2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 22 Mei 2001

Menolak permohonan tahanan ISA

Oleh: SALLEH BUANG
MINGGU lalu, secara kebetulan, saya berkampung selama tiga hari tiga malam dengan sekumpulan ahli perundangan syariah di sebuah hotel di Alor Setar. Saya diminta mengendalikan bengkel kehakiman, satu-satunya program yang telah lama disusun rapi oleh Jabatan Kehakiman Syariah.

Di hujung minggu pula, saya berkumpul sehari suntuk dengan beberapa orang pengamal undang-undang sivil di sebuah hotel lain di Kuala Lumpur. Ini kerana saya diminta mengendalikan kursus kemahiran kepeguaman bagi peguam-peguam muda dan kakitangan sokongan mereka.

Walaupun dua kumpulan ini berbeza dari segi latar belakang dan cara kerja mereka, terdapat persamaan dalam pokok perbualan kami. Yang dimaksudkan ialah keputusan Mahkamah Persekutuan yang terbaru berhubung permohonan dua aktivis tempatan (Abdul Ghani Haroon, 36, dan N. Gobalakrishnan, 41) yang kini ditahan di bawah Seksyen 73(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).

Abdul Ghani telah ditahan pada 11 April lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching manakala Gobalakrishnan ditahan sehari sebelumnya (pada 10 April) di Balai Polis Kuah, Langkawi.

Dalam keputusannya 16 Mei lalu, Mahkamah Persekutuan telah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelumnya yang mengarahkan dua aktivis reformasi tersebut dibawa ke mahkamah itu untuk mendengar permohonan habeas corpus membebaskan mereka daripada tahanan di bawah ISA. Keputusan Mahkamah Tinggi itu telah dibuat oleh hakim bicara, Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus pada 4 Mei lalu.

Hakim Hishamudin telah mengeluarkan arahan sedemikian setelah meluluskan permohonan peguam bela dua tahanan tersebut yang meminta supaya mereka dibenarkan hadir di mahkamah semasa prosiding habeas corpus itu berjalan.

Kedua-dua tahanan tersebut telah memfailkan writ habeas corpus masing-masing melalui afidavit sokongan yang diikrarkan oleh ahli keluarga mereka.

Dalam keputusannya yang disampaikan oleh Datuk Steve Shim Lip Kiong (Hakim Besar Sabah dan Sarawak), Mahkamah Persekutuan telah meluluskan rayuan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Norian Mai, untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam itu.

Keputusan Mahkamah Persekutuan itu merupakan satu keputusan sebulat suara, kerana keputusan Datuk Steve Shim itu dikongsi bersama dan disokong oleh dua hakim Mahkamah Persekutuan lain yang turut bersidang sama, iaitu Datuk Abdul Malek Ahmad dan Datuk Haidar Mohd. Noor.

Dalam keputusan yang disampaikan secara lisan itu, Hakim Datuk Steve Shim menjelaskan bahawa pada pendapat Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam telah tersilap ketika mentafsirkan Artikel 5(2) Perlembagaan Persekutuan apabila beliau mengatakan bahawa kehadiran orang tahanan untuk prosiding habeas corpus merupakan suatu hak yang termaktub dalam perlembagaan.

Hujah Peguam

Semasa prosiding sedang berjalan di Mahkamah Persekutuan pada hari tersebut, perayu (yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Abdul Ghani Patail) menghujah bahawa dua aktivis tahanan itu tidak ada hak di sisi undang-undang untuk hadir di mahkamah semasa permohonan habeas corpus mereka didengar dan diputuskan oleh mahkamah. Ghani juga menghujah bahawa kedua-dua tahanan ISA itu ada diwakili di mahkamah oleh beberapa orang peguam bela mereka.

Membantah hujah timbalan pendakwa raya itu, peguam Sulaiman Abdullah (yang mewakili penentang, iaitu kedua-dua tahanan ISA itu) menegaskan bahawa mahkamah memerlukan kehadiran tahanan itu sendiri kerana di mahkamah tidak ada apa-apa bahan lain yang boleh dilihat atau diperiksa oleh mahkamah, selain afidavit yang telah difailkan oleh ahli keluarga tahanan.

Sulaiman menambah bahawa adalah wajar bagi mahkamah membuat pemeriksaan yang lebih rapi berhubung permohonan habeas corpus ini supaya boleh membuat satu keputusan yang adil dan saksama.

Sulaiman menggesa mahkamah untuk memberi pertimbangan kepada fakta bahawa tak seorang pun peguam bela yang telah dibenarkan sebelum ini untuk menemu bual anak guam mereka (tahanan) bagi maksud mendapatkan afidavit daripada mereka.

Lantaran itu, afidavit yang dapat difailkan di mahkamah hanyalah afidavit ahli keluarga tahanan sahaja. Sulaiman menghujah lagi bahawa oleh kerana kini permohonan tahanan sudah ada di meja pengadilan, mahkamah ada kuasa dan boleh memerintahkan tahanan dibawa untuk hadir di mahkamah semasa mahkamah mendengar dan memutuskan permohonan habeas corpus mereka.

Sulaiman menyoal lagi andainya tahanan tidak dibenarkan hadir di mahkamah, bagaimanakah mereka boleh melaksanakan hak mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan?

Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan

Perkara 5 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa `Tiada seseorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali menurut undang-undang'.

Fasal (2) pula menyatakan bahawa `Jika pengaduan dibuat kepada Mahkamah Tinggi atau kepada mana-mana hakim Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa seseorang itu ada ditahan dengan menyalahi undang-undang, maka mahkamah itu hendaklah menyiasat pengaduan itu dan, melainkan berpuas hati bahawa tahanan itu adalah sah di sisi undang-undang, mahkamah itu hendaklah memerintahkan orang itu dibawa ke hadapan mahkamah itu dan melepaskannya'.

Dalam hujahnya mengenai peruntukan Perlembagaan ini, Abdul Ghani menyatakan bahawa Perkara 5(2) hanya membolehkan mahkamah memerintahkan kehadiran orang yang ditahan itu selepas mahkamah mendengar permohonan habeas corpus itu dan memutuskan bahawa penahanan mereka adalah tidak sah. Hanya setelah perkara itu diputuskan (iaitu mahkamah puas hati penahanan mereka tidak sah), barulah mahkamah boleh memerintahkan kedua-dua tahanan dibawa ke hadapannya supaya dibebaskan.

Hakim Datuk Shim menyatakan bahawa satu penghakiman bertulis yang lengkap akan diumumkan pada kemudian hari.

Kita terpaksalah menunggu hingga dapat membaca penghakiman Mahkamah Persekutuan ini sepenuhnya dengan teliti (sambil berlapang dada, minda terbuka dan berbaik sangka) sebelum boleh membuat sebarang ulasan atau kesimpulan mengenainya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum