Make your own free website on Tripod.com

2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 26 Mei 2001

Masalah Gus Dur tidak jejas sidang G15

Daripada: ZULKIFLEE BAKAR dan ZULKEFLI HAMZAH
WALAUPUN menghadapi ketidaktentuan politik dan ancaman rusuhan, Indonesia tetap meneruskan komitmennya untuk menjadi tuan rumah Persidangan Kemuncak Kumpulan 15 Negara Membangun (G15), di Jakarta dari 30 hingga 31 Mei ini.

Kesungguhan Indonesia itu sekali gus menunjukkan negara berkenaan mahu memperlihatkan bahawa kemelut politik yang dihadapi oleh Presiden Abdurrahman Wahid (Gus Dur) bukanlah satu perkara yang perlu dibimbangi oleh para delegasi G15.

Gus Dur nampaknya telah bersedia `memperlihatkan wajah sebenar Indonesia' dengan meneruskan komitmen menjadi tuan rumah persidangan negara membangun itu, walaupun pada awalnya ramai menjangkakan ia akan ditangguh atau dibatalkan.

Ini disebabkan pada 30 Mei ketika berlangsungnya sidang kemuncak ketua-ketua negara, Gus Dur yang akan menjadi pengerusi sidang harus juga `menjeling' ke arah bangunan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang terletak hanya 300 meter dari tempat persidangan G15.

Di DPR pada hari yang sama, berlangsung persidangan yang bakal menentukan masa depan politik Gus Dur. Dewan itu akan mendengar pandangan fraksi-fraksi berhubung pemberian memorandum kedua kepada Presiden yang terlibat dalam dua skandal kewangan.

Berdasarkan perkembangan politik Indonesia sekarang adalah jelas DPR akan mengesyorkan kepada Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) untuk mengadakan sidang istimewa bagi menentukan kedudukan Gus Dur.

Bagaimanapun semua itu bukanlah halangan bagi Gus Dur dan Indonesia yang pastinya cukup yakin bahawa pergolakan politik serta ancaman demonstrasi yang bakal disaksikan secara langsung oleh para delegasi dan wartawan asing tidak sesekali akan mengganggu kelancaran sidang kemuncak G15 ke-11 itu.

Malah lebih daripada itu, Indonesia dalam masa seminggu ini mahu dilihat sebagai sebuah negara demokrasi yang masih utuh sama ada dari segi keselamatan,politik dan ekonomi.

Justeru, bagi memastikan persidangan G15 berjalan lancar tanpa sebarang gangguan keamanan yang mungkin menimbulkan keresahan delegasi, kawalan keselamatan yang ketat mula dilaksanakan di seluruh kota Jakarta terutama di Balai Persidangan Jakarta (JCC) di mana persidangan tersebut akan berlangsung.

Untuk tujuan keselamatan pihak polis Indonesia menyiapkan sekurang-kurang 20,000 anggota termasuk 400 penembak tepat.

Oleh itu, penganjuran G15 yang pada kali ini bertemakan `Memanfaatkan Potensi Era Digital Untuk Pembangunan', bukan sahaja menjadi ukuran tahap komitmen negara-negara anggota tetapi akan turut menjadi ujian buat Indonesia.

Sidang kemuncak G15 kali ini sebenarnya merupakan komitmen lama Indonesia kerana pada tahun 1990 dan 1997, mereka terpaksa menolak untuk menjadi tuan rumah.

Bagi G15, seiring dengan tema itu, negara-negara anggota berhasrat untuk melaksanakan komitmen lebih konkrit bagi memastikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dapat digunakan secara meluas dan semaksimum mungkin.

Ia untuk memastikan jurang digital yang wujud antara negara maju dan membangun yang meluas sekarang dapat diperkecilkan.

Ini kerana, sedang negara maju menggunakan sepenuhnya ruang siber untuk menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi mereka seperti perdagangan dan pelaburan, sebahagian negara membangun masih `teraba-raba' dalam arus digital ini.

Dalam isu ini, negara anggota G15 nampaknya serius untuk saling bantu membantu meningkatkan keupayaan ICT yang seterusnya dijadikan antara agenda utama perbincangan pada mesyuarat kali ini.

Isu itu telah disepakati untuk diperhalusi pada sidang kemuncak ke-11 ini dalam mesyuarat peringkat menteri G15 di Mexico, Oktober lalu dan dijangkakan satu deklarasi mengenainya akan dikeluarkan.

Malaysia, sebagai antara negara dalam G15 yang pantas dalam mempergunakan ICT dalam semua urusan ekonominya, tentu boleh menyumbang sesuatu untuk kebaikan dan manfaat negara anggota pertubuhan itu.

Deklarasi Jakarta yang dijangka dikeluarkan pada akhir sidang ini, akan memuktamadkan pembentukan jawatankuasa khusus bagi menangani isu ICT.

Antara lain, tugas jawatankuasa itu akan berusaha untuk menarik syarikat-syarikat multinasional membantu menyediakan dana atau sumber lain untuk tunjang pengembangan ICT di negara anggota.

Pada sidang kemuncak ini, delegasi Malaysia akan diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Turut serta dalam delegasi ialah Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Kerk Choo Ting.

Selain isu globalisasi yang perlu ditangani dan diterima secara berhati-hati, G15 di Jakarta ini akan terus membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan usaha untuk mengukuhkan hubungan dan kerjasama Selatan-Selatan.

Fokus perbincangan akan bertumpu kepada isu ekonomi, politik, sosial dan kebudayaan yang mempunyai kaitan langsung terhadap pengukuhan hubungan sesama negara anggota.

Syed Hamid pada sidang akhbarnya di Kuala Lumpur, Selasa lalu, telah membayangkan bahawa sidang kemuncak di Jakarta ini akan berurusan dengan ``banyak perkara ekonomi untuk melihat bagaimana negara Selatan-Selatan bekerjasama dalam bidang ekonomi, kewangan dan perdagangan''.

``G15 lebih merupakan mekanisme kerjasama ekonomi daripada politik,'' katanya sambil menambah proses kerjasama dan meningkatkan perdagangan adalah urusan yang berterusan.

Sidang kemuncak G15 bermula semalam dengan mesyuarat sektor swasta yang telah dirasmikan oleh Naib Presiden, Megawati Sukarnoputri. Ia kemudiannya diikuti dengan mesyuarat Majlis Pentadbiran Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Teknologi pada 26 Mei.

Mesyuarat Menteri-menteri Perdagangan dan Ekonomi akan diadakan pada 27 Mei dan mesyuarat Menteri-menteri Luar G15 pada keesokan harinya manakala sidang kemuncak bermula pada 30 Mei.

G15 dianggotai oleh 19 negara iaitu Malaysia, India, Indonesia dan Sri Lanka, Algeria, Mesir, Kenya, Nigeria, Senegal dan Zimbabwe, Argentina, Brazil, Chile, Jamaica, Mexico, Peru dan Venezuela. Dua lagi negara, Iran dan Colombia adalah anggota baru yang diterima masuk dalam kelompok G15 pada sidang kemuncaknya di Kaherah, Jun lalu.

Selain Dr. Mahathir, setakat ini lapan lagi ketua kerajaan telah mengesahkan untuk menghadiri sidang kemuncak G15 iaitu dari Algeria, Colombia, Zimbabwe, Jamaica, Nigeria, Senegal dan Venezuela sementara negara lain mengirimkan timbalan ketua kerajaan atau menteri masing-masing.

Apa pun, Indonesia yang mewakili Asia diharapkan dapat melakukan yang terbaik untuk memastikan segala matlamat persidangan ini tercapai dengan semaksimum mungkin melalui usaha yang praktikal dan realistik.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum