2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Mingguan Malaysia 20 Mei 2001

Pengangguran ancam Jakarta

Jakarta Oh Jakarta bersama ZULKIFLEE BAKAR
MUNGKIN tiada apa-apa yang menarik untuk diperkatakan apabila seorang pemuda, Suhanda, 20, membunuh diri pada Rabu lalu dengan cara membakar dirinya di sebuah kawasan perumahan di Jakarta.

Tetapi ia menjadi perhatian nasional apabila siasatan polis menunjukkan bahawa Suhanda bertindak demikian kerana ketegangan akibat sudah lama tidak mempunyai pekerjaan.

Suhanda merupakan antara ratusan ribu warga Jakarta yang menjadi penganggur. Hari demi hari jumlah kelompok itu terus meningkat.

Mengikut statistik Badan Pusat Statistik (BPS) Indonesia, di Jakarta sahaja jumlah penduduk miskin meningkat dari tahun ke tahun.

Pada tahun 1998 tercatat 860,000 orang miskin di kota tersebut. Angka itu meningkat menjadi 977,000 pada tahun 2000.

Jumlah penganggur pula kini sudah mencecah hampir 500,000 orang.

Keadaan ini sudah tentu menjadi satu ancaman baru kepada Jakarta apatah lagi penganggur-penganggur berkenaan bukan terpaksa melakukan apa juga pekerjaan untuk menyara hidup malah tempat tinggal mereka di kota berkenaan amat menyedihkan.

Sebagai contoh, penulis baru-baru ini menemui sebuah keluarga yang menjadikan bawah jambatan sebagai tempat mereka berteduh.

Sebelum ini keluarga itu menyewa rumah dengan bayaran Rupiah 100,000 (RM34) sebulan. Bagaimanapun beberapa bulan lalu mereka terpaksa meninggalkan rumah tersebut kerana tidak mampu membayar sewa.

``Saya sudah tidak ada pekerjaan, oleh itu bagaimana saya harus membayar sewa,'' kata Darmaji, 35, yang dibuang kerja oleh sebuah kilang yang terjejas kerana masalah ekonomi.

Darmaji kini melakukan apa sahaja kerja untuk menyara isteri dan dua anaknya yang masih kecil. Ketika ditemui Darmaji sedang berehat bersama keluarga di bawah jambatan berhampiran sebuah kedutaan asing.

``Buat sementara, inilah rumah kami, tetapi tidak tahulah berapa lama boleh bertahan kerana pihak berkuasa pasti akan mengusir kami,'' katanya yang kini mencari kotak-kotak untuk dijual.

Menurut Darmaji, ramai temannya menjadi penganggur selepas dibuang kerja oleh kilang berkenaan. Ada di antara mereka yang menjadi pengemis manakala sesetengah pulang ke kampung di Jawa Timur.

``Saya pun mahu pulang ke kampung tetapi masih belum cukup wang lagi, saya tidak mampu terus hidup begini di Jakarta,'' katanya yang berasal dari Gresik, Jawa Timur.

Perkara yang paling merimaskan penduduk Jakarta termasuk rakyat Malaysia ialah tindakan sesetengah penganggur menjadi pengamen.

Pengamen adalah istilah bagi kelompok pemuda yang menyanyi di persimpangan lampu-lampu isyarat untuk meminta wang. Setiap kali kenderaan berhenti mereka pasti akan menghampiri kenderaan-kenderaan itu sambil menyanyi.

``Entah lagu apa yang mereka nyanyikan, bila kita beri wang merekapun beredar,'' kata seorang rakyat Malaysia yang mengikut isterinya bertugas di Jakarta.

Kebiasaannya pemandu kenderaan akan memberi Rupiah 100 (3 sen) kepada pengamen itu bagi mengelakkan mereka terus menyanyi lagu-lagu yang tidak fahami.

``Setiap masa kita harus ada wang syiling dalam kereta, kalau tidak susah kita nanti di lampu isyarat,'' kata seorang teman yang sudah dua tahun berada di di Jakarta.

Teman itu merujuk kepada `gangguan' pengamen-pengamen berkenaan yang kadang kala menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat asing.

``Ini semua berlaku kerana mereka tidak ada pekerjaan, mereka itu adalah kelompok penganggur dan sebahagian besar mereka kehilangan pekerjaan ketika krisis ekonomi pada tahun 1997 dahulu,'' kata seorang pegawai kanan sebuah kementerian di Jakarta kepada penulis.

Menurut pegawai itu, adalah lebih baik pemuda-pemuda berkenaan menjadi pengamen daripada melakukan perbuatan jenayah seperti mencuri atau menyeluk saku.

``Tetapi sekarang ini kegiatan mereka agak terancam kerana Pemerintah Daerah Jakarta sedang melakukan operasi memberkas mereka,'' kata pegawai itu.

Seorang pengamen memberitahu penulis, dia sudah hampir setahun melakukan pekerjaan itu dengan bermodalkan sebuah gitar kecil.

``Saya sudah berusaha mencari pekerjaan tetap tetapi masih gagal. Melalui mengamen ini saya memperoleh Rupiah 5,000 hingga Rupiah 7,000 (RM1.70 hingga RM2.50 sen) sehari,'' kata Igo yang berasal dari Bandung.

Terdapat pula penganggur-penganggur mencari jalan mudah untuk mendapatkan wang dengan menunggu di hentian-hentian teksi.

Apa yang mereka lakukan ialah menahan teksi untuk sesiapa yang mahu perkhidmatan kenderaan berkenaan dan kemudian meminta bayaran bukan sahaja daripada pemandu teksi tetapi juga penumpang terlibat.

Untuk `pekerjaan' itu mereka akan diberi Rupiah 500 (17 sen) oleh pemandu manakala penumpang pula akan memberi Rupiah 1,000 (34 sen).

``Bagus juga mereka ada kerana kadangkala bila hujan mereka akan berdiri di tengah-tengah hujan menahan teksi untuk kita,'' kata seorang suri rumah ketika ditemui berhampiran sebuah pasar raya.

Setakat ini, menurut beberapa pemuda yang menjalankan kerja tersebut, tidak ada pemandu teksi yang berani tidak membayar wang upah berkenaan.

``Ini kerana kami akan meletakkan kaki di bahagian tayar, kalau dia mahu terus bergerak, dia harus melanggar kaki kami,'' kata Juju, 20, yang sudah hampir lima bulan melakukan pekerjaan itu.

Apa yang menarik ada pula di kalangan mereka yang dibuang kerja dan menjadi penganggur tetapi enggan memberitahu keluarga mereka.

Setiap hari mereka akan keluar rumah dengan berpakaian kemas dan pulang ke rumah selepas waktu pejabat.

Itulah yang dilakukan Zaenul, 35, yang kini mengambil upah menjadi tukang ojek - pemandu motosikal yang membawa penumpang.

Setiap hari dia berangkat dari rumahnya di Ciputat dengan motosikal yang dibelinya ketika dia masih bekerja di sebuah bank tahun lalu.

``Saya benar-benar tegang kerana tidak mempunyai pekerjaan selepas diberhentikan oleh bank berkenaan kerana masalah ekonomi.

``Akhirnya buat sementara saya menjadi `tukang ojek' tanpa diketahui oleh anak-anak saya,'' katanya ketika ditemui menanti pelanggan di Jalan Jeneral Sudirman, Jakarta.

Atas alasan itu jugalah setiap hari Zaenul akan sentiasa berpakaian kemas apabila mahu keluar rumah. Semua itu dilakukan bagi mengelak rahsianya diketahui anak-anaknya.

``Isteri saya mengetahui keadaan sebenar, tetapi anak-anak dan jiran-jiran saya tidak mengetahuinya,'' katanya yang memperoleh pendapatan hampir satu juta Rupiah sebulan (RM357).

Namun begitu majoriti pemuda yang menganggur di Jakarta mengambil upah menjaga tempat meletak kenderaan atau menjadi pak ogah iaitu pemuda yang `menolong' kenderaan untuk membuat pusingan U.

Mereka akan diberi upah antara Rupiah 1,000 hingga Rupiah 2,000 bagi setiap satu kenderaan manakala bagi pak ogah mereka selalunya dibayar Rupiah 100.

Walaupun dari satu segi pekerjaan seumpama itu adalah lebih baik daripada mereka melakukan jenayah namun bagi sesetengah penduduk Jakarta ia adalah sesuatu yang merimaskan.

Ini disebabkan sudah pastilah apa juga yang mereka lakukan akan dikenakan bayaran. maknanya tidak ada yang percuma di Jakarta.

``Kalau dihitung-hitung setiap hari kita mengeluarkan Rupiah 5,000 untuk diberikan kepada penganggur-penganggur, kalau sebulan sudah berapa?'' kata seorang rakyat Malaysia yang sudah lima tahun bertugas di sini.

Sebenarnya, masalah pengangguran ini turut mengganggu Pemerintah Daerah Jakarta kerana ia mewujudkan pelbagai masalah sosial.

``Tetapi kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana jumlah mereka terlalu ramai, apatah lagi sekarang ini keadaan ekonomi Indonesia masih teruk,'' kata seorang pegawai Pemerintah Daerah Jakarta ketika dihubungi.

Apa yang dilakukan oleh Pemerintah Daerah Jakarta setakat ini ialah memberi latihan kerja kepada penganggur-penganggur berkenaan.

Antara latihan yang diberikan melalui Badan Latihan Kerja Daerah ialah membaiki alat elektrik dan menjahit pakaian.

Namun ia bukanlah jaminan bahawa mereka akan memperoleh pekerjaan selepas tamat latihan apatah lagi sama ada hendak dipercayai atau tidak untuk mendapat satu pekerjaan di jakarta, harus menggunakan banyak `jalan belakang.'

Beberapa penganggur mengakui mereka harus membayar sejumlah wang untuk menjamin mereka mendapat pekerjaan di sesuatu tempat.

``Kadangkala ada yang benar-benar mendapat pekerjaan selepas membuat bayaran tetapi sebahagian besarnya tertipu,'' kata Hendrawan yang pernah ditipu sebanyak Rupiah 400,000 untuk mendapat pekerjaan melalui pintu belakang.

Sememangnya menganggur adalah satu bencana bagi mereka yang pernah bekerja tetapi pengangguran adalah perkara biasa dalam ekonomi Indonesia sekarang.

Justeru, walaupun pengangguran mengancam Jakarta namun tiada apa-apa yang boleh dilakukan. Mungkin itulah nasib kota berkenaan sejak reformasi melanda Indonesia pada 1998. - MINGGUAN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum