2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 25 Mei 2001

Ketulusan perjuangan untuk parti-Lidah Pengarang

KINI golongan yang bergelar Ketua Bahagian UMNO tidak lagi akan mendapat kontrak perniagaan daripada kerajaan. Malah mereka juga dikehendaki mengisytiharkan aset atau harta masing-masing kepada ibu pejabat parti.

Peraturan ini membuka suatu senario baru dalam parti di mana ketulusan perjuangan di kalangan anggota-anggota memperbaiki niat aktiviti mereka kepada matlamat untuk bangsa, agama dan negara.

Kita percaya perkembangan ini merupakan pembaharuan bermakna bukan saja bagi UMNO tetapi juga rakyat dan negara.

Mungkin keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO kelmarin mengecewakan sebilangan ketua bahagian dan para pengikutnya yang telah meletakkan harapan yang begitu tinggi untuk memperoleh kontrak kerajaan.

Peraturan yang dianggap semakin ketat ini memperlihatkan hasrat pucuk pimpinan UMNO yang tidak habis-habis cuba mengekang budaya tidak sihat semasa merebut jawatan dalam parti itu.

Langkah ini juga merupakan lanjutan kepada cadangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 21 April lalu supaya golongan kaya tidak dibenarkan bertanding merebut sebarang jawatan parti sama ada cawangan, bahagian dan MT. Inilah antara formula bagi membanteras gejala politik yang berleluasa hingga ke akar umbi parti itu.

Dengan mewajibkan perisytiharan aset kepada ketua bahagian sekarang dan mereka yang akan bertanding jawatan itu pada masa akan datang, kita harap secara beransur-ansur keghairahan ahli UMNO untuk merebut jawatan hingga kadangkala menjejaskan perpaduan parti, dapat dikendurkan.

Malah ia juga diharap dapat mengikis tanggapan bahawa jawatan ketua bahagian sebagai lombong emas dalam UMNO kerana jawatan itu menjanjikan jawatan dalam kerajaan, ahli lembaga pengarah syarikat dan agihan projek.

Sesungguhnya apabila UMNO serius ingin memastikan tiada lagi ketua bahagian mendapat kontrak kerajaan maka ia akan menjadi kayu ukur untuk melihat kewibawaan, dinamisme, semangat dan pengorbanan seseorang ahli politik.

Sejak ekonomi negara berkembang dengan pesat, orang politiklah yang rapat dengan pemimpin tertentu meraih banyak keuntungan. Hasil keuntungan daripada kontrak kerajaan atau pemberian saham dahulu diharap akan diagih sedikit kepada parti dan rakyat yang memerlukan bantuan, tetapi ketamakan sesetengah pihak menyebabkan golongan ini hanya mementingkan kedudukannya sahaja.

Cara hidup begini, menjadi buah mulut dan tohmahan di kalangan masyarakat. Oleh itu yang mendapat nama buruk bukan sahaja pemimpin peringkat bahagian UMNO tetapi juga parti.

Kita percaya masanya sudah tiba bagi UMNO membuka lembaran baru dalam perjuangannya.

Oleh sebab itu UMNO mulai sekarang memerlukan orang yang komited dengan perjuangan parti, bukan orang yang ingin mengambil kesempatan daripada parti.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum