2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 06 Mei 2001

Bersara lewat jejaskan pasaran buruh negara

Kesatuan-kesatuan sekerja mahu had umur persaraan wajib dinaikkan menjadi antara 58 hingga 60 tahun. Apakah pendirian saudara?

SHAMSUDDIN: Kita berpendapat kalau seseorang itu masih lagi berupaya dan masih produktif, terpulang kepada majikan untuk menawarkan kontrak kepada pekerja berkenaan supaya dia boleh terus bekerja. Apa-apa pekerjaan selepas umur 55 tahun itu bergantung kepada kemampuan individu dan majikan sendiri.

Jadi, kalau kita mengambil satu langkah yang mengatakan semua mesti bersara selepas umur 55, atau bekerja sehingga mencapai umur 60 tahun, kita tidak harus memaksa pekerja-pekerja ini bekerja melebihi had umur persaraan biasa.

Kadangkala kita lihat apabila seseorang itu telah mencapai umur 55 tahun, kalau kita kekalkan pekerjaan mereka, apa yang berlaku ialah peningkatan kos pengurusan pada pihak majikan.

Biasanya mereka yang telah mencapai umur 55 tahun diberi gaji maksimum dan dalam gred yang tertinggi. Untuk mengekalkan mereka dalam pekerjaan adalah mahal.

Sebab itu kalau kita lihat di Singapura, walaupun umur persaraan ialah 60 tahun tetapi ada undang-undang pencen yang memperuntukkan secara khusus bahawa kalau seseorang pekerja masih diambil bekerja, majikan berhak mengurangkan gajinya.

Di Malaysia, tiada peruntukan khusus mengenai bila pekerja perlu pencen kecuali dalam sektor awam. Malah dalam Akta Kerja atau Akta Perhubungan Perusahaan, tiada peruntukan mengenai umur pencen.

Kebanyakan syarikat swasta memperuntukkan elemen ini (apa yang seharusnya diikuti sebagai umur bersara) dalam terma perkhidmatan. Tetapi kebanyakan syarikat memilih 55 sebagai umur berpencen.

Apakah ini bermakna majikan mempunyai hak dari segi perundangan untuk menggaji seseorang sehingga 55 tahun sahaja?

SHAMSUDDIN: Boleh. Sebagai contoh, oleh kerana tiada perundangan, pekerja dalam sektor pengangkutan penerbangan seperti pramugara dan pramugari bersara lebih awal. Umur bersara mereka lebih rendah. Mereka bersara antara 45 dan 50 tahun.

Kita telah mengatakan salah satu sebab kenapa kita harus membenarkan mereka bersara pada umur 55 tahun dan tidak kemudian pada umur 60 tahun ialah kerana faktor kos.

Kedua, keadaan kesihatan pekerja berkenaan. Pada umumnya, apabila kita telah tua, kita akan dapat banyak penyakit. Oleh itu majikan terpaksa menampung faedah perubatan dan kos perubatan.

Kalau ini berlaku dan kalau kita mengambil pekerja selepas umur itu, kos perubatan yang terpaksa dibayar oleh syarikat akan meningkat.

Di sesetengah negara Barat, mereka ada insurans perubatan menyeluruh yang tidak membebankan majikan dari segi kos. Tetapi di Malaysia, insurans kesihatan tidak popular. Majikan biasanya akan menanggung sepenuhnya kos perubatan.

Satu lagi ialah kesesuaian kerja. Sesetengah kerja memerlukan tenaga fizikal. Sebagai contoh, dalam sektor perladangan yang memerlukan kekuatan fizikal, orang yang berumur 55 tahun akan sukar untuk bekerja.

Sudah tentu kalau kita mengambil mereka bekerja selepas umur 55 tahun, produktiviti mereka akan terjejas. Soalan yang patut kita tanya ialah sama ada mereka masih mampu bekerja.

Adakah saudara merasakan masih belum praktikal untuk melanjutkan usia persaraan?

SHAMSUDDIN: Dalam sektor swasta memang tiada perundangan berhubung bila seseorang perlu pencen. Oleh kerana tiada perundangan, 55 tahun cuma satu norma untuk bersara.

Syarikat-syarikat biasanya membuat keputusan had usia persaraan yang sesuai untuk mereka bergantung kepada jenis kerja.

Pada umumnya, apakah pilihan had umur persaraan syarikat-syarikat swasta sekarang?

SHAMSUDDIN: Berdasarkan kajian MEF, 93 peratus sektor swasta mengekalkan umur persaraan 55 tahun.

Motivasi merupakan satu lagi aspek yang perlu diambil kira. Apakah benar motivasi pekerja menurun bila mereka telah berumur?

SHAMSUDDIN: Sesetengah kerja memang macam itu. Dalam skim perkhidmatan, apabila seseorang mencapai umur bersara, mereka biasanya telah mencapai peringkat tertinggi dalam skim itu. Selepas itu, mereka tidak nampak apakah prospek kerjaya.

Mereka beranggapan bahawa kalau kerja kuat pun, tidak ada prospek dinaikkan gaji atau pangkat. Aspek motivasi adalah sesuatu yang harus dilihat.

Saya rasa kesannya ialah negatif. Jika umur persaraan dilanjutkan, misalnya kepada 60 tahun, ia akan memberi kesan kepada pekerja-pekerja yang lebih junior, seolah-olah kita menutup peluang mereka dinaikkan pangkat ke tahap lebih tinggi.

Kita perlu melihat apakah kesan kenaikan umur persaraan kepada pasaran buruh negara. Setiap tahun, sekurang-kurangnya 250,000 pekerja baru memasuki pasaran buruh. Adakah kita dapat mewujudkan kekosongan sebanyak itu?

Saya berpendapat bekalan pekerja dan peluang kerja tidak dapat diseimbangkan jika kita secara mengejut menaikkan usia persaraan. Kalau kita masih tetap ingin berbuat demikian, perlu ada perancangan serius misalnya memanjangkan tempoh persekolahan bakal-bakal pekerja.

Dalam suasana hari ini dengan kewujudan pendidikan tinggi swasta, tempoh persekolahan semakin pendek. Adakah ia akan membawa kesan jika usia persaraan dilanjutkan?

SHAMSUDDIN: Sudah tentu. Sekarang ini pun dalam tempoh had persaraan 55 tahun, secara purata 1.5 peratus pekerja bersara setiap tahun.

Dengan wujudnya sembilan juta pekerja di Malaysia, akan ada 135,000 orang akan bersara setiap tahun.

Kalau mereka ini masih dikekalkan dalam pekerjaan dan dicampur dengan 250,000 orang bakal pekerja, masalahnya ialah sama ada kita dapat tampung kesemua mereka.

Dalam jangka panjang, kesannya memang serius. Bila orang tiada kerja, ia akan menimbulkan masalah sosial.

Jangka hayat rakyat Malaysia meningkat. Berdasarkan alasan tersebut, hujah saudara itu sudah tidak sesuai?

SHAMSUDDIN: Apabila pekerja bersara pada usia 55 tahun, tidak bermakna mereka harus tidak bekerja langsung. Kita mesti wujudkan satu keadaan di mana kita masih boleh menggunakan tenaga mereka walaupun mereka telah bersara secara formal.

Misalnya mereka masih boleh bekerja secara separuh masa. Mereka yang telah mencapai umur 55 tahun biasanya ada simpanan.

Kalau dibandingkan simpanan dan kekayaan mereka yang baru habis persekolahan dengan mereka yang mencapai umur 55 tahun, saya fikir mereka yang baru habis sekolah perlu diberi keutamaan untuk bekerja.

Kalau dilanjutkan usia persaraan, ia seolah-olah menutup peluang mereka yang baru tamat persekolahan untuk bekerja.

Kalau dikekalkan dasar umur bersara semasa iaitu 55 tahun, adakah akan wujud konflik keutamaan antara tenaga kerja berpengalaman dengan pekerja-pekerja baru yang dilihat sebagai lebih produktif?

SHAMSUDDIN: Kita tidak perlu meninggikan had umur persaraan untuk memberi peluang kepada mereka yang telah mencapai 55 tahun untuk terus menyumbangkan khidmat mereka.

Misalnya doktor pakar sektor awam. Walaupun mereka terpaksa bersara pada umur 55 tahun, mereka boleh memberi khidmat secara kontrak atau sambilan ataupun menjadi pakar khidmat perunding.

Keadaan bekerja berubah daripada formal kepada informal. Jadi hubungan antara majikan dan pekerja yang bersara tidak terlalu terikat, ada fleksibiliti.

Sejauh mana peningkatan had umur persaraan memberi kesan dari segi sosial?

SHAMSUDDIN: Saya fikir majikan dan pekerja perlu diberi pilihan dalam soal ini. Masing-masing perlu bersetuju untuk berkhidmat, bukannya dipaksa berkhidmat.

Kena ada satu situasi di mana pekerja tidak merasa mereka perlu berkhidmat secara formal selepas umur 55 tahun ataupun cukup setakat 55 tahun dan biarkan mereka memulakan kehidupan kedua. Masa bersara itu adalah peluang terbaik untuk mereka tumpukan kepada aktiviti lain misalnya beribadat.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum