2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 08 Mei 2001

Bezakan politik dengan geopolitik

SAYA mengucapkan berbanyak terima kasih kepada saudara Omar Nor dari Bandar Baru UDA, Johor Bahru yang telah mengulas tulisan saya tentang kaedah mengetahui pada 19 April. (Lihat Utusan Malaysia, 27 April.)

Saya tidak fikir beliau tidak faham maksud saya apabila saya berkata, `Tuhan jadi sendiri,' untuk menjawab persoalan kalangan ahli sains yang tidak percaya kepada Tuhan dan bertanya, ``Jika alam ini dijadikan Tuhan, siapa pula yang menjadikan Tuhan?''

Pertanyaan ini mereka ajukan kerana, mengikut pengalaman dan penyiasatan mereka, semua benda ada sebabnya. Dalam tulisan itu, saya menunjukkan bahawa kaedah `saintifik' mereka yang hanya mengiktiraf bukti-bukti daripada persepsi atau mengikut beliau, kognisi deria dan logika tidak lengkap kerana ia gagal menghuraikan kejadian-kejadian yang tidak boleh dibuktikan dengan dalil-dalil logika atau deria.

Inilah pengetahuan yang diperoleh melalui hubungan langsung dengan hakikat, yang dalam istilah Quran disebut haqqul-yaqin.

Benarlah seperti yang dikatakan oleh saudara Omar bahawa Tuhan tidak tertakluk kepada batasan ruang dan waktu. Dia sentiasa ada dan mustahil tiada. Dia ada di mana-mana dan mustahil tiada di mana-mana.

Tetapi dalam kita berkomunikasi, kita terpaksa menggunakan bahasa, sedangkan bahasa itu sendiri tertakluk kepada batasan ruang dan waktu.

Ambil contoh Quran itu sendiri. Ia kalam Allah, tetapi adakah kalam Allah itu dalam bahasa Arab, seperti yang dituturkan oleh orang Arab zaman Nabi Muhammad s.a.w?

Jawabnya Quran dalam bahasa Arab, bukan kerana Tuhan bercakap bahasa Arab, tetapi, kerana ia diturunkan kepada orang Arab. Malah Tuhan tidak bercakap seperti manusia bercakap!

Ambil satu lagi contoh daripada ayat suci: Perintah-Nya apabila Ia menghendaki sesuatu ialah berkata kepadanya, `Jadilah! Maka jadilah.' (Quran, 36: 81).

Orang yang bebal dan suka bertengkar akan bertanya, ``Bilakah Tuhan mengeluarkan perintah ini?''

Hujah beliau mengenai penggunaan perkataan `persepsi' dengan `kognisi' juga jatuh dalam bidang semantik, yakni makna perkataan. Antara makna kedua-dua perkataan ini ialah `mengetahui'. Persepsi deria ialah mengetahui melalui deria. Begitu juga makna kognisi melalui deria.

Saya mengaitkan kaedah mengetahui ini dengan kemelut politik kita sekarang, yang banyak diwarnai oleh propaganda dan fitnah. Dalam hal ini, saya mengatakan pendapat orang ramai tidak boleh dijadikan ukuran untuk menentukan kebenaran.

Pendapat orang ramai boleh berubah dari semasa ke semasa atau dalam sekedip mata kerana pendapat ini sama ada berdasarkan kepercayaan nenek moyang dari turun-temurun, seperti kepercayaan kepada berhala (termasuk taksub kepada guru dan pemimpin) atau kepada propaganda, hasutan dan fitnah. Ini semua akan hapus apabila kebenaran muncul.

Kenyataan saudara Omar bahawa dalam politik soal benar atau salah bukan soal pokok, itu bahaya. Dalam politik seperti dalam hal lain, soal kebenaran itu pokok. Oleh kerana makin ramai orang kita percaya bahawa dalam politik, membohong dibenarkan, maka itulah sebabnya politik kita merosot dan kemelut politik berlaku. Kita harus membezakan antara politik dengan geopolitik.

Geopolitik diamalkan oleh kaum penjajah untuk menjajah. Kita orang mukmin berpolitik untuk membebaskan manusia daripada penjajahan. Zaman kita menuju politik untuk membasmikan kaum penjajah sepenuhnya dari muka bumi. Saya harap saudara Omar jangan membantu kaum penjajah dengan mengesahkan geopolitik! - HANG JEBAT, Kuala Lumpur

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum