2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 15 Mei 2001

Kewajaran majlis perundingan kaum-Lidah Pengarang

CADANGAN Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) supaya sebuah majlis perundingan perpaduan nasional ditubuhkan bagi menangani isu-isu berkaitan perpaduan kaum, adalah satu lagi idea yang harus diberi perhatian oleh semua pihak.

Malah kesediaan kerajaan untuk mempertimbangkan cadangan itu sebagaimana yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin, membuka ruang kepada percambahan idea-idea dalam menjayakan misi perpaduan pada cabaran alaf baru ini.

Antara rasional cadangan yang dikemukakan oleh Pengerusi Suhakam, Tan Sri Musa Hitam itu ialah bagi menangani isu perpaduan dengan berkesan dan komprehensif.

Cadangan tersebut sama seperti pembentukan majlis perundingan selepas tragedi 13 Mei 1969 untuk menggalakkan perpaduan nasional di kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Sebenarnya cadangan itu bukanlah sesuatu yang baru kerana ia pernah dicadangkan oleh beberapa pihak dalam forum-forum tertutup, termasuk ketika pertemuan antara media dan Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat.

Apa pun, ia tetap cadangan bernas yang menuntut perhatian ketika perpaduan masih menjadi isu yang menghantui rakyat dalam usaha Malaysia memastikan kestabilan untuk muncul sebagai negara maju menerusi Wawasan 2020.

Insiden pergaduhan di Jalan Klang Lama dan beberapa isu berorientasikan perkauman sejak kebelakangan ini merupakan isyarat jelas betapa tahap perpaduan di kalangan rakyat termasuk generasi muda masih goyah.

Kejayaan awal usaha-usaha pemulihan masalah perpaduan selepas 13 Mei 1969 walaupun banyak membantu kepada kestabilan politik dan ekonomi yang lebih baik sebelum ini, nampaknya tidak menjanjikan nikmat yang berpanjangan.

Jika langkah-langkah berkesan dan komprehensif tidak dilakukan sekarang, rakyat Malaysia akan lebih mudah berdepan dengan risiko ketegangan dan pergaduhan kaum serta agama, lebih-lebih lagi dalam era liberalisasi dan globalisasi pada alaf baru ini.

Perpaduan merupakan komponen terpenting dalam pembinaan kuasa nasional di negara ini apatah lagi Malaysia merupakan sebuah negara pelbagai kaum, agama dan budaya.

Tanpa perpaduan yang mantap, Malaysia bukan sahaja terdedah kepada bahaya perpecahan malah tidak akan mampu menjayakan persaingan di peringkat antarabangsa, yang akhirnya merugikan semua kaum di negara ini juga.

Sebenarnya sudah banyak yang diperkatakan tentang masalah perpaduan dan inilah masa untuk bertindak dengan menjuruskan perhatian kepada penyelesaian permasalahan daripada yang kecil sifatnya sehinggalah kepada yang sebesar-besarnya.

Daripada isu-isu hambatan sosial, pendidikan, ekonomi sehinggalah kepada soal agama - ia memerlukan penelitian segera, perundingan dan penyelesaian terbaik bagi mengelakkan masalah perpaduan berlarutan dan menjadi duri dalam daging.

Majlis sedemikian juga boleh bertindak memantau perkembangan yang ada, menghidu segala bentuk ancaman perpaduan, menyediakan pengurusan krisis terbaik dan memberikan segala syor serta formula berkesan bagi menangani isu perpaduan.

Maka majlis tersebut boleh digerakkan untuk menjadi satu lagi mekanisme kepada negara dalam menangani permasalahan yang ada selain bersedia menangani sebarang permasalahan masa depan yang sudah boleh dijangka dari sekarang.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum