2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 20 Mei 2001

BISIK-BISIK MINGGUAN -- AWANG SULUNG

BERKHUTBAHLAH MENGENAI IMAN
MENUNAIKAN solat Jumaat di sebuah madrasah di kawasan di Setapak, Kuala Lumpur kelmarin, Awang tersentak apabila khatibnya membangkitkan kononnya ada pihak menentang hudud dan menga-singkan politik daripada agama.

Dengan memetik sebuah hadis, khatib berkenaan menyeru para jemaah supaya mencontohi para pengikut Nabi Isa yang menentang kezaliman, hatta sanggup disalib.

Tanpa menyebut puak yang `wajib' ditentang sampai sanggup disalib, amat mudah bagi jemaah untuk membuat kesimpulan siapakah pihak yang dimaksudkan oleh khatib itu.

Bagi Awang, orang yang tidak beriman (hanya sekadar Islam) akan mudah dipe-ngaruhi oleh hasutan khatib itu walaupun kandungan khutbahnya hanyalah merupakan cerita lama yang sering dilaungkan oleh para pendukung Amanat Hadi Awang.

Awang kerap menunaikan solat Jumaat di madrasah itu, tetapi itulah kali pertama terdengar khutbah yang bernada politik. Apa yang sudah terjadi?

Elok jugalah khatib itu berkhutbah di Kelantan dan Terengganu, menggesa supaya enakmen jenayah syariah di dua negeri itu dipinda untuk membolehkan hukum hudud dikanunkan bagi kesalahan zina.

Dan lebih elok para khatib memberi tumpuan kepada soal iman. Masih banyak orang Islam di Malaysia tidak faham tentang iman. Faham hanya di segi ilmu, tetapi bukan secara hakikat.

Orang beriman tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang kerana mereka amat takut kepada Allah. Takut mereka bukan kerana hukuman duniawi.

Di Malaysia sekarang, orang yang dilihat sebagai ulama pun sudah melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Maka, bagaimanakah kita mahu melaksanakan hudud di kalangan orang yang tidak beriman?

MT UMNO DIUJI
SAMA ada UMNO benar-benar serius hendak menghapuskan politik wang akan teruji esok apabila Majlis Tertingginya menimbang rayuan enam pemimpin peringkat bahagian yang kehilangan jawatan masing-masing kerana didapati bersalah terbabit dalam gejala tersebut semasa pemilihan tempoh hari.

Sebelum rayuan itu didengar, sebilangan daripada mereka yang terbabit terutama sekali Abdullah Omar (Muar) dan Zainol Md. Isa (Baling) cuba mempertahankan diri melalui suratkhabar. Sekiranya ini kes mahkamah, sudah pasti mereka dituduh menghina (contempt).

Awang telah meneliti kenyataan-kenyataan akhbar mempertahankan diri yang dibuat oleh mereka yang terbabit itu. Sekali baca, tampak seolah-olah mereka semua teraniaya.

Kata Abdullah Omar, beliau sebenarnya tidak berhasrat merebut jawatan Ketua Bahagian Muar, tetapi berbuat demikian atas kehendak ahli-ahli di bahagian tersebut yang menurutnya, mahukan perubahan kepimpinan.

Beliau yang dikenali dengan jolokan Mr. KFC kebingungan kenapa langkahnya menyumbang komputer di Muar kepada mereka yang memerlukan dilihat sebagai salah laku yang melanggar etika pemilihan. Oleh kerana terlalu kecewa dengan keputusan Lembaga Disiplin yang mendapatinya bersalah, Abdullah mengambil pendirian untuk keluar dari UMNO sekiranya rayuan beliau tidak diterima oleh Majlis Tertinggi esok. Bunyi macam ugutan, tapi beliau kata pengorbanan.

Setahu Awang, kesemua yang didapati bersalah itu diberi peluang mempertahankan diri semasa Lembaga Disiplin menyiasat aduan terhadap mereka. Dan setahu Awang juga, anggota-anggota lembaga itu terdiri daripada mereka yang mempunyai latihan undang-undang dan berwibawa.

Menerima bulat-bulat hujah Abdullah akan membawa makna bahawa lembaga tersebut telah gagal menjalankan tugas mereka dengan baik kerana tidak da-pat membezakan yang mana putih, yang mana hitam. Senang cakap, mereka itu bodoh-bodoh belaka. Mung-kin juga berat sebelah.

Sebab itu, apa yang akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi esok cukup penting. Andainya Majlis Tertinggi mengubah keputusan Lembaga Disiplin, maka usaha menghapuskan politik wang akan dilihat sebagai satu sandiwara semata-mata.

Bagaimanapun, Awang yakin Majlis Tertinggi akan membuat keputusan yang betul. Keyakinan Awang berpasak kepada kenyataan Presiden UMNO Dr. Mahathir Mohamad tempoh hari yang menegaskan baha-wa beliau akan menyokong keputusan Lembaga Disiplin.

Ertinya, beliau tidak berhasrat mengusik keputusan yang telah dibuat oleh Lembaga Disiplin. Awang harap anggota-anggota lain mengambil pendirian yang sama.

TENTANG JAWATAN DAN `KEBERSIHAN' PEMIMPIN
KESUNGGUHAN Zainol Md. Isa untuk terus berpaut pada jawatan Exco Kerajaan Negeri Kedah walaupun setelah didapati bersalah melanggar etika pemilihan semasa merebut jawatan Ketua Bahagian Baling mengingatkan Awang kepada kes Waad Mansor di Negeri Sembilan.

Waad dilantik semula menjadi anggota Exco selepas pilihan raya umum 1999 walaupun pertuduhan rasuah terhadapnya masih belum selesai secara muktamad. Langkah tersebut telah ditentang. Waad cuba bertahan, tapi akhirnya terpaksa meletakkan jawatan hanya selepas enam hari dilantik.

Zainol harus mengambil iktibar daripada kes Waad. Beliau tidak boleh membebankan Menteri Besarnya untuk mempertahankan beliau. Pihak yang paling wajar menentukan nasibnya ialah Majlis Tertinggi, bukan Menteri Besar.

Pada pandangan Awang, langkah Menteri Besar Kedah mengulang-ulang bahawa tiada sebab bagi Zainol meletakkan jawatan adalah kenyataan kurang bijak dari segi politik. Orang ramai tertanya-tanya bagaimana seorang yang didapati bersalah oleh partinya sendiri boleh terus memegang jawatan awam.

Hujah bahawa kedudukan Zainol dalam kerajaan Kedah tiada kena mengena dengan tindakan parti ke atasnya sukar diterima. Tidakkah Zainol bertanding atas tiket UMNO?

Lagi pun, Zainol tidak boleh menyusahkan parti dengan menunggu parti memintanya mengundur diri. Parti pembangkang sudah pun membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadapnya.

Awang faham kenapa Zainol enggan letak jawatan. Beliau merasakan dirinya tidak bersalah dan mahu menunggu keputusan rayuan. Sekiranya beliau meletakkan jawatan, tentunya langkah itu dilihat sebagai pengakuan bersalah.

Dan bagaimana pula jika Majlis Tertinggi menerima rayuannya dan mendapati beliau tidak bersalah? Sebab itu Zainol merasakan lebih elok beliau menunggu keputusan majlis itu, esok.

Memandangkan apa yang berlaku ke atas Zainol mungkin berlaku ke atas orang lain, Awang rasa ada baiknya Majlis Tertinggi UMNO membuat ketetapan yang memerlukan pemegang jawatan awam terus meletakkan jawatan sekiranya mereka didapati bersalah oleh parti. Membenarkan orang bersalah terus memegang jawatan awam akan hanya membawa padah.

Menjelang mesyuarat Majlis Tertinggi esok, ahli-ahli Majlis itu serta para pemimpin UMNO hendaklah ingat kembali pesanan Perdana Menteri yang mahukan mereka bukan hanya bersih, tetapi kelihatan bersih.

`Kebersihan' para pemimpin yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO sedikit sebanyak telah tercemar, biarpun hukuman ke atas mereka diterbalikkan.

KITA SEMUA RAKYAT MALAYSIA
BERADA di Dubai pada tahun lalu, secara kebetulan Awang bertemu dengan tiga rakyat Malaysia ketika makan malam di sebuah restoran mamak Pakistan.

Sulaiman, seorang jurutera reka bentuk industri yang baru membuka kilang alat pendingin hawa; Tan seorang jurutera kapal terbang yang bekerja dengan Emirates dan Murali, jutawan muda yang membina kekayaannya dalam pelbagai perniagaan dengan modal RM30,000.

Mereka berjaya dalam karier di perantauan, tetapi bukan kisah kejayaan mereka yang hendak dicatatkan. Awang hanya mahu menceritakan betapa akrabnya rakyat Malaysia apabila berada di seberang laut. Restoran Pakistan itu adalah tempat pertemuan perantau Malaysia di Dubai. Di situ, Melayu, Cina dan India Malaysia duduk semeja sambil makan, berborak dan bergelak ketawa. Bahasa mereka Inggeris campur Melayu.

Bersama Sulaiman, Tan dan Murali, Awang berborak dan ketawa sampai larut malam. Tidak terasa di negara orang, apatah lagi teh tarik turut dihidangkan.

Anehnya, di Malaysia sendiri Awang amat jarang melihat dan merasai suasana begini. Biasanya Melayu duduk dengan Melayu, Cina makan dengan Cina dan India minum bersama India.

Jika menonton TV, Melayu akan membuka program Melayu, Cina dengan filem-filem dari Hong Kong, dan India menikmati saluran Vaan jika melanggani Astro. Program kegemaran bersama kita hanyalah yang berbahasa Inggeris.

Anak-anak kita pula dari kecil ke sekolah yang berbeza. Cina ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, India ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Melayu ke Sekolah Rendah Kebangsaan.

Jika anda ke pejabat yang dimiliki oleh orang Cina, barangkali hanya kerani, pembantu dan pembersih pejabat sahaja orang Melayu. Begitu juga di pejabat Melayu atau India, anda akan mendapati tidak banyak warna kulit yang berbeza. Kita juga bercakap tentang hari perayaan bersama. Realitinya Melayu, Cina dan India hanya berkunjung ke majlis-majlis rumah terbuka yang diadakan oleh para pemimpin. Kita juga melakukan pelbagai amal kebajikan, tetapi hanya cenderung untuk kelompok kaum masing-masing.

Tetapi di seberang laut, kita amat menyedari hakikat bahawa kita adalah rakyat Malaysia. Kita tidak nampak perbezaan warna kulit, loghat dan agama.

Di Dubai, orang-orang Arab hairan melihat keakraban Melayu, Cina dan India Malaysia. Bagi mereka ini sesuatu yang amat asing di kalangan orang-orang asing. Di sana, orang putih hanya berkawan dengan orang putih dan Pakistan dengan Pakistan.

Malangnya Melayu, Cina dan India Malaysia akan kembali ke dalam kepompong kaum masing-masing apabila pulang ke Malaysia. Kita terus menegakkan tembok-tembok perbezaan untuk memperkebal kepompong kaum masing-masing. Semoga Konvensyen Perpaduan Kebangsaan yang berakhir semalam menghasilkan sesuatu untuk meruntuhkan tembok-tembok itu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum