Make your own free website on Tripod.com

2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 23 Mei 2001

Menangani cabaran ekonomi


DR. ZETI.

MUKADIMAH
PERMASALAHAN ekonomi yang dihadapi negara kini kembali menjadi bahan perbincangan di semua peringkat masyarakat terutama selepas negara berjaya dibawa keluar daripada dari krisis kewangan 1997/98 lalu.

Seperti ketika krisis itu, keupayaan kerajaan khususnya peranan yang dimainkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menangani masalah ekonomi serta juga dalam pengurusan kewangan kembali menjadi perhatian ramai, terutama apabila kita dihadapi pula dengan krisis ekonomi dunia yang tidak kurang hebatnya mencabar kedudukan ekonomi negara.

Bagi mendapatkan gambaran yang menyeluruh mengenai dasar kewangan dan peranan Bank Negara itu wartawan Utusan, ABU HAKIM TANZIMUDDIN dan FAUZI JAAFAR telah menemu bual Gabenor,Datuk Dr. Zeti Akhtar Aziz yang kini genap setahun memegang jawatan penting di bank pusat itu bagi menjelaskan beberapa kemusykilan itu. - Pengarang

UTUSAN:Adakah tahap pemulihan ekonomi yang dicapai kini menyamai dengan jangkaan awal Datuk sebelum ini?

Datuk Dr. Zeti Akhtar: Pencapaian Bank Negara dalam masa setahun ini adalah dalam jangkaan kami. Saya patut nyatakan bahawa urusan Bank Negara merupakan satu proses yang berterusan. Sebelum saya dilantik Gabenor, saya telah bertugas sebagai Timbalan Gabenor dan sebelum itu sebagai Penolong Gabenor. Semasa krisis tahun 1997-98, saya telah terlibat dalam menangani krisis tersebut, menghadapi para spekulator dan menguruskan pengawalan ringgit, menubuhkan Danaharta, Danamodal dan bekerja rapat dengan kementerian-kementerian serta agensi-agensi lain untuk menangani pemulihan ekonomi. Saya telah mempengerusikan Jawatankuasa Pemandu yang menyelia tugas-tugas penyediaan pelan Induk Sektor Kewangan selama lebih setahun. Cabaran seterusnya ialah untuk memastikan kemajuan dan keberkesanan pelaksanaan cadangan-cadangan yang terkandung dalam pelan tersebut. Pada masa ini perhatian saya juga difokuskan kepada penggabungan institusi perbankan. Berikutan langkah tersebut ada banyak isu yang terpaksa diatasi. Saya berpuas hati bahawa dalam jangka masa yang diberi, sebanyak 96 % daripada jumlah aset telah berjaya digabungkan.

Datuk mengambil alih ketika ekonomi negara masih belum pulih. Apakah pencapaian yang dirasakan telah diperoleh?

Pemulihan ekonomi negara adalah hasil daripada dasar-dasar yang dilaksanakan sejak pertengahan tahun 1998 hingga 1999. Salah satu dasar yang penting ialah pelaksanaan pengawalan pertukaran wang dalam minggu pertama bulan September 1998. Dan peristiwa ini boleh dianggap sebagai cabaran paling besar bagi Bank Negara Malaysia. Saya telah dilantik sebagai Pemangku Gabenor pada masa itu. Keadaan kewangan pada masa itu sangat tidak stabil dan langkah yang diambil adalah luar biasa kerana kita menempuh keadaan yang belum pernah dialami pada masa lalu. Dalam pertengahan 1998, Danaharta dan Danamodal telah ditubuhkan untuk menghadapi masalah sektor kewangan. Kadar faedah telah diturunkan secara agresif. Semua ini telah menghasilkan pemulihan. Dalam tahun 2000 kami telah mengambil kesempatan sepenuhnya daripada keadaan yang positif dan stabil itu untuk terus memperkukuhkan serta menggabungkan kekuatan sehingga membolehkan kami menghadapi keadaan yang lebih runcing. Pada masa yang sama Pelan Induk Sektor Kewangan telah dirangka bagi mencarta arah pembangunan sektor kewangan. Pelan tersebut telah diumumkan pada awal tahun ini.

Apakah cabaran paling getir sepanjang tempoh berkenaan?

Saya boleh katakan pengalaman paling getir ialah menangani serangan spekulasi terhadap ringgit dalam tahun 1997-1998. Kemudian pelaksanaan kawalan pertukaran wang. Kami menempuh keadaan yang tidak pernah dilalui sebelum ini. Semua isu terpaksa dihadapi dari setiap sudut untuk memastikan ia dilaksanakan dengan berkesan. Kemudian timbul pula isu bon global. Seluruh dunia telah memandang negatif terhadap Malaysia. Tetapi dalam tahun 1999 kita telah berjaya mengeluarkan bon AS$1 bilion dalam suasana pasaran yang sukar dengan jumlah langganan yang diterima melebihi tiga kali ganda daripada jumlah yang ditawarkan.

Sejauh mana benarnya spekulasi mengatakan Datuk mahu meletakkan jawatan?

Itu semua tidak benar dan sengaja didesas-desuskan oleh pihak-pihak yang ingin melihat keadaan yang tidak stabil. Saya telah terlibat dengan Bank Negara Malaysia selama lebih 30 tahun. Dalam tahun 1968, sebagai seorang mahasiswa, saya telah menulis tesis bertajuk Credit Multiplier and its Implication for Financial Policy (Pengganda Kredit dan Implikasinya untuk Polisi Kewangan). Ia telah ditunjukkan kepada Tun Ismail Mohamed Ali, Gabenor Bank Negara pada masa itu dan saya terus ditawarkan jawatan di dalam Bank Negara. Tetapi saya memilih untuk melanjutkan pelajaran. Dalam seluruh kerjaya saya, saya telah terlibat dengan pelbagai aspek Bank Pusat termasuk selama lima tahun dalam pasaran kewangan antarabangsa di London. Insya-Allah saya akan berusaha dengan penuh komitmen, ketekunan dan kekuatan untuk Bank Negara Malaysia demi untuk bangsa dan negara.

Benarkah terdapat `campur tangan luar' dalam BNM dan sejauh mana Datuk membuat sendiri segala keputusan di BNM?

BNM sentiasa bekerjasama dengan semua pihak dalam kerajaan untuk memastikan semua dasar sentiasa konsisten demi mencapai matlamat dan wawasan yang dituju oleh negara. Saya tidak menganggap input atau cadangan daripada pihak lain sebagai campur tangan. Bank Negara mempunyai pasukan yang profesional dan dedikasi yang bertanggungjawab serta sentiasa mengutamakan kepentingan negara.

Umum berpendapat terdapat campur tangan ketara Perdana Menteri (PM) dan Menteri Kewangan (MOF) dalam urusan BNM. Sejauh mana penglibatan itu?

Sebarang penglibatan PM dan MOF adalah mengenai isu-isu berkaitan kepentingan negara. Malah sebelum saya dilantik sebagai Gabenor, saya telah mempunyai hubungan profesional dengan kedua-dua mereka dan hubungan (rapport) di antara kami adalah baik.

Dari segi pandangan orang biasa, sejauh mana kesan ekonomi semasa terhadap mereka berbanding dengan pencapaian ekonomi pada tahun lalu?

Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih perlahan adalah disebabkan terutamanya oleh faktor luaran. Asas ekonomi dan sistem perbankan Malaysia masih kukuh. Bagi Malaysia, pendapatan masih terus berkembang tetapi pada kadar yang lebih perlahan berbanding dengan tahun 2000. Kesan di atas orang perseorangan bergantung pada sektor mana mereka itu terlibat. Bagi orang biasa, yang penting ialah inflasi tidak akan bertambah buruk. Keadaan inflasi kita ternyata lebih baik berbanding dengan keadaan di negara-negara jiran. Dalam keadaan ini pendapatan tidak akan terhakis oleh kerana inflasi dijangka terus rendah dalam tahun 2001 ini. Sesetengah industri akan menggabungkan operasi mereka, khususnya industri-industri berasaskan eksport, tetapi prospek pekerjaan pada keseluruhannya kekal stabil dengan peluang pekerjaan yang tinggi pada sektor-sektor yang lain. Tambahan pula, langkah-langkah fiskal yang diperkenalkan pada Belanjawan 2001 dan pada bulan Mac 2001 akan membantu untuk mengukuhkan pendapatan boleh guna isi rumah di Malaysia. Pada keseluruhannya, paras pendapatan pekerja seharusnya dapat dikekalkan.

Meskipun pengangguran dijangka dapat dibendung, kerajaan telah mengambil beberapa langkah pre-emptive untuk menangani isu-isu guna tenaga yang disebabkan oleh penyederhanaan dalam ekonomi. Satu pasukan petugas yang terdiri daripada pegawai kerajaan yang terpilih telah ditubuhkan pada bulan April tahun ini untuk mengawasi dan memberi maklumat mengenai peluang-peluang pekerjaan yang sedia ada. Hasil daripada langkah-langkah yang telah diambil, lebih kurang 18 % daripada pekerja tempatan yang telah diberhentikan telah berjaya mendapat semula pekerjaan pada suku tahunan pertama tahun 2001. Rancangan latihan semula sedang dikelolakan oleh Kementerian Sumber Manusia untuk melatih penganggur dalam bidang yang lain, terutamanya bidang-bidang yang berkaitan dengan IT. Dalam sektor kewangan pula, projek melatih semula pekerja atau ``StarRs'' sedang dikelolakan oleh Majlis Institut Bank-Bank Malaysia (IBBM).

Bagi industri minyak sawit, pihak kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk menangani kesan daripada harga minyak sawit yang rendah ke atas pekebun kecil dan pekerja estet kelapa sawit. Sejumlah RM350 juta telah diperuntukkan untuk aktiviti menanam semula di bawah Skim Pinjaman Mudah Bagi Penanaman Semula Kelapa Sawit kepada pekebun kecil; Felda juga telah menangguhkan kutipan bayaran semula pinjaman daripada para penerokanya di samping membayar kepada mereka tambahan sebanyak RM12 bagi setiap tan metrik minyak sawit mentah dan 15 sen sekilogram bagi getah yang dijual; kutipan ses industri minyak sawit juga telah dikurangkan daripada RM11 setan metrik kepada RM7 setan metrik berkuat kuasa 1 Februari 2001; dan pekerja estet kini menerima gaji bulanan minimum sebanyak RM325.

Dalam usaha untuk meningkatkan penggunaan minyak sawit mentah (MSM) bagi meningkatkan harganya, kerajaan telah menyokong, melalui tawaran harga yang lebih rendah daripada harga pasaran bagi minyak sawit mentah kepada TNB, Projek Diesel MSM sebagai sumber bahan api di loji jana kuasa, yang dijangka akan menggunakan kira-kira 500,000 tan metrik minyak sawit mentah setiap tahun.

Adakah Malaysia akan dapat mencatat KDNK melebihi lima peratus sedangkan para pemerhati lain sama ada tempatan dan asing memberikan ramalan yang berbeza?

Ramalan rasmi bagi KDNK disemak semula dua kali setahun. Pertama pada bulan Mac semasa BNM mengeluarkan Laporan Tahunan sementara satu lagi adalah pada bulan Oktober semasa Kementerian Kewangan mengumumkan Belanjawan. Ramalan-ramalan tersebut mengambil kira perkembangan-perkembangan terkini, di dalam dan juga di luar negara. Ianya juga mengambil kira kapasiti negara untuk mengimbangi atau memperkukuhkan kesan kelembapan atau pengukuhan ke atas ekonomi Malaysia. Jika perkembangan luar negara berlaku di luar jangkaan, hasilnya mungkin adalah lebih teruk daripada yang diramalkan. Begitu juga hasilnya mungkin boleh menjadi lebih baik daripada jangkaan. Contohnya, pada tahun 2000, hasilnya adalah lebih baik disebabkan oleh prestasi eksport yang lebih baik daripada jangkaan. Kesannya, KDNK benar meningkat pada kadar 8.5 % pada tahun 2000, iaitu lebih tinggi daripada ramalan terdahulu kami sebanyak 7.5%. Justeru, adalah penting untuk membuat penelitian terhadap andaian-andaian yang digunakan dalam ramalan, bagi menilai sama ada ramalan tersebut adalah realistik. Walau bagaimanapun, ramalan pertumbuhan selalunya adalah berdasarkan kepada perkembangan jangka pendek yang dipengaruhi oleh sentimen pasaran.

Sesetengah pihak melihat perbezaan antara BNM dengan jangkaan sesetengah pakar ekonomi sama ada dalam dan juga luar sebagai satu kelemahan kepada ekonomi?

Dalam keadaan yang tidak menentu sekarang tiada seorang pun boleh membuat jangkaan dengan tepat. Sehubugan itu, BNM menggunakan berbagai penunjuk dan teknik pengurusan risiko dalam pengurusan ekonomi supaya langkah-langkah awalan dapat dilaksanakan tepat pada masanya. Sehingga hari ini, track record Malaysia adalah bagus. Contohnya, penyusunan semula sektor kewangan telah dapat dilaksanakan dengan jayanya dengan kos yang rendah. Kejayaan ini kerana kita dapat mengenal pasti masalah berkaitan lebih awal dan seterusnya melaksanakan langkah-langkah awalan. Langkah-langkah awalan adalah sangat penting. Oleh itu, penilaian hendaklah berasaskan track record prestasi BNM.

Kenapa kita gagal mempengaruhi pemikiran pakar-pakar ekonomi asing?

Dari masa ke masa Malaysia telah berjaya mengubah pandangan sektor swasta serta antarabangsa. Satu ketika yang penting adalah semasa pelaksanaan langkah-langkah kawalan pertukaran mata wang. Apabila Malaysia telah melaksanakan dasar kawalan pertukaran mata wang pada bulan September 1998 apabila krisis kewangan sedang memuncak, pihak kerajaan telah menerima kritikan antarabangsa yang hebat.

Seterusnya apabila keadaan ekonomi mula pulih, adalah nyata bahawa penilaian yang dibuat oleh Kerajaan telah dibuktikan betul. Ramai para penganalisis yang dahulu hebat mengkritik langkah-langkah kita telah mengubah pendapat mereka. Namun demikian, secara umumnya, kebanyakan ahli ekonomi dari negara-negara membangun melalui pengalaman mereka berpendapat bahawa sebarang bentuk campur tangan pasaran adalah tidak boleh diterima. Bagi mereka yang datang daripada latar belakang akademik pula, yang tidak mempunyai pengalaman di dalam pasaran, pemikiran mereka adalah berasaskan buku teks juga menyokong sistem pasaran. Pandangan mereka mengenai rejim kadar pertukaran adalah terhad oleh pengetahuan dan pengalaman mereka dan tertakluk kepada ideologi orientasi pasaran. Mereka gagal untuk memahami bahawa keadaan ini hanya berjaya dalam keadaan yang stabil.

Sememangnya pihak kerajaan mengakui bahawa proses memberi penjelasan dan mendidik para penganalisis dan pelabur merupakan proses yang perlu terus diusahakan.

Kegagalan kerajaan dalam memberikan maklumat yang jelas dan segera, menyebabkan sebahagian awam berpendapat dasar-dasar kerajaan tidak memberikan kesan kepada usaha mengukuh dan memulihkan ekonomi?

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang mempunyai standard pemakluman yang tertinggi. Walaupun semua data-data utama ekonomi dan kewangan disiarkan kepada pihak awam beserta dengan analisis, ramai masih tidak menyedari sumber-sumber data tersebut atau tidak mempunyai kemahiran untuk mentafsir sumber-sumber data tersebut atau tidak mempunyai kemahiran untuk mentafsir data tersebut dengan betul. Sebahagian daripada usaha untuk mengatasi isu ini, Bank Negara Malaysia telah mempertingkatkan peranan komunikasi bagi mempertingkatkan pemahaman mengenai kedudukan ekonomi dan kewangan serta dasar yang dilaksanakan. Objektif utama bukan sahaja untuk meningkat kesedaran dan pemahaman ke atas dasar yang dilaksanakan tetapi juga untuk membantu pelabur membuat keputusan pelaburan berasaskan maklumat yang lengkap.

Ramai yang mendakwa pakej RM3 bilion yang merupakan tambahan kepada Belanjawan 2001 berjumlah RM26.8 bilion tidak berkesan?

Keberkesanan langkah-langkah fiskal sepatutnya dinilai melalui perspektif yang betul. Perbelanjaan telah ditingkatkan dan dipercepatkan. Kesan ke atas ekonomi memerlukan satu jangka masa. Banyak lagi langkah-langkah fiskal yang masih di dalam proses untuk dilaksanakan. Perbelanjaan tambahan sebanyak RM3 bilion adalah diperuntukkan kepada projek-projek tertentu yang mempunyai kesan yang cepat ke atas ekonomi.

Begitu juga dengan penghapusan levi, langkah yang dipertahankan dahulu tetapi akhirnya dihapuskan sedangkan kesannya tidak kelihatan?

Penghapusan levi pada 2 Mei 2001 merupakan kemuncak kepada satu siri liberalisasi secara berperingkat-peringkat yang dilaksanakan sejak bulan Februari 1999 kepada langkah-langkah yang telah diperkenalkan pada bulan September 1998. Sementara reaksi serta-merta pasaran saham tempatan terhadap langkah tersebut adalah positif, ianya bersifat sementara. Julat bagi bon Kerajaan Malaysia yang telah melebar mula mengecil berikutan penghapusan levi tersebut. Julat bagi bon global Malaysia 1999/2009 kini dalam lingkungan 180-190 mata asas, hampir sama parasnya dengan bon Kerajaan Korea Selatan (225 mata asas sebelum pengumuman levi tersebut).

Adakah institusi kewangan kita masih kukuh dalam menghadapi gelombang kegawatan Amerika Syarikat?

Secara keseluruhannya, sistem perbankan berada pada kedudukan yang kukuh dengan tahap modal berada pada paras yang tinggi dan keadaan pinjaman tidak berbayar (NPL) pada tahap yang terkawal.

Bagi tahun 2000, institusi perbankan secara keseluruhannya telah mencatat keuntungan sebanyak RM7.7 bilion berbanding dengan kerugian sebanyak RM9.7 bilion bagi tahun sebelumnya. Hasilnya, nisbah modal berwajaran risiko (RWCR) institusi perbankan turut mengukuh kepada paras 12.2 peratus pada akhir bulan Mac 2001. Dari segi kualiti aset pula, nisbah NPL bersih berdasarkan klasifikasi 6-bulan berada pada paras 6.7 peratus pada akhir bulan Februari 2001 berbanding dengan paras tertinggi sebanyak 9 peratus yang dicatat pada bulan November 1998.

Sekiranya Amerika Syarikat mengalami kemelesetan ekonomi, sudah tentu ianya akan menjejaskan prestasi industri tempatan. Keadaan ini akan menjejaskan aliran dana syarikat-syarikat yang berkaitan dan seterusnya mungkin menjejaskan mereka dalam membayar balik pinjaman. Sehubungan itu, paras NPL akan meningkat. Walau bagaimanapun, sebarang peningkatan dalam NPL dijangka terkawal dan tidak akan menjangkaui paras yang dialami semasa krisis ekonomi pada tahun 1998.

Di samping itu, berdasarkan kekukuhan modal institusi perbankan pada masa ini, sebarang peningkatan di dalam NPL dapat diserap oleh institusi perbankan.

Pada akhir bulan April, Rizab Antarabangsa BNM menyamai US$27 bilion. Bilakah sesuai masanya penetapan ringgit pada 3.80 bagi setiap dolar AS boleh dihapuskan atau sekurang-kurangnya ditetapkan pada kadar yang lebih rendah mengikut perkembangan sekarang.

Walaupun rizab antarabangsa BNM telah menurun kebelakangan ini, tahap rizab adalah masih cukup untuk membiayai lebih kurang 4 bulan import tertangguh dan adalah 5.7 kali hutang luar negara jangka pendek. Tahap ini dianggap tinggi mengikut taraf antarabangsa. Tahap rizab yang selesa ini bersama dengan kadar inflasi yang rendah dan lebihan dagangan yang kukuh terus menyokong kadar pertukaran tetap pada kadar semasanya.

Jangkaan bahawa penukaran rejim kadar pertukaran tetap akan dilaksanakan adalah dipengaruhi oleh perkembangan pasaran saham dunia yang turun naik serta pasaran pertukaran mata wang serantau yang tidak stabil pada bulan Mac dan awal April.

Pasaran telah bertindak balas berlebihan terhadap perkembangan ini dan mengakibatkan nilai mata wang serantau jatuh berbanding dolar AS. Walau bagaimanapun, pada hujung bulan April dan Mei, pasaran mata wang serantau telah menjadi lebih stabil. Sebarang perubahan kadar pertukaran mata wang terhadap perkembangan jangka pendek sebegini tidak akan memberi manfaat kepada ekonomi sebaliknya ia akan memburukkan lagi keadaan.

Ia patut ditekankan bahawa kadar pertukaran ringgit adalah hampir dengan nilai sebenarnya. Memandangkan bahawa kadar inflasi tetap rendah dan lebihan akaun semasa imbangan pembayaran adalah kukuh, tidak terdapat apa-apa faktor ekonomi yang boleh menyokong perubahan dalam kadar pertukaran.

Sampai bilakah kadar tukaran tetap dilanda kekecohan?

Selagi ada pihak-pihak tertentu membuat analisis dan jangkaan tanpa maklumat yang lengkap dan bagi agenda mereka.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum