2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 17 Mei 2001

IKTIBAR DARIPADA KEKACAUAN FILIPINA

HAMPIR 100 orang dilaporkan terbunuh akibat keganasan semasa pilihan raya Senat Filipina. Ia dianggap sebagai kempen pemilihan yang paling berdarah dalam tempoh 15 tahun di negara itu.

Kejadian membunuh pemimpin dan calon parti bukan perkara baru semasa tempoh berkempen di negara itu. Kejadian berbalas tembak antara para penyokong kerap berlaku dan melibatkan senjata berat seperti mesingan dan bom. Semua ini atas nama kebebasan.

Pilihan raya ini tidak memberi berita gembira kepada Presiden Gloria Arroyo kerana konco-konco bekas Presiden Filipina yang digulingkan, Joseph Estrada dikhuatirinya akan dapat terus menguasai Dewan Senat, dan mencabar kesahihan Arroyo sebagai Presiden. Arroyo tidak dipilih sebagai Presiden, tetapi dilantik dalam bulan Januari selepas Estrada tumbang akibat terjebak dalam skandal rasuah dan penyelewengan wang negara.

Apakah implikasinya kepada politik dan ekonomi Filipina? Seperti keganasan yang berlaku semasa tempoh berkempen, Filipina akan terus dihantui oleh keganasan dan kekacauan yang memporak-perandakan politik dan ekonomi negara itu. Ini selepas negara itu jatuh merudum akibat krisis kewangan Asia dalam tahun 1997.

Dengan kemenangan kroni-kroni Estrada, termasuk isterinya, Luisa Ejercito dan Senator Gregoria Honasan serta bekas ketua polis negara, Panfilo Lacson (kedua-dua mereka dituduh menjadi dalang di sebalik gerakan menjatuhkan Arroyo), pastinya masa depan politik Arroyo menjadi tidak menentu. Beliau mungkin dipaksa berkompromi dengan musuh-musuhnya.

Lebih buruk lagi, mereka akan menjadi lebih bersemangat untuk menggiatkan gerakan menumbangkan Arroyo dan melantik semula Estrada, yang ditahan sejak 25 April lalu bersama-sama anaknya, Jinggoy, kerana tuduhan menyunglap AS$82 juta.

Ketika rakyat diadu domba dan disemarakkan dengan api kebencian bagi menganjurkan demonstrasi jalanan - dengan tujuan menjatuhkan Arroyo, ekonomi negara penerima pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) itu diramalkan terus meruncing. Kestabilan dan keamanan tidak mungkin lagi menjadi faktor penyumbang kepada kedatangan pelabur ke Filipina, termasuk dari Malaysia.

Seperti Indonesia yang terus dibelenggu oleh masalah politik, ekonomi dan sosial sejak 1998, Filipina dikhuatiri akan terjerumus ke dalam kancah kemerosotan yang sama.

Di dalam senario sebegini, rakyat miskin terbanyak yang paling menderita. Tentunya nasib penduduk Islam di selatan Filipina akan terus terpinggir dan ketinggalan dari arus pembangunan.

Seharusnya, apa yang berlaku di negara anggota ASEAN ini menjadi iktibar bagi rakyat Malaysia. Kita tidak wajar mengambil situasi keamanan dan kestabilan dengan lewa dan mudah. Seperti menyemai sebuah pokok yang diharapkan untuk memberi buah-buahan yang ranum, ia perlu dipupuk dan dibaja dengan baik sejak dari awal lagi. Sedarlah bahawa keamanan dan kestabilan tidak boleh dipetik dari sebatang pokok.

Perbezaan politik sesama kita tidak wajar menjadi permusuhan dan pergaduhan. Ingatlah, rumah boleh terbakar kalau kelambunya dibakar, kampung mungkin tergadai jika kita terus sibuk bersorak.

Arroyo akan terus berhadapan dengan cabaran-cabaran getir, tetapi di Malaysia, kita boleh berbangga bahawa kita dapat menghadapi apa sahaja cabaran kerana negara kita aman dan stabil.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum