2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 23 Mei 2001

Pendidikan agenda terpenting Cina

SEMUA rakyat mestilah bersifat adil tidak harus dapat melebihi atau terkurang daripada apa yang sewajarnya mengikut agihan yang saksama berdasarkan kenyataan politik, bilangan penduduk negara dan dasar kerajaan.

Kuota 55-45 peratus untuk bumiputera dan bukan bumiputera kekal dan ia tidak boleh dipersoalkan kerana seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, jumlah 55 peratus itu hanya untuk kemasukan pelajar bumiputera ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sahaja.

Jika dicampur jumlah pelajar bumiputera di IPTA, IPTS dan yang belajar di luar negara, jumlah pelajar bumiputera jauh lebih kecil daripada jumlah pelajar bukan bumiputera.

Semalam penulis telah menghadiri pelancaran Rangkaian Alumni United Kingdom (UKAN) oleh Putera Andrew yang bertujuan merapatkan hubungan bekas graduan UK dengan United Kingdom.

Dalam perbincangan dengan seorang pegawai tinggi British, dia telah mengatakan (dan kesal) bahawa daripada 13,000 pelajar Malaysia di semua peringkat pengajian di UK sekarang terdapat hanya 800 pelajar bumiputera, yakni hanya 6.15 peratus!

Kalau diambil kira jumlah pelajar kita di Australia, Ireland, Amerika Syarikat, Singapura, New Zealand dan Kanada dan di negara-negara Eropah angka bumiputera lebih kecil lagi.

Angka bumiputera hanya tinggi di Mekah, Mesir dan di negara Arab sahaja! Kita kagum dengan agenda pendidikan rakyat Malaysia keturunan Cina, satu contoh yang terbaik bagi diteladani oleh orang Melayu/Islam.

Mereka telah mengamal sabda Nabi Muhammad s.a.w: ``Tuntutlahlah ilmu hingga ke negeri China pun!'' Kita sibuk berkhutbah orang lain yang menghayatinya.

Sepatutnya kerajaan juga perlu berlaku adil seperti meletakkan syarat kuota 30 peratus paling minimum di IPTS iaitu mengikut dasar kerajaan yang mahu melihat semua aktiviti di negara ini mesti mencerminkan ia sebuah masyarakat majmuk bukan hanya dalam pentadbiran awam, angkatan bersenjata dan polis sahaja.

Orang Melayu mahu melihat peningkatan bumiputera dalam sektor swasta sebagai imbangan. Jangan mereka hanya mahu apa yang ada dan diperuntukkan kepada bumiputera sahaja tetapi apakah mereka mahu berkongsi apa yang mereka sudah miliki? Inilah gambaran yang dilihat sekarang. Sebab itulah pegawai-pegawai Melayu bertindak demikian agar ada imbangan pula.

``Sekarang kita lihat pihak swasta tidak bagi peluang langsung kepada kontraktor atau pembekal bumiputera dalam projek mereka,'' kata Dr. Mahathir. ``Amat benar tuan doktor!'' kata seorang kontraktor Melayu yang meminta penulis menyampaikan salam dan ucapan tahniahnya kepada Dr. Mahathir atas kesedaran dan ketegasannya.

Dalam masa yang sama kualiti dan mutu IPTA mesti dipertingkatkan dan bumiputera yang memasukinya mestilah sedar bahawa majoriti ke sana kerana sistem kuota bukan kerana kebijaksanaan otak yang bergeliga.

Ada golongan Melayu, kerana ego mereka disogok oleh liberalisme, mahu hak istimewa Melayu digugurkan kerana mengikut dakwaan mereka dengan cara itu baru bumiputera boleh bersaing dengan bukan bumiputera.

Aduh, tinggi sungguh cakap dan sikap mereka yang kurang sedar diri atau semata-mata kerana mahu memikat undi Cina?

Jika diadakan sistem meritokrasi, pelajar bumiputera di IPTA hanya ada pada tahap 18-20 peratus (sebelum merdeka di tahap 8-10 peratus) dan di Fakulti Perubatan hanya empat peratus sekarang.

Apa telah jadi kepada pelajar lelaki bumiputera? Kira-kira 63 peratus daripada jumlah pelajar bumiputera di IPTA tahun lalu terdiri daripada perempuan.

Syabas, girls! Zaman Dr. Mahathir di universiti dahulu, wanita Melayu tidak sampai pun setengah dozen dan zaman Tan Sri Musa Hitam baru melebihi satu dozen.

Kata pepatah Cina: manusia semua serupa yang membezakan mereka ialah pendidikan.

Jelas agenda terpenting Cina ialah pendidikan. Apa agenda terpenting kita?

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum