2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 30 Mei 2001

Mewujudkan masyarakat berteraskan sains-Lidah Pengarang

KONGRES Kebangsaan Sains dan Teknologi Melayu yang berakhir semalam menekankan betapa pentingnya sains dan teknologi untuk berjaya dalam persaingan pada zaman moden.

Ia juga memaparkan betapa orang Melayu ketinggalan dalam bidang ini dan dikemukakan beberapa saranan bagi meningkatkan bilangan saintis Melayu.

Kita percaya resolusi daripada kongres anjuran Pusat Penggalakan Keintelektualan dan Kemajuan Teknologi (Cipta) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu akan diteliti oleh pihak berkuasa untuk dilaksnakan.

Namun begitu, walaupun kita setuju dengan cadangan-cadangan yang dikemukakan semasa kongres itu, tetapi isu yang juga perlu difikirkan bukan sekadar soal meningkatkan bilangan saintis dengan tujuan untuk meningkatkan daya saing bangsa.

Sains tidak mengenal perbezaan bangsa ataupun sempadan negara. Ia bersifat sejagat dan lebih merupakan budaya dan cara fikir sesuatu golongan manusia.

Ia juga bukan merupakan satu bidang yang sukar dan hanya boleh dijangkau oleh bangsa-bangsa tertentu. Manusia boleh menguasai sains tanpa mengira keturunan masing-masing.

Oleh itu, kita percaya orang Melayu juga mampu menguasai sains, matematik dan teknologi dengan cemerlang.

Sungguhpun budaya sains bermula daripada tamadun Yunani yang berkembang ke dalam peradaban Islam dan kemudian dimantapkan di Eropah dan kini menjadi fenomena sejagat, tetapi ia menuntut perubahan cara fikir masyarakat berkenaan.

Maka di sini, isu sains bukan semata-mata soal bilangan pelajar aliran sains dan berapa ramai orang Melayu yang menjadi jurutera, doktor atau saintis.

Apa yang lebih penting dan bermakna ialah bagaimana masyarakat Melayu tidak membudayakan sains dalam kehidupan seharian mereka.

Sebagai cara berfikir yang mengutamakan kebenaran dalam mendapatkan fakta dan amalan melakukan uji kaji dalam merumus sesuatu kesimpulan, masyarakat Melayu masih jauh ketinggalan.

Mudahnya masyarakat Melayu percaya kepada pembohongan atau perkara-perkara karut yang tidak masuk akal menunjukkan betapa cara berfikir saintifik belum begitu mantap dalam kehidupan seharian.

Sudah sampai masanya, sains tidak dipandang sebagai satu mata pelajaran dalam pendidikan semata-mata. Jika matlamat kita sekadar menambah saintis hanya kerana untuk bersaing dengan kaum lain, masyarakat Melayu tidak akan mengalami perubahan yang bersaing di peringkat global.

Apa yang diperlukan adalah perubahan masyarakat daripada berfikiran tradisi kepada yang mempunyai pandangan lingkup saintifik.

Berfikiran saintifik juga menuntut sifat ingin tahu dan mendapatkan jawapan kepada persoalan-persoalan daripada mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang terbabit. Sudah tentu keadaan ini menuntut penghargaan dan penghormatan kepada kepakaran.

Dengan memiliki pandangan lingkup saintifik, masyarakat Melayu bukan saja akan menghasilkan lebih banyak saintis tetapi juga melahirkan warga-warga berfikiran rasional dan bersikap positif dan progresif yang mampu menyumbangkan kepada kesejahteraan bangsa.

Masyarakat Melayu yang progresif akan menyumbang kepada kemajuan negara dan seterusnya mendatangkan kemakmuran kepada semua warganegara tanpa mengira kaum.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum