota yang memberi kelebihan kepada pelajar bumiputera khususnya Melayu.

Rasa tidak senang ini sudah lama terpendam. Tapi kali ini mereka mula menyuarakannya. Patutkah kita menyalahkan mereka?

Bukan semua Cina kaya dan tidak semua mampu menghantar anak-anak mereka yang lulus cemerlang itu ke institusi pengajian tinggi swasta yang tiada masalah kuota dan mereka bebas memilih pengajian yang dikehendaki, jika layak.

Awang mempunyai seorang kawan bukan Melayu yang terpaksa bergolok bergadai menghantar anaknya ke Australia untuk belajar perubatan setelah universiti tempatan menawarkannya pengajian sejarah walaupun dia lulus cemerlang dalam mata pelajaran sains.

Awang bingung mencari sebabnya. Adalah mustahil negara lebih memerlukan sejarawan daripada doktor perubatan. Satu tanda tanya lain menghentak kepala Awang - mungkinkah ini disengajakan? Awang harap tidak.

Awang menulis tentang perkara ini dengan harapan anak-anak Melayu yang disediakan tempat yang begitu banyak dengan peluang mendapat biasiswa dan pinjaman sedar dan bersyukur akan nasib mereka yang jauh lebih baik daripada rakan-rakan mereka yang dilahirkan bukan Melayu.

Peluang ini janganlah disia-siakan kerana Awang juga tahu bahawa keciciran di kalangan pelajar universiti lazimnya daripada kalangan Melayu. Ini mungkin kerana kelayakan masuk dipermudahkan.

Mereka hendaklah sedar bahawa boleh dikatakan setiap tahun kuota untuk anak-anak Melayu memasuki universiti tidak dapat dipenuhi kerana kekurangan calon yang betul-betul layak.

Bagaimana jika tempat itu diberikan kepada anak-anak Cina? Soalan ini tidak payah dijawab.

Bagaimanapun, demi ilmu dan bagi memelihara martabat serta kualiti pelajar, Awang harap syarat kemasukan tidak terlalu dilonggarkan.

APA JADI DENGAN ANAK MELAYU?
MENURUT Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, walaupun jumlah calon yang memohon untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi 2001/2002 bertambah, jumlah yang boleh diambil merosot 15 peratus.

Ertinya, ramai yang tidak layak. Ini amat membimbangkan. Dan turut membimbangkan ialah kemerosotan itu ketara dalam aliran sains.

Kemerosotan tersebut juga bermakna masih terdapat banyak tempat kosong di IPTA dan Awang percaya tempat-tempat itu adalah kuota bumiputera. Awang tidak dapat mengesahkannya, tapi percaya calon bukan Melayu dapat memenuhi kuota mereka. Buktinya, ramai yang secara terbuka mengadu tidak mendapat tempat walaupun mendapat 10A.

DAP dan Gerakan merupakan dua parti politik yang telah secara terbuka menyuarakan rasa tidak senang dengan apa yang sedang berlaku itu. Sambil mengiktiraf hak bumiputera dalam perkara ini, mereka sukar menerima keputusan Jabatan Pendidikan Tinggi tidak memenuhkan tempat-tempat kosong yang gagal diisi oleh bumiputera.

Gerakan, melalui seorang naib presidennya bertanya, ke mana semua ini akan membawa kita. DAP pula menyatakan rasa terperanjat dengan langkah mengekalkan nisbah antara pelajar bumiputera dengan bukan bumiputera walaupun dalam keadaan terdapat tempat kosong.

Pengerusinya, Lim Kit Siang dalam The Star kelmarin menggesa kerajaan memberikan tempat-tempat kosong yang menurutnya berjumlah 7,618 itu kepada bukan bumiputera sekiranya tidak terdapat bumiputera yang layak mengisinya.

Ini satu masalah lama yang perlu ditangani dengan hati-hati. Ia satu perkara sensitif dan merupakan ramuan tepat yang boleh mencetuskan suasana tegang seperti apabila hak istimewa orang Melayu dipersoalkan secara terbuka.

Sistem kuota boleh dipertahankan, tetapi tidak mengisi tempat kosong sehingga bukan bumipu-tera yang cemerlang tidak dapat masuk universiti adalah suatu yang sukar dipertahan.

Awang berpendapat, kerajaan wajar mencari satu kaedah di mana permasalahan ini dapat ditangani dengan cara yang tidak merugikan mana-mana pihak dan tanpa menjejaskan hak istimewa Melayu. Mungkin sedikit sebanyak kelonggaran perlu dipertimbangkan.

Apa yang pasti, Melayulah yang berada di pihak yang rugi - ada tempat, tidak ada calon. Mereka hanya dapat menyalahkan diri sendiri dan tidak berhak merasa marah atau iri hati dengan bukan Melayu.

Memang ramai pelajar Melayu cemerlang di tahap SPM dan STPM, tapi ternyata jumlahnya masih belum mencukupi bagi mengisi tempat yang menunggu mereka di universiti awam.

LING PERLU KERJA KUAT
KORESPONDEN Awang di Moscow dalam tulisannya baru-baru ini melaporkan bahawa syarikat penerba-ngan Rusia, Aeroflot, akan menghentikan penerbangannya ke KLIA dari Moscow.

Apabila membaca tulisannya, Awang benar-benar berharap ia tidak akan berlaku memandangkan bebe-rapa syarikat lain telah mengambil keputusan yang sama, atas alasan yang sama - mereka kerugian.

Bagaimanapun, apa yang dilaporkan itu menjadi kenyataan. Aeroflot, yang sudah 27 tahun terbang ke Malaysia, telah menghentikan penerbangannya (sementara, katanya) ke Kuala Lumpur mulai bulan ini.

Dengan langkah Aeroflot itu, kini sudah lima syarikat penerbangan menghentikan penerbangan masing-masing ke negara kita iaitu British Airways, Qantas, Lufthansa dan All-Nippon Airways (ANA).

Perkembangan ini adalah sesuatu yang memerlukan perhatian segera dan serius. Aeroflot memberi alasan ia rugi. MAS juga rugi, tapi ia masih terbang ke 76 destinasi dunia.

Jika rugi, kenapa Aeroflot dan yang lain masih mampu meneruskan perkhidmatan ke Singapura. Bagi Aeroflot, apa yang selama ini diuruskannya melalui KLIA kini akan dikendalikan melalui Singapura.

Ini satu perkembangan yang tidak menyenangkan memandangkan kini kira-kira 1,000 pelancong dari Rusia datang ke Malaysia setiap bulan hasil promosi agresif Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia. Pemberhentian kedatangan Aeroflot ke KLIA bermakna para pelancong itu terpaksa datang melalui Singapura.

Dalam reaksinya, Menteri Pengangkutan Dr. Ling Liong Sik berkata walaupun lima syarikat menarik diri dari KLIA terdapat beberapa syarikat lain yang berminat untuk datang manakala sebilangan lagi ingin menambah kekerapan penerbangan mereka.

Baguslah jika begitu. Tapi Awang benar-benar berharap beliau tidak mengambil mudah perkara ini. Dr. Ling perlu bekerja kuat untuk membawa syarikat-syarikat penerbangan lain menggunakan KLIA. KLIA hendaklah dilihat sebagai satu produk. Ia perlu dipasarkan secara bersungguh-sungguh.

Memandangkan beliau tidak jadi letak jawatan sebagai Menteri Pengangkutan dan mendakwa masalahnya dalam MCA juga sudah selesai, Awang harap be-liau memberi tumpuan penuh menangani masalah ini.

Memandangkan Dr. Ling berjaya menarik naik kedudukan Pelabuhan Klang dari nombor 21 ke kedudukan nombor 11 di dunia, Awang harap beliau dapat melakukan yang sama untuk KLIA sebelum beliau benar-benar bersara.

Pun begitu, adalah tidak adil meletakkan beban ini ke atas bahu beliau seorang. Ini perkara besar yang memerlukan penyelesaian holistik. Kerajaan perlu mencari sebab sebenar syarikat-syarikat itu menarik balik perkhidmatan mereka dari negara kita. Awang yakin ini sedang dilakukannya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum