2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 06 Mei 2001

Debat had umur bersara

MUKADIMAH
Had usia persaraan wajib yang dikaji semula selaras dengan perkembangan dan keperluan semasa sekali lagi mendapat perhatian ketika pekerja-pekerja masih diselubungi demam sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei lalu.

Pada Mac lalu, kerajaan pada dasarnya telah pun meluluskan lanjutan umur bersara sehingga 56 tahun berbanding 55 tahun sebelum ini.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pula mengumumkan bahawa kerajaan akan menaikkan had umur persaraan kakitangan awam secara beransur-ansur sehingga akhirnya mencecah 60 tahun.

Bagaimanapun, cadangan melanjutkan usia persaraan perlu diteliti secara halus dari pelbagai sudut sosioekonomi.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan memberitahu wartawan Mingguan G. MANIMARAN bahawa beliau tidak sepenuhnya bersetuju dengan cadangan tersebut.

Shamsuddin berpendapat, golongan yang baru masuk alam pekerjaan yang mempunyai daya produktiviti lebih tinggi wajar diberi keutamaan dalam mendapatkan pekerjaan berbanding mereka yang telah meningkat usia.

Presiden CUEPACS, N. Siva Subramaniam yang ditemui oleh RAMLI ABDUL KARIM dan HAMDEN RAMLI pula optimis langkah melanjutkan usia persaraan dapat menyelesaikan banyak masalah dalam perkhidmatan awam.

``Selain jangka hayat penduduk yang meningkat kepada 70 tahun, kita dapati usia 50-an merupakan umur paling produktif dan cemerlang bagi kakitangan awam. Oleh itu lanjutan ini memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak,'' katanya.

Kerajaan rugi jika pekerja pencen awal

Apakah asas CUEPACS mencadangkan lanjutan umur persaraan kakitangan awam?

SIVA: Sebenarnya had umur persaraan di negara-negara lain sudahpun ditingkatkan. Jadi, timbul tanda tanya kepada rakyat Malaysia, kenapa kita mesti bersara pada usia 55 tahun? Sedangkan kita telah berjaya meningkatkan gaya hidup dan tahap kesihatan sehingga penduduk boleh hidup sampai 73 atau 75 tahun.

Maknanya selepas bersara, ramai yang kena tunggu 20 tahun sebelum meninggal dunia.

Sedangkan pada masa yang sama kita perlukan tenaga kerja tambahan dan akhirnya kita terpaksa pula mengimport pekerja asing.

Mula-mula kita telah cadangkan supaya umur persaraan dilanjut kepada 60 tahun atau 58 tahun. Tetapi oleh kerana kita menghadapi masalah kelembapan ekonomi, kerajaan cuma bersetuju tambah 12 bulan kepada 56 tahun.

Bilakah lanjutan 12 bulan kepada 56 tahun ini akan dikuatkuasakan?

SIVA: Kerajaan dan Perdana Menteri sendiri pada dasarnya telah bersetuju. Dari segi pelaksanaannya, ia bergantung kepada ekonomi kita. Tetapi saya yakin ia akan dilaksanakan pada awal tahun 2002.

Kita sedar ini bukan satu proses mudah. Ia melibatkan undang-undang (pindaan Akta Pencen 1980). Kabinet kena bersetuju terlebih dahulu, kemudian ia akan dibawa pula untuk dibahaskan di Parlimen dan memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum ia jadi undang-undang.

Jika keadaan ekonomi pulih, adakah CUEPACS akan meneruskan tuntutan supaya umur persaraan dinaikkan sehingga 58 atau 60 tahun?

SIVA: Kita lihat dulu pelaksanaan had umur bersara 56 tahun. Kalau ia lebih menguntungkan, maka kita akan minta ditambah lagi.

Dalam tempoh itu, kita akan kaji status minat atau tidak minat kakitangan terhadap lanjutan 12 bulan umur persaraan. Kalau 60 peratus saja yang berminat sedangkan 40 peratus tidak minat, ia ada implikasi lain.

Jadi tempoh 12 bulan itu adalah sementara. Ia hanya akan menjadi satu tempoh percubaan.

Siapakah yang rugi jika kakitangan awam bersara awal: Pekerja atau kerajaan?

SIVA: Kedua-duanya boleh rugi. Di antara kerajaan-kerajaan di dunia, hanya kerajaan Malaysia yang bayar ganjaran atau wang pencen apabila kakitangan memasuki umur 55 tahun. Bayaran itu diteruskan sehingga mereka meninggal dunia. Dan selepas itu bayaran disambung pula kepada keluarga terdekat.

Apabila kerajaan bayar sejumlah peruntukan yang besar untuk pencen dan ganjaran kepada pesara yang masih berumur muda, kerajaan sebenarnya rugi. Dan ini juga bermakna kerajaan kena sediakan belanjawan yang besar.

Sesetengah kakitangan awam terasa satu kejutan kerana tiba-tiba mereka terpaksa bersara sedangkan tenaga masih kuat. Pada masa yang sama mereka perlukan wang untuk tanggung anak-anak dan kos hidup yang meningkat.

Bagaimanapun, melanjutkan perkhidmatan seseorang bermakna meneruskan gaji penuh untuk mereka. Tidakkah ia akan membebankan kerajaan dan majikan?

SIVA: Sebenarnya ia tidak membebankan kerajaan. Apabila seseorang bersara, apabila tidak cukup pekerja mahir, kita kemudian isi kekosongan itu dengan pekerja kontrak seperti yang berlaku dalam perkhidmatan perguruan. Apabila ini berlaku, kerajaan bukan saja terpaksa bayar pencen orang yang bersara, malah gaji pekerja kontrak itu.

Tetapi jika persaraannya dilanjutkan, kerajaan hanya perlu membayar gaji semasa pekerja itu sahaja. Sebenarnya, langkah ini memang menjimatkan wang kerajaan.

Adakah tuntutan CUEPACS ini dipersetujui oleh keseluruhan kakitangan awam?

SIVA: Setiap orang kakitangan awam akan diberi pilihan. Sebelum had persaraan 56 tahun dilaksanakan, kita telah minta kerajaan beri pilihan kepada pegawai dan kakitangan iaitu sama ada mereka mahu bersara pada usia 56 tahun atau tidak mahu. Atau mereka lebih suka bersara pada umur 55 tahun seperti sebelum ini.

Memang kita sedar ada sesetengah orang yang tidak mahu melanjutkan tempoh persaraannya kerana mungkin mereka melihat peluang dan potensi pasaran pekerjaan di luar yang lebih baik. Ini kita lihat sebagai hak mereka dan mereka akan diberi pilihan.

Adakah lanjutan umur persaraan turut didorong oleh kurangnya minat orang menyertai sektor awam?

SIVA: Ya, memang benar. Hari ini orang sudah kata. Kalau anda bodoh, anda bolehlah mohon jadi kakitangan awam. Yang lain semua lebih senang masuk sektor swasta.

Hakikatnya, tidak ramai yang berminat menyertai sektor awam. Jika ada pun tidak begitu banyak. Ini boleh diatasi jika kita menaikkan gaji sekarang. Bagi sesetengah jawatan kerajaan, langsung tidak ada orang memohon untuk isi kekosongan.

Mengambil kira aspek ini, tuntutan kita supaya dilanjutkan usia persaraan memang menguntungkan.

Ini berlaku kerana sistem di dalam perkhidmatan awam tiada daya tarikan bagi sesetengah orang. Negara lain seperti Singapura telah meningkatkan tarikan sektor awam. Mereka tawarkan ganjaran istimewa kepada kakitangan dan pegawai yang berkhidmat melebihi 10 tahun. Ini telah menjadi satu daya tarikan dan boleh mengekalkan pekerja.

Kenapa sektor awam tidak lagi diminati?

SIVA: Ia kurang diminati kerana beberapa faktor. Antaranya undang-undang dan peraturan sedia ada sudah ketinggalan zaman dan kuno.

Misalnya, apabila seseorang hendak beralih daripada status bukan siswazah kepada siswazah, pekerja itu perlu menunggu iklan, kemudian ditemu duga dan jika berjaya barulah dilantik serta dinaikkan pangkat atau gaji.

Ini berbeza dengan sektor swasta yang mengamalkan struktur jawatan moden yang mana pekerja diberi kenaikan pangkat atau gaji tambahan jika berjaya menguasai bidang kemahiran atau meningkatkan tahap pendidikan mereka.

Bilakah masa yang paling sesuai untuk pekerja memikirkan soal bersara?

SIVA: Mereka mesti sedia merancang lima tahun lebih awal. Ini kerana kita lihat ramai yang bersara tidak ada rumah ataupun dua tahun sebelum hendak bersara baru ambil pinjaman untuk beli rumah. Ini menyebabkan tiga perempat wang pencen mereka dipotong untuk membayar pinjaman rumah. Baki tinggal RM100.

Sepatutnya perlu ditubuhkan satu bahagian di Kementerian Sumber Manusia yang khusus melatih pekerja yang bakal bersara.

Bakal pesara juga perlu dihantar mengikuti seminar bagaimana menguruskan kewangan dan mengenal pasti bidang yang boleh diceburi untuk memajukan diri selepas bersara.

Adakah lanjutan usia persaraan boleh memberi motivasi kepada kakitangan awam?

SIVA: Bagi mereka yang mencintai sektor awam, ia patutnya menjadi motivasi. Tetapi jika mereka tidak suka, ia tidak akan memotivasikan mereka. Kadang-kadang bukan semua orang bekerja mengejar wang ringgit.

Kewajipan bagi setiap kakitangan ialah untuk bekerja sehingga tamat tempoh perkhidmatan. Kalau tidak berminat, baik berhenti atau diberi pilihan untuk berhenti.

Dalam hal ini ketua jabatan perlu ambil tindakan secepat mungkin. Kalau perlu, mereka yang tidak berminat bekerja ini ditukarkan atau diberhentikan. Jangan simpan sampai 30 tahun baru hendak ambil tindakan sehingga mereka betul-betul tidak berminat dan malas.

Tindakan membetulkan mereka perlu dibuat lebih awal.

Adakah mereka yang terlibat dalam profesion yang memerlukan kekuatan fizikal seperti polis dan bomba juga perlu bersara lewat sedangkan apabila umur semakin meningkat mereka mungkin sudah tidak berupaya lagi?

SIVA: Saya fikir para pekerja kita mempunyai keupayaan tenaga yang boleh dibanggakan walaupun mereka telah berumur. Sebagai contoh, kita lihat anggota polis. Okay, mereka boleh tahan.

Soal yang perlu difikirkan sekarang ialah negara kita membiarkan orang bersara muda tetapi kemudian bergantung kepada tenaga buruh import.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum