2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 15 Mei 2001

Peluang pejabat Mufti Kedah jelas isu agama

Oleh: SALLEH BUANG
AKHBAR Mingguan Malaysia Ahad lalu menyiarkan berita mengenai arahan kerajaan negeri Kedah kepada pejabat muftinya supaya mengadakan siri wacana bagi "memberi penjelasan kepada orang ramai mengenai kekeliruan atau persoalan berkaitan dengan agama Islam" (lihat Mingguan Malaysia, 12 Mei 2001.

Program penerangan baru yang diilhamkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain ini khabarnya akan diadakan di bandar-bandar besar di negeri itu, termasuklah Alor Setar, Sungai Petani, Kulim dan Langkawi. Program ala road show yang dikatakan besar-besaran ini akan memberi kebebasan (dan peluang sepenuhnya) kepada mufti menjelaskan kepada anak negeri itu mengenai `sebarang isu berkaitan dengan agama tanpa campur tangan politik'.

Syed Razak dipetik berkata demikian setelah merasmikan Wacana Fatwa Negeri Kedah di Institut Perguruan Darul Aman (IPDA) di Bandar Darulaman baru-baru ini. Antara matlamat progam itu, tambahnya lagi, ialah membantu `membetulkan salah faham' mengenai agama terutama di kalangan anak muda.

Saya tertarik dengan pandangan Menteri Besar ini apabila beliau mengakui bahawa `orang politik' secara umumnya tidak berdaya membincangkan isu agama tanpa dipengaruhi oleh fahaman politik dan pendirian parti politiknya.

Justeru saya setuju dengan saranan terbaru kerajaan negeri supaya biarlah orang yang berkecuali (seperti mufti) diberi peluang berbuat demikian tanpa sebarang sekatan dan rintangan.

Kerajaan negeri mengharapkan sesi penjelasan di seluruh negeri ini akan dapat meningkatkan pemahaman dan mengurangkan (sekalipun mungkin susah untuk melenyapkan sama sekali) salah faham agama di kalangan penduduk negeri itu.

Sambil mengalu-alukan program baru kerajaan negeri itu, saya ingin menyarankan agar pihak yang ditugaskan menjadi urus setia program ini akan juga memberi perhatian kepada Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah (Enakmen Bil. 9 Tahun 1988) yang dikuatkuasakan mulai 16 Oktober 1988, selain isu-isu tertentu yang mungkin dipilih sendiri oleh mufti negeri atau kerajaan negeri. Mufti negeri (dan siapa sahaja pihak lain yang mungkin membantu beliau dalam sesi penjelasan ini) diharap memberi perhatian kepada beberapa peruntukan yang terdapat dalam enakmen negeri ini.

Pada hemat saya ada beberapa peruntukan dalam Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah ini yang samar-samar dan amat sukar difahami, walaupun oleh pengamal undang-undang sendiri. Keadaan ini timbul kerana mungkin semasa undang-undang ini digubal pada tahun 80-an dulu, kerja penggubalan dibuat secara tergesa-gesa atau dalam sesi kerja yang terputus-putus, dan keadaan sebegini biasanya menyebabkan penggubal (atau jawatankuasa penggubalan) tak berpeluang memberi penelitian yang berterusan dan rapi kepada maksud dan natijah setiap istilah dan ayat yang terdapat dalam undang-undang ini.

Sebagai misalan, dalam Kanun Jenayah ini terdapat Seksyen 24, satu-satunya peruntukan yang amat panjang dan berleret-leret. Seksyen ini terbahagi kepada dua seksyen-kecil. Seksyen 24(1), yang mengandungi 38 baris, sebenarnya adalah satu ayat yang berterusan.

Salah satu kesalahan yang dimaksudkan dalam Seksyen 24(1) ini adalah kesalahan takfir (menuduh orang Islam sebagai kafir) - lihat perenggan kecil (i).

Namun begitu, jika kita baca keseluruhan Seksyen 24(1) dengan lebih teliti dan terperinci, kita akan dapati bahawa kesalahan-kesalahan yang disebutkan di dalamnya adalah lebih luas dan lebih jauh daripada kesalahan takfir.

Di sinilah penjelasan yang lebih terperinci, lebih mendalam, dalam bahasa yang mudah difahami oleh semua orang (termasuklah yang boleh difahami oleh peguam syarie, penguat kuasa agama, pendakwa syarie, hakim syarie dan pengamal undang-undang lain), perlu dibuat sebaik mungkin.

Setahu saya, sejak Kanun Jenayah ini dikuatkuasakan di Kedah, belum ada apa-apa usaha lanjutan yang dibuat secara bersiri atau berterusan untuk menghuraikan kedudukan jenayah syariah takzir yang dilaksanakan di negeri ini. Mungkin sesi penerangan dan penjelasan dalaman telah dibuat dari semasa ke semasa oleh pihak-pihak tertentu kepada pegawai-pegawai agama negeri dan kepada hakim-hakim syarie negeri, tetapi dari apa yang saya dengar (menerusi perbualan dengan orang ramai dan pengamal undang-undang), belum ada sesi penjelasan sedemikian yang telah dibuat kepada orang ramai.

Oleh itu, program wacana yang disebutkan oleh Menteri Besar Kedah ini boleh dianggap sebagai satu-satunya peluang yang terbaik untuk menghuraikan isu takfir dan kesalahan-kesalahan lain yang berkaitan dengannya seperti yang terkandung (mungkin selama ini terselindung) dalam Seksyen 24(1) Kanun Jenayah Syariah negeri.

Selain itu, di bawah Seksyen 24(2) pula, yang boleh kita katakan suatu peruntukan yang lebih ringkas dan lebih mudah difahami, kesalahan yang disebutkan ialah kesalahan `mentafsir secara menyeleweng mana-mana fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama' - dalam bahasa mudah, kesalahan menyelewengkan maksud fatwa.

Walaupun secara perbandingan, Seksyen 24(2) ini lebih mudah difahami, namun orang ramai mungkin masih perlu penjelasan tentang contoh-contoh bagaimana sesuatu fatwa itu boleh ditafsirkan secara menyeleweng.

Apa yang diharapkan dari sesi penjelasan dan huraian menerusi program wacana ini ialah dengan rakyat jelata diberi faham sepenuhnya kedudukan undang-undang negeri, ini akan membantu mereka mengelakkan diri dari melakukan segala perbuatan yang dilarang.

Bagi pegawai kerajaan negeri yang ditugaskan melaksanakan undang-undang (melaksanakan Kanun Jenayah ini), kefahaman yang mendalam akan memudahkan dan membantu mereka menjalankan tugas harian dengan lebih baik dan cemerlang.

Selain Seksyen 24 yang disebutkan tadi, terdapat beberapa peruntukan lain dalam Kanun Jenayah Syariah negeri ini yang juga perlu dihuraikan dan diperjelaskan kepada orang ramai. Peruntukan tersebut adalah Seksyen 27, 28 dan 32.

Kesalahan yang disebutkan dalam Seksyen 27 ialah perbuatan `mengingkar, melanggar, membantah atau mengeji mana-mana pegawai Majlis atau Pendaftar Sekolah-Sekolah Agama, Penyelia Agama atau pegawai masjid' sewaktu mereka ini menjalankan tugas. Skop seksyen ini adalah amat luas dan beberapa orang sahabat saya tertanya-tanya, hingga kini, apa sebenarnya hasrat penggubal undang-undang bila menyediakan draf undang-undang ini dulu.

Saya kurang pasti sama ada teks undang-undang yang saya ada sekarang masih lagi terpakai dan berkuat kuasa, atau satu pindaan terbaru telah dibuat (tanpa pengetahuan saya) untuk memperkemas isi dan gaya bahasa seksyen ini. Andainya peruntukan yang terdapat dalam seksyen ini sekarang masih lagi seperti yang saya sebutkan di atas tadi, pada saya ia merupakan suatu peruntukan kabur dan boleh mengelirukan.

Jika Seksyen 27 kabur dan sukar difahami sepenuhnya, begitulah juga Seksyen 28 yang menyebutkan kesalahan `mengeji atau menghina mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa di mahkamah'. Kita boleh faham jika perbuatan kita itu menghina seorang individu tertentu atau secara amnya menghina mahkamah. Tetapi bagaimana rupanya perbuatan menghina undang-undang yang sedang dikuatkuasakan? Apakah setiap pelanggaran atau kemungkiran atau ketidak- patuhan undang-undang itu `menghina'?

Misalnya, jika kita mencederakan orang, itu adalah kesalahan di bawah Kanun Keseksaan. Kita boleh diheret ke mahkamah, dibicarakan dan dihukum atas kesalahan mencederakan. Tetapi adakah dengan melakukan kesalahan mencederakan itu, kita juga dianggap menghina Kanun Keseksaan?

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum