2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 06 Mei 2001

Amerika dimalukan - `Mata-mata dunia' disingkirkan suruhanjaya PBB

Oleh: ABDULLAH AHMAD
KATA Thomas Huxley, seorang pencuri dan pembunuh mengikut aturan semula jadi alam (nature) sama seperti seorang dermawan - the thief and the murderer follow nature just as much as the philanthropist. Masing-masing ada kelemahan dan kekuatan. Semua ada sifat baik dan buruk; sifat makruf dan mungkar.

Konsep hak asasi manusia seperti yang wujud dalam perisytiharan universal pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun 1948 adalah satu pemulihan bagi konsep the Rights of Man - hak asasi insan kurun ke-18.

Puan Eleanor Roosevelt (isteri Presiden Franklin Roosevelt), pengerusi pertama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB telah berkata, frasa lama ditukar daripada Rights of Man kerana bangkangan daripada seorang wakil yang menegaskan kerajaannya tidak akan memberi hak asasi kepada wanita! Satu taklik (helah) diadakan, maka dipanggillah Deklarasi Universal, yang sekarang dikenali sebagai hak asasi manusia.

Di Malaysia, pemantau (inspector) hak asasi manusia adalah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang pengerusinya adalah Tan Sri Musa Hitam yang merupakan seorang sekular, progresif dan liberal. Kadangkala, Musa juga boleh begitu konservatif bergantung kepada situasi.

Berita hari Jumaat lepas yang melaporkan Amerika Syarikat (AS) - yang selama ini mengangkat dirinya sendiri sebagai `mata-mata dunia' dan bermegah kononnya ia jaguh hak asasi manusia - kehilangan kerusinya dalam Suruhanjaya Hak Asasi PBB tidak menghairankan penulis langsung. Sebenarnya, negara-negara lain sudah jemu dengan tingkah laku AS yang amat suka jaga tepi kain orang lain.

Pada hal hak asasi manusia di AS bukanlah yang terbaik di alam ini. AS mengamalkan dua standard dan ukuran: satu baginya dan sekutunya seperti Israel, Arab Saudi dan Australia; satu lagi bagi negara-negara yang AS kurang senang dengan pemimpinnya seperti Malaysia, China, Kemboja, Cuba dan Sudan.

Akibatnya, AS hanya nampak kuman di seberang Sungai Potomac (sungai di ibu kota AS, Washington) dan tidak lihat gajah di depan hidungnya. AS telah kalah dalam pemilihan menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB bagi kali pertama semenjak suruhanjaya itu ditubuhkan 53 tahun lalu. AS adalah dikira negara pengasas suruhanjaya itu tetapi dalam pemilihan terbaru, undi AS adalah yang paling rendah di antara negara-negara barat.

Penulis yakin keputusan itu mencerminkan kekecewaan dan kemarahan sekutunya terhadap pelbagai pendirian Washington yang berbeza daripada sebuah negara ke sebuah negara lain dalam isu yang sama. Intifada rakyat Palestin misalnya dikecam tetapi pembunuhan yang dilakukan oleh Israel dibela pula atas dasar membela diri!

Teka-teki berterusan kenapa kuasa besar terunggul, terkaya, terkuat dan `mata-mata dunia' ini boleh kalah begitu teruk. Kononnya kekalahan itu kerana lobi kuat negara membangun terhadap kelakuan bermuka-muka AS dan kecamannya yang tidak saksama dan keterlaluan terhadap isu-isu yang sensitif dan atas kesalahan yang sama. Ia satu tamparan hebat bagi diplomasi AS.

Kritikan AS terhadap pencabulan hak asasi di negara lain seperti China, Cuba, Rusia dan di Sudan (Sudan menang!) adalah keterlaluan tetapi ia terus menutup mata dan takut bertindak dengan pantas dan jitu di atas pencabulan hak asasi manusia terutama oleh orang kulit putih terhadap orang kulit berwarna di AS sendiri dan pencabulan hak asasi manusia di Israel.

AS kecewa dengan kekalahannya tetapi kita jangan alpa. AS akan terus kuat dan berpengaruh. Sungguhpun AS tidak menjadi anggota (ertinya tidak boleh mengundi) tetapi AS bisa mengambil bahagian dalam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB ini. Lagi pun AS ada badannya tersendiri untuk memantau melalui Jabatan Negaranya (Kementerian Luarnya) yang jaga tepi kain orang di seluruh dunia. Setiap tahun Washington mengeluarkan hasil pemantauan/penyelidikannya itu. Malaysia tidak terkecuali dikritik.

Kekalahan AS akan memperkuatkan lagi sikap konservatif dasar luar AS dan Kongresnya yang kini dikuasai puak Konservatif dari parti Republikan. Pemerintah AS akan terus mengambil tindakan unilateral (tersendiri) dalam apa jua keinginannya terutama terhadap negara-negara yang lemah dan tidak strategik kepada kepentingan ekonomi dan keselamatannya. Dalam lain perkataan, keangkuhan AS tidak terjejas bahkan boleh meningkat lagi sebab ia kini sudah jatuh air muka.

Reaksi pantas datang dari Cuba, musuh ketat AS semenjak 1960 lagi. Havana menyifatkan AS kalah kerana sikap sombongnya, taktik memilih kasih atau kronisme yang Washington kecam tetapi amat terserlah diamalkannya dalam mempersoalkan isu-isu hak asasi manusia di seluruh alam.

AS amat suka dan amat tidak segan menggunakan tangan panjangnya untuk mempengaruhi negara-negara bermasalah atau mahu mendekatinya saban tahun untuk mendapat ketetapan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia agar mengutuk China dan Cuba atas tuduhan mencabul hak asasi manusia.

Kita di Malaysia wajar terus berwaspada dengan pemantauan AS dan anak-anak emasnya di Malaysia. Putrajaya, UMNO dan kita semua mahu meningkatkan hak kebebasan rakyat kita tetapi dengan cara kita tersendiri dan berasaskan kepada had laju kita bukan atas desakan AS. Lihat apa hasilnya demokrasi keterlaluan di Indonesia dan Filipina. Rakyat kedua-dua negara itu berduyun-duyun memasuki negara kita untuk lari daripada kemiskinan dan ketidakwujudan keteguhan politik. Menang sorak kampung tergadai. Mahu kita begitu?

Lagi pun rekod hak asasi manusia kita sebenarnya tidak buruk. Penulis telah melawat lebih separuh negara yang wujud di dunia ini. Kita tidak malulah walau apapun ukuran digunakan - kita kalau dianugerahkan ijazah oleh universiti manapun tidak mendapat kelas pertama, tidak juga kelas tiga; tetapi kelas dua antara rendah dan tinggi.

AS masih banyak hutang yang ia masih belum jelaskan kepada rakyat kulit hitamnya, hutang yuran dan sumbangan kepada PBB dan hutang moral kepada dunia sejagat. Maka ia janganlah keterlaluan menegur kawan dan lawan. Live and let live: sama-sama nak hidup!

Piagam PBB jelas menyatakan bahawa piagam itu didedikasikan kepada pencapaian kebebasan dan penghormatan terhadap hak asasi manusia tetapi ada pula bab yang tertentu mengehadkan campur tangan dalam hal kedua (kebebasan dan hak asasi manusia) yang di bawah kawalan dan bidang kuasa negara masing-masing. Dalam lain perkatan, tiada hak campur tangan dalam hal ehwal domestik negara lain.

Kalau setiap kuasa besar, kecil, kuat dan lemah menghormati piagam PBB, penulis kira dunia ini akan lebih aman dan makmur.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum