2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 08 Mei 2001

Tindakan tegas cara hapuskan politik wang-Lidah Pengarang

KEBURUKAN politik wang acap kali diperkatakan dalam UMNO. Pucuk pimpinan parti sudah berkali-kali menasihatkan ahli-ahli supaya menjauhkan diri daripadanya yang sebenarnya merupakan satu bentuk rasuah.

Peringatan itu semata-mata kerana tidak mahu menjadikan rasuah sebagai masalah parti atau lebih buruk lagi sehingga menjadi budaya di kalangan ahli UMNO, yang umumnya orang Melayu. Akhirnya, jika itu berlaku, orang Melayu akan lemah.

Sekiranya rasuah dikaitkan dengan tender sesuatu projek, ia akan mendorong kenaikan kos barangan atau perkhidmatan tetapi politik wang dalam parti, jika dibiarkan berleluasa, akan membolehkan mereka yang tidak berkaliber menerajui kepimpinan parti di semua peringkat.

Mereka yang benar-benar berkebolehan mungkin tidak terpilih. Ini kerana asas kecenderungan untuk pihak yang mengamalkan politik wang adalah mereka yang tidak yakin dengan keupayaan diri. Lantas mereka menggunakan `ramuan politik wang' sebagai jalan pintas, walaupun ia amalan keji.

Pemimpin yang bertunjangkan politik wang bukan sahaja tidak berwibawa malahan tidak akan mampu membawa UMNO memacu agenda pembangunan negara.

Lantaran itu, UMNO telah mengambil langkah awal untuk memintas sebarang usaha untuk memperkenal dan mempopularkan politik wang dalam pelbagai peringkat proses pemilihan pemimpinnya.

Pembentukan Lembaga Disiplin adalah antara bukti kepimpinan UMNO serius mahu menghindarkan parti daripada pelbagai masalah termasuklah politik wang.

Sabtu lalu, Lembaga Disiplin telah pun mendapati enam orang termasuk tiga ketua bahagian yang baru dipilih, terbabit dalam politik wang.

Bagi mereka yang memenangi jawatan, hak itu dilucutkan serta-merta dan mereka juga dilarang untuk bertanding dan memegang jawatan dalam parti bagi tempoh tertentu.

Memang benar, tindakan sedemikian mungkin menjejaskan sokongan kepada parti tetapi adalah lebih baik bagi UMNO membina asas kekuatan daripada asas-asas yang luhur.

Sehubungan itu, kepimpinan UMNO tidak harus berhenti setakat itu sahaja. Majlis Tertinggi perlu mencadangkan agar kes-kes politik wang yang mempunyai bukti jelas dirujuk kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) agar tindakan dari segi undang-undang negara boleh diambil terhadap mereka yang terbabit.

Selain menghukum pengamal politik wang, tindakan tegas itu akan menjadi satu lagi bentuk amaran kepada ahli-ahli parti daripada mengamalkan atau bersubahat dengan perbuatan terkutuk itu.

Para pemimpin UMNO perlu bersih termasuklah daripada amalan politik wang kerana mereka perlu berwibawa serta menjadi contoh, lebih-lebih lagi UMNO sebagai parti tulang belakang Barisan Nasional (BN) yang memerintah.

Kegagalan semua ahli UMNO melahirkan barisan kepimpinan yang bersih, sekali gus akan mendedahkan kepada kepimpinan negara yang pincang.

Barisan kepimpinan yang lemah tidak akan memudahkan mereka melaksanakan tanggungjawab membela nasib bangsa, agama dan negara.

Justeru, kita percaya tindakan tegas dalam membersihkan parti daripada politik wang akan mendatangkan masa depan cerah bagi UMNO, BN dan Malaysia.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum