2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 10 Mei 2001

Kaji tawaran kursus IPTA-Lidah Pengarang

SISTEM pengurusan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang melibatkan kuota bumiputera menjadi kecoh beberapa hari lalu apabila 600 pelajar keturunan Cina yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) gagal mendapat tempat di universiti awam tempatan.

Semalam Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad menjelaskan mengenai isu tersebut di Parlimen. Dua punca utama timbul kekeliruan tersebut adalah kerana pelajar Cina terlampau memilih kursus dan kokurikulum yang tidak menyokong markah kelayakan mereka ke universiti.

Perebutan untuk mengambil kursus-kursus popular yang berkaitan bidang sains dan matematik menjadi punca utama kegagalan memasuki universiti kerana pelajar Cina yang cemerlang itu hanya menumpukan permohonan kepada 10 jenis kursus daripada 81 kursus yang ditawarkan. Perebutan ini mewujudkan persaingan sesama mereka menjadi sengit setelah ditolak agihan kuota untuk pelajar bumiputera dan bukan bumiputera pada nisbah 55:45.

Jika kita hendak memenuhi harapan golongan pelajar ini, kerajaan perlu berbelanja besar. Ini kerana bidang pengajian pilihan mereka bukan boleh diisi dengan jumlah pelajar yang ramai sebagaimana bidang pengajian sastera yang mungkin hanya menggunakan buku, pen dan kertas. Tetapi bidang yang dipilih oleh pelajar cemerlang ini ialah pengajian yang khusus yang memerlukan makmal, peralatan serta bahan pengajaran yang mahal di samping bilangan tenaga pengajar yang terhad.

Kita memahami perasaan pelajar cemerlang, bukan sahaja pelajar Cina tetapi juga pelajar daripada kaum-kaum lain yang turut cemerlang tetapi gagal merebut pilihan utama seperti yang diisi dalam borang permohonan ke IPTA.

Mereka yang gagal ini jangan cepat berputus asa, mereka masih berpeluang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang turut menyediakan kursus-kursus profesional yang mereka hajati.

Namun aliran sekarang memperlihatkan minat ibu bapa bukan bumiputera terhadap IPTA terus meningkat. Ini dipercayai kerana mutu tenaga pengajar dan tahap akademik yang tinggi di IPTA di samping kos pengajian yang jauh lebih murah berbanding di IPTS.

Sebenarnya ada kesan positif daripada kekeliruan soal kuota IPTA yang berlaku sekarang ini. Manfaatnya ialah kerajaan harus melihat semula kursus-kursus yang ditawarkan di IPTA. Malah kecenderungan pelajar yang semakin bertambah memilih disiplin ilmu berkaitan dengan sains, teknologi dan maklumat seharusnya mendorong pihak kerajaan membuat perancangan segera.

Pelajar kini berebut-rebut mengikuti pengajian bercorak masa depan atau futuristik hingga ilmu bidang angkasa lepas, tetapi universiti kita nampaknya belum mampu menampung golongan seperti ini. Demi masa depan negara, Kementerian Pendidikan perlu mencari jalan menyediakan lebih banyak tempat dan menambah bilangan tenaga pengajar dan kemudahan pembelajaran.

Menerusi Belanjawan 2001, kerajaan merancang membina empat buah universiti yang akan dibina di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Perlis yang menelan belanja keseluruhan berjumlah RM3.5 bilion. Menerusi Rancangan Malaysia Kelapan (2001-2010) pula, kerajaan merancang membina 13 buah universiti.

Sungguhpun kita telah pun ada 10 buah IPTA, lapan buah IPTS bertaraf kolej dan universiti serta 591 buah bertaraf bukan universiti, jumlah itu masih belum mencukupi untuk menampung keperluan pelajar yang semakin bertambah.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum