2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 06 Mei 2001

Penggunaan ilmu hitam berleluasa di Indonesia

WALAUPUN kota Jakarta dilanda pembangunan yang pesat namun kepercayaan sesetengah penduduknya terhadap perkara ghaib dan mistik tidak pernah berkurangan.

Apatah lagi kehidupan di kota besar ini memerlukan persaingan dan siapa yang tewas dalam `pertarungan' sudah pasti tidak akan mampu meneruskan perjuangan di Jakarta.

Justeru tidak hairanlah dalam memburu kejayaan, manusia sanggup melakukan apa sahaja termasuk menggunakan cara-cara yang mistik.

Minggu ini penulis akan memaparkan mengenai tindakan sesetengah wanita yang menggunakan ilmu hitam demi untuk mencapai kejayaan dalam pertandingan model dan ratu cantik yang mereka sertai.

Apa yang dipaparkan di sini adalah pengakuan benar beberapa wanita yang menyertai satu pertandingan model di sebuah hotel terkemuka di Jakarta baru-baru ini.

``Tetapi di Jakarta bukan sahaja dalam pertandingan model, dalam pertandingan lain juga ada orang menggunakan kekuatan ghaib untuk menang termasuk peraduan nyanyian, lawak jenaka, dangdut dan baca puisi.

``Semua itu mereka lakukan demi untuk memperoleh kejayaan bukan sahaja demi wang tetapi juga kerana nama,'' kata seorang seniman yang cukup popular di Indonesia ketika satu menghadiri pertandingan model di sebuah hotel.

Pelakon yang cukup dikenali dalam tiga zaman itu berpendapat, penggunaan cara-cara mistik itu tidak salah asalkan ia tidak bertujuan untuk menyakiti orang lain.

``Apa boleh buat, inikan tanah Jawa, satu kawasan yang cukup terkenal dengan perkara-perkara mistik seperti itu,'' katanya.

Beliau mengakui, penggunaan cara ghaib paling kerap dilakukan dalam pertandingan model dan nyanyian terutamanya keroncong.

Seorang pemuzik, A. Malik BZ yang kerap diundang menjadi juri dalam pertandingan nyanyian berkata, perbuatan menggunakan bantuan ghaib untuk mempengaruhi penilaian juri dan menarik simpati penonton sudah digunakan sejak dahulu lagi.

``Tetapi bagi saya mereka yang menggunakan cara demikian tidak mempunyai keyakinan pada diri sendiri,'' katanya yang terkenal melalui lagu ciptaannya berjudul Keagungan Tuhan.

Bagaimanapun, kata pemuzik yang lebih kerap dipanggil Bung Malik ini, cara yang digunakan dahulu dan sekarang agak berbeza.

``Kalau dahulu hanya orang tertentu menggunakan cara ghaib ini, itupun melalui pendekatan yang cukup halus, tetapi sekarang sesiapa sahaja boleh melakukannya dan kadang-kadang caranya pun dilakukan secara terbuka.

``Bagi saya, itu semua tidak salah kerana ia adalah hak seseorang untuk mencapai keinginan. Apatah lagi dalam sesuatu pertandingan tidak ada syarat yang menyatakan seseorang peserta tidak boleh menggunakan khidmat dukun,'' katanya sambil ketawa.

Penggunaan ilmu hitam atau ghaib ini diakui oleh bekas model terkenal dari Jawa Timur, Louisa Novellia yang kerap diundang menjadi juri pertandingan model di peringkat tempatan dan kebangsaan.

``Ada yang menggunakan cara halus dan ada pula yang menggunakan cara kasar. Cara halus ialah untuk mempengaruhi penilaian juri manakala cara kasar agak berbahaya iaitu menyakiti orang lain.

``Cara kedua itu sering menyebabkan seseorang peserta jatuh pengsan atau pitam ketika melangkah ke pentas,'' katanya.

Louisa mengakui bahawa dia pernah terkena pengaruh ilmu hitam ketika beberapa kali menjadi juri dalam pertandingan ratu cantik.

``Sudah beberapa kali ketika hendak duduk untuk menjadi juri, saya dapat rasa serangan halus yang bertujuan untuk mempengaruhi saya, agar menilai seseorang secara tidak sedar.

``Contohnya, agar pada mata saya seseorang itu nampak lebih daripada yang lain. Bagaimanapun, sekarang saya sudah mampu mengelakkan itu semua,'' katanya.

Hasil bantuan seorang teman yang bertugas di sebuah media terkemuka di Jakarta, penulis berkesempatan menghubungi beberapa gadis dan wanita yang mengaku menggunakan cara ghaib untuk meraih kejayaan.

Ika, 19, yang menuntut di sebuah universiti mengaku menggunakan ilmu ghaib semata-mata ingin meraih kejayaan dalam pertandingan peragawati yang disertainya.

``Saya sedar wajah saya tidak begitu cantik, tubuh hanya 155 sentimeter, gendut (gemuk) pula, oleh itu saya pasti tidak boleh menang kalau tidak dibantu dengan cara ghaib.

``Secara jujur, saya akui apa yang saya lakukan ialah kerana tidak yakin pada diri. Saya menggunakan susuk, itupun tidak pernah menjadi juara hanya sekadar naib juara,'' katanya yang tinggal Kemayoran, Jakarta Selatan.

Rakannya, Emma, 17, pula berkata, dia menggunakan cara ghaib semata-mata untuk memperoleh wang hasil daripada kejayaan dalam pertandingan yang disertainya.

Menurut Emma yang berasal dari Bogor, Jawa Barat, sebagai seorang yang masih lagi menuntut dia memerlukan wang yang banyak.

``Saya fikir cara itu lebih baik daripada saya menjual maruah saya untuk mencari wang bagi membiayai pelajaran sepertimana dilakukan oleh sesetengah rakan saya,'' katanya yang mempunyai lesung pipi yang cukup menarik.

Anak ketiga daripada enam adik-beradik ini menjelaskan, ilmu hitam yang digunakannya ialah untuk mengaburi mata juri supaya mereka memihak kepadanya.

``Tetapi malangnya saya tidak pernah jadi juara sekadar tempat kedua dan ketiga sahaja, mungkin juri juga menggunakan ilmu pendinding,'' katanya sambil ketawa.

Namun begitu, Miraty, 20, yang bertugas di sebuah hotel terkemuka di Jakarta mengaku tidak pernah menggunakan cara-cara sedemikian untuk mencapai kejayaan.

Miraty yang mempunyai wajah yang agak cantik serta tubuh yang seksi memberitahu penulis, penggunaan cara ghaib hanya mendedahkan kebodohan seseorang.

``Setiap kali menyertai pertandingan, saya hanya yakinkan diri saya dan berdoa kepada Allah. Biarlah orang lain menggunakan cara tidak baik, apa yang penting saya tidak berbuat demikian, semuanya saya serahkan kepada Allah,'' katanya.

Kalau sesiapa juga melihat Miraty mereka sudah tentu sependapat dengan penulis bahawa gadis keturunan Sunda ini tidak memerlukan cara ghaib untuk meraih kejayaan dalam pertandingan ratu cantik yang disertainya.

Ini kerana selain memiliki kulit yang putih melepak dan bentuk badan yang menarik, Miraty juga mempunyai gaya menawan yang boleh menggoncang dada sesiapa sahaja yang melihatnya, apatah lagi dengan pakaian skirt yang terbelah sehingga ke paha.

Namun begitu, walaupun memiliki kelebihan tersebut, Miraty mengakui dia hanya tiga kali menjadi johan manakala selebihnya dia cuma mampu menduduki tempat kedua dan ketiga.

``Kemenangan yang paling kerap saya capai ialah dipilih sebagai `model pilihan penonton','' katanya.

Tetapi apa yang menarik, Miraty mendedahkan tidak semua mereka yang menang menggunakan cara ghaib tetapi ada pula yang menggunakan cara pintas iaitu membayar rasuah kepada penganjur.

``Ada penganjur meletakkan `harga' bagi johan dan naib johan, oleh itu siapa yang banyak wang pasti akan menang,'' katanya.

Titut, 46, yang menyertai acara keroncong pula berkata, dia tidak menggunakan cara ghaib untuk mencapai kemenangan dalam pertandingan.

``Tetapi saya berpuasa sehari sebelum pertandingan, bukan untuk mencapai kejayaan tetapi untuk mengelakkan diri daripada sebarang perbuatan syirik oleh peserta lain,'' katanya.

Titut mengakui, dia pernah kehilangan suara secara tiba-tiba ketika menyertai satu pertandingan nyanyian keroncong baru-baru ini.

``Semua itu dilakukan oleh mereka yang sengaja ingin mengganggu persembahan saya,'' katanya.

Seorang paranormal, Eyang Sathya Dharma mengakui bahawa penggunaan cara ghaib dalam sesuatu pertandingan di Jakarta bukanlah satu perkara yang aneh.

``Sejak zaman dahulu, kekuatan mistik digunakan dalam bentuk kesenian, tujuannya antara lain untuk menarik perhatian penonton,'' katanya.

Demikianlah secebis kisah mengenai kehidupan sesetengah warga Jakarta. - MINGGUAN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum