2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 14 Mei 2001

Merangka kurikulum baru masjid

PERKATAAN `kurikulum' biasanya dikaitkan dengan institusi pendidikan. Oleh kerana peranan utama masjid ialah sebagai pusat pembangunan, maka ia juga memain peranan utama sebagai tempat pendidikan. Setiap pusat atau institusi perlu menggunakan kurikulum yang jelas bagi mencapai sifat-sifat pelajar yang dikehendaki. Secara ringkasnya, umat Islam perlu membuat keputusan tentang sifat-sifat apa yang dikehendaki untuk setiap individu Muslim dan seterusnya membentuk kurikulum khusus bagi mencapainya.

Pendekatan kurikulum masjid adalah berdasarkan pada satu pernyataan penting yang perlu dihayati oleh setiap Muslim. Masalah yang perlu difokuskan bukanlah semata-mata tentang reka bentuk dan perancangan bangunan masjid tetapi adalah kepada pembentukan struktur masyarakat Islam moden yang dapat mengharungi cabaran semasa.

Jika kita terlalu ghairah membicarakan tentang kecantikan masjid atau ketepatan penggunaan daripada pedoman sejarah semata-mata, hasil perancangan masjid tidak akan berjaya membentuk masyarakat Islam yang baik. Pemikiran semula persoalan baru tentang bangunan hanya boleh dibuat melalui persoalan terus kepada permasalahan masyarakat yang mengguna bangunan tersebut.

Dalam hal ini, persoalan tentang masjid hanya boleh dijawab dengan cara kita mempersoalkan tentang apa yang sebenarnya dikehendaki oleh masyarakat Muslim bagi membina umat yang kental menghadapi cabaran semasa. Seni bina hanya berperanan sebagai `pentas' bagi pelaksanaan aktiviti yang ditetapkan dan menjayakan matlamat tersebut.

Saya hanya akan membicarakan satu contoh penting tentang persoalan baru yang jarang kita ketengahkan bagi merancang pendekatan pembangunan masjid. Persoalan ini adalah tentang krisis identiti masyarakat Islam.

Krisis identiti yang melanda komuniti Islam dewasa ini bukan bermaksud ketiadaan objek-objek atau bahan-bahan visual yang memaparkan identiti Islam. Zaman moden ini penuh juga dengan simbol-simbol Islam dari sudut fesyen pakaian, masjid yang besar dan mahal-mahal yang berbahasakan seni bina Timur Tengah dan slogan-slogan politik ala Islam di dalam media massa dan sebagainya.

Memang umat Islam boleh mendabik dada bahawa keislaman wujud dalam kurikulum sekolah hingga ke universiti dan mereka masih merayakan majlis-majlis keislaman di merata-rata tempat.

Apa yang dimaksudkan dengan krisis identiti ini adalah kehilangan perasaan keislaman di dalam budaya hidup masyarakat. Bayangkan keadaan di mana proses pembesaran seseorang individu tidak lagi diikat dengan budaya-budaya keislaman seperti upacara berkhatan, marhaban, perkahwinan dan khatam al-Quran.

Cuba amati kehidupan sesebuah keluarga yang baru dan telitikan perkembangannya di dalam masyarakat Islam. Upacara pernikahan tiada lagi dibuat di masjid tetapi di rumah. Apabila si isteri melahirkan anak budaya tentang akikah dan kenduri marhaban serta upacara penamaan dan pengumuman ramai amat kurang sekali diadakan. Upacara berkhatan berlaku biasanya di klinik dan berakhir di rumah. Pembelajaran seni mempertahankan diri dipelajari secara berasingan daripada agama Islam dan bermatlamatkan sesuatu yang bukan dari semangat perjuangan Islam. Si ayah dan si ibu tiada memainkan peranan apa-apa dalam komuniti Islam.

Masjid dibina biasanya dengan memberi wang kepada kontraktor. Gotong- royong bagi kenduri-kendara berkurangan dan digantikan dengan `catering' sahaja. Walaupun terdapat pelajaran sekolah agama, ia dilihat sebagai proses penghafalan dan bukan pencorak budaya.

Terdapat banyak kesan krisis identiti ini. Gejala sosial yang melanda remaja berkait rapat dengan keadaan remaja yang tidak ada tanggungjawab dalam masyarakat.

Orang dewasa yang menjadi ibu bapa kepada remaja ini sibuk mencari rezeki untuk menyara corak kehidupan yang mewah. Identiti kemewahan seperti kenderaan, pakaian, perabot, peralatan rumah dan harta benda menggamit golongan dewasa untuk hidup berkredit, berhutang piutang dan terus terjebak untuk menyara bayaran ansuran yang tidak putus-putus.

Rangka Kurikulum Masjid

Sesebuah kurikulum merupakan suatu perancangan sistematik untuk menghasilkan `pelajar' yang memenuhi suatu set objektif yang telah ditentukan. Perancangan kurikulum bergantung kepada matlamat dan objektif-objektif yang menjelaskan sifat, keadaan fizikal dan tahap intelektual yang dikehendaki.

Setelah memikirkan tentang masalah-masalah utama yang dihadapi oleh masyarakat Islam, saya mencadangkan bahawa matlamat utama kurikulum masjid adalah seperti berikut.

Untuk menghasilkan individu Muslim yang berfikiran kritis, berkeadaan sihat dan mempunyai hubungan ukhuwah yang erat.

Daripada matlamat ini, terdapat tiga objektif kurikulum masjid yang dapat diperincikan. Pertama, menghasilkan Muslim yang dapat mencari dan menggunakan sumber-sumber ilmu sedia ada bagi membangunkan masyarakat.

Kedua, menghasilkan Muslim yang mempunyai hubungan silaturahim yang erat sesama sendiri dan mempunyai tahap toleransi baik dengan bukan Muslim dalam sesebuah komuniti.

Ketiga, menghasilkan Muslim yang mempunyai tubuh yang sihat dan kuat bagi menggembleng segala aktiviti serta mampu mempertahankan komuniti, masyarakat, bangsa dan negara daripada kekacauan.

Pengisian akademik mempunyai beberapa matlamat penting dalam pembinaan seseorang Muslim yang berilmu, beribadah, bertanggungjawab dan berkeperibadian tinggi.

Pertama, seseorang Muslim itu perlu memahami tanggungjawab individu sebagai seorang Muslim dari sudut memahami dan mempraktikkan ibadah khusus dan tanggungjawab terhadap keluarga, tetangga dan komuniti.

Minda seseorang Muslim itu dibentuk agar ia lebih kritis mencari, memahami dan menilai ilmu dan bukan bergantung semata-mata daripada satu sumber ilmu sahaja.

Kedua, seseorang Muslim itu perlu sedar tentang tanggungjawab sebagai rakyat sebuah negara yang menjadi tanah tumpah darahnya dengan memahami konteks sosial, politik dan ekonomi setempat agar kesedaran Islam dapat membantu membangun negara yang maju dan yang mempunyai kehidupan antara kaum yang harmoni.

Ketiga, seseorang Muslim itu perlu sedar tentang tanggungjawabnya terhadap Muslimin di negara-negara lain agar batasan geografi dan politik tidak memisahkan ukhuwah kekeluargaan agama yang dituntut oleh Islam.

Keempat, seseorang Muslim itu perlu mengetahui tanggungjawab serta cabaran yang mungkin diterima daripada orang-orang yang belum menerima penjelasan Islam dengan baik. Muslim yang sejati perlu bersedia menjadi pendakwah sukarela yang berperanan menjelaskan keharmonian Islam yang dipraktikkannya dan bukan memaksa kaum lain menerima Islam dengan apa cara sekalipun.

Kelima seseorang Muslim itu harus mempunyai akhlak yang mulia dan keupayaan kepimpinan untuk berkerjasama membangunkan ummah. Pengisian berikut yang khusus ditujukan kepada golongan belia dan dewasa diharap dapat mencapai kelima-lima matlamat yang disebutkan.

Selain daripada pembangunan umat Islam dari aspek intelektual, adalah perlu juga untuk membangunkan aspek jasmani dan mempereratkan ukhuwah di kalangan masyarakat. Umat yang sihat tubuh badan dapat berjuang untuk Islam dengan lebih berkesan lagi dan umat yang saling kasih mengasihi di antara satu sama lain tidak mudah diporak-perandakan oleh musuh-musuh Islam.

Golongan remaja seharusnya diberi perhatian khusus sebagai pelapis generasi Islam yang mempunyai tanggungjawab jelas. Mereka ini akan mewarisi budaya hidup Islam dan memastikan kekekalannya di muka bumi ini. Program-program seperti sukan, sukaneka, pelajaran seni mempertahankan diri dan senaman dapat menjayakan objektif pembangunan jasmani.

Majlis-majlis keramaian seperti hari keluarga, hari identiti Islam (bersunat, akikah, kelahiran, perkahwinan), perayaan sejarah Islam (Perang Badar, pembebasan Mekah dan sebagainya), kursus-kursus motivasi dapat menemukan individu-individu serta keluarga-keluarga supaya pertalian persahabatan menjadi lebih erat. Dengan cara ini juga kesemua individu dalam kariah dapat digerakkan untuk mengisi keperluan menjayakan program-program pendidikan dan gotong- royong.

Mesej utama esei ini adalah bahawa reka bentuk dan perancangan masjid bukan terletak kepada masalah `sejarah' atau `fungsi' tetapi kepada persoalan kritis terhadap penstrukturan semula sikap dan bentuk komuniti Islam. Setiap komuniti Islam perlu menggariskan suatu kurikulum yang jitu bagi mendidik setiap individu Muslim di dalam kariahnya. Mesej ketiga adalah bahawa para arkitek dan perancang bandar perlu melepaskan kongkongan sejarah bagi menghasilkan sebuah masjid yang boleh digunakan sepenuhnya oleh sesuatu komuniti dalam melaksanakan program-program pembangunan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum