2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 14 Mei 2001

Pantau tindakan penyangak mata wang-Lidah Pengarang

CUBAAN spekulator asing untuk menjatuhkan nilai ringgit bagi tujuan mengaut keuntungan dan seterusnya menggugat kestabilan ekonomi negara bukanlah satu cerita baru.

Kumpulan ini, yang tidak kelihatan dengan mata kasar, merupakan sebahagian daripada mereka yang pernah menjahanamkan ekonomi negara pada sekitar tahun-tahun 1997/98. Terlalu perit apabila memikirkan kesan yang dihadapi oleh negara akibat perbuatan tersebut. Namun tindakan cepat kerajaan melalui idea bijak Dr. Mahathir Mohamad telah membawa Malaysia ke landasan yang betul.

Langkah-langkah kawalan modal yang diperkenalkan oleh kerajaan telah berjaya memulihkan semula ekonomi negara. Penetapan nilai ringgit pada kedudukan RM3.80 adalah satu langkah berani yang dikritik hebat oleh pelbagai penganalisis dan pihak luar. Mereka mengatakan apa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir itu akan membawa bencana kepada negara ini.

Kejayaan yang dikecapi oleh negara hasil langkah itu (walaupun tidak 100 peratus berjaya), sebenarnya tidak disenangi oleh banyak pihak. Pihak-pihak `yang tidak nampak' ini sedaya upaya mahu merosakkan kembali ekonomi negara termasuklah cubaan yang terbaru itu. Mereka meniupkan khabar-khabar angin liar mengatakan kerajaan akan menurunkan nilai ringgit daripada RM3.80 kepada RM4.20 (berbanding sedolar Amerika).

Dalam masa yang sama, kumpulan ini membeli dolar AS dalam jumlah yang banyak dengan harapan jika nilai ringgit diturunkan mereka akan mendapatkan ``keuntungan atas angin'' dengan membeli semua ringgit dengan nilai yang lebih murah.

Apa yang memeranjatkan, cubaan itu turut dilakukan oleh rakyat tempatan. ``Kelihatannya mereka menunggu sahaja ringgit kita diturunkan nilai walaupun Menteri Kewangan dan saya berulang kali mengatakan ia tidak akan berlaku,'' kata Dr. Mahathir kepada pemberita kelmarin.

Mereka jugalah yang dipercayai mereka-rekakan pelbagai cerita bohong, analisis serta tohmahan jahat untuk memastikan matlamat mereka berjaya, termasuk mengaitkan hubungan Dr. Mahathir dan Menteri Kewangannya, Tun Daim Zainuddin.

Malaysia sebenarnya telah belajar daripada kesilapan dan kealpaannya dahulu untuk tidak membiarkan ia dipermainkan lagi oleh penyangak mata wang ini. Penyangak ini, yang didalangi oleh broker-broker mata wang besar dunia tidak peduli apa akan terjadi kepada sebuah negara kecil ini asalkan mereka mendapat keuntungan yang besar.

Walaupun ada pihak yang menuduh kumpulan itu didalangi pula oleh kuasa yang lebih besar, yang menjadi penentu kepada jatuh bangunnya sesebuah negara, kita penuh yakin kerajaan Malaysia tidak akan terpelecok sekali lagi.

Kita sebagai rakyat Malaysia akan berdiri teguh di belakang kerajaan bagi memastikan penyangak dan apa sahaja unsur yang cuba menjatuhkan negara ini melalui permainan ekonomi dan kewangan dapat dilenyapkan. Apa yang perlu dilakukan seperti yang dipesankan oleh Dr. Mahathir ialah dengan meningkatkan produktiviti pekerja, memelihara kestabilan politik negara dan hubungan perusahaan yang baik.

Lebih penting, kerajaan juga harus memantau secara serius tindakan terkini penyangak tersebut dan mengenal pasti pihak-pihak dari dalam negara yang terbabit dengan kegiatan itu. Mereka ini umpama gunting dalam lipatan yang amat berbahaya kepada rakyat dan negara.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum