2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 30 Mei 2001

DPR tentukan kedudukan Gus Dur hari ini

Daripada: ZULKIFLEE BAKAR
WALAUPUN mengalami pelbagai tekanan dan ancaman daripada Presiden Abdurrahman Wahid (Gus Dur) Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) tetap akan melangsungkan persidangannya hari ini bagi menentukan sama ada perlu atau tidak sidang istimewa Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) diadakan bagi menentukan kedudukan Presiden Indonesia.

Persidangan DPR yang akan berlangsung itu sememangnya penting dalam menentukan corak politik Indonesia selepas ini sama ada ia akan menyaksikan negara itu akan terus kekal dengan kepimpinan yang ada sehingga tahun 2004 atau mengalami perubahan kepimpinan sekali lagi pada Ogos nanti kerana jika DPR memutuskan sidang istimewa MPR harus diadakan ia boleh dianggap sebagai petanda awal akan berakhirnya kepimpinan Gus Dur.

Berdasarkan hakikat itulah, Gus Dur sejak beberapa hari lalu terus melakukan tekanan dan ancaman terhadap DPR bagi menghalang persidangan dewan itu diadakan pada hari ini.

Bagaimanapun usaha Gus Dur setakat ini menempuh kegagalan apatah lagi langkahnya untuk mengisytiharkan darurat dan membubarkan DPR dan MPR mendapat pertentangan hebat daripada Naib Presidan, Megawati Sukarnoputri, beberapa menteri kabinet, Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Polis Republik Indonesia (Polri).

Malah apa yang lebih mengecewakan Gus Dur ialah menteri yang dianggap `orang kanannya' iaitu Menteri Penyelaras Politik, Sosial dan Keselamatan, Susilo Bambang Yudhoyono turut menentang hasratnya itu.

Ini kerana kesemua kelompok berkenaan menganggap pengisytiharan darurat bukan sahaja tidak akan menyelesaikan masalah tetapi tidak sesuai dilakukan dalam keadaan Indonesia tidak berada dalam bahaya.

Ketua DPR, Akbar Tanjung menegaskan, ancaman Gus Dur sama sekali tidak akan menggugat komitmen dewan itu untuk terus bersidang bagi menentukan pendirian berhubung pemberian memorandum kedua dewan berkenaan kepada Gus Dur.

Walaupun mempunyai tempoh sebulan mulai 30 April lalu untuk menjawab memorandum berkenaan namun Gus Dur hanya mendiamkan diri sebaliknya terus melakukan helah politik untuk menyelamatkan kedudukannya termasuk menuduh DPR telah melanggar perlembagaan.

Mengikut perlembagaan Indonesia, Presiden berhak melakukan tiga tahap darurat iaitu darurat tentera, darurat awam dan darurat perang.

Tetapi berdasarkan kepada situasi sekarang, pengisytiharan darurat yang cuba dilakukan oleh Gus Dur hanya dilihat semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan politiknya yang tergugat.

Sebab itulah, semua pihak di Indonesia tidak dapat menerima apa juga alasan Gus Dur dalam usaha mengisytiharkan darurat berkenaan.

``Bagaimana Gus Dur mahu mengisyiharkan darurat sedangkan di Jakarta ini suasananya berada dalam keadaan aman, tidak ada sebarang kekecohan atau kekacauan yang boleh menggugat negara,'' kata seorang pegawai perisikan Indonesia.

Hakikatnya, pengisytiharan darurat dan pembubaran DPR sepertimana kata Ketua MPR, Amien Rais hanyalah helah atau usaha terakhir Gus Dur untuk menghalang DPR mengadakan sidangnya yang seterusnya akan menjurus kepada sidang istimewa MPR.

``Itu semua helah Gus Dur termasuk juga rusuhan di Jawa Timur semua sengaja diadakan untuk menakut-nakutkan anggota Parlimen,'' katanya.

Gus Dur sememangnya menyedari bahawa jika sidang MPR diadakan ia sudah pasti kedudukan beliau sebagai Presiden akan tergugat kerana majoriti anggota DPR atau MPR amat berhasrat untuk menggantikan beliau berikutan sikapnya yang tidak memberi tindak balas yang baik terhadap dua memorandum yang diberikan oleh DPR kepada beliau kerana terlibat dalam dua skandal kewangan.

Tambahan pula, pemerhati serta ahli politik melihat sudah tidak ada cara lagi bagi mereka mempertahankan Gus Dur yang bukan sahaja dilihat tidak mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Indonesia tetapi juga telah bersengketa dengan Megawati.

Segalanya bermula daripada tindakan Gus Dur sendiri yang memberi kata dua kepada Megawati Jumaat lalu sama ada menerima pembahagian kekuasaan atau beliau sebagai Presiden mengisytiharkan darurat.

Ternyata Megawati tidak mahu terperangkap dengan permainan politik Gus Dur, apabila beliau menolak dengan tegas tawaran berkenaan dan menganggap hanya MPR sahaja yang boleh melakukan pembahagian kekuasaan itu. Apatah lagi sehingga hari ini, pembahagian kekuasaan itu masih belum jelas.

Keadaan itulah yang mendorong Gus Dur menggunakan pelbagai pendekatan termasuk ancaman bagi mengelakkan persidangan DPR berlangsung pada hari ini.

Berdasarkan kepada perkembangan politik sekarang adalah jelas, DPR yang akan bersidang akan mengajukan permohonan kepada MPR untuk mengadakan sidang istimewa.

Setakat ini tujuh daripada 10 fraksi di dewan itu telah menyatakan persetujuan berhubung perkara berkenaan dan ia termasuk fraksi Parti Golkar dan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) dibawah pimpinan Megawati.

Jika DPR membuat keputusan berkenaan MPR mempunyai tempoh selewat-lewat sehingga Ogos ini untuk mengadakan sidang istimewa bagi meminta pertanggungjawaban Presiden.

Kalau ucapan pertanggungjawaban Presiden itu ditolak bermakna Gus Dur harus meletakkan jawatan dan secara automatik Megawati akan menjadi Presiden Indonesia yang kelima.

Bagaimanapun apa yang menimbulkan persoalan ialah apakah penyokong-penyokong Gus Dur akan dapat menerima proses politik yang berlangsung terutamanya sidang DPR yang akan berlangsung.

Ini kerana mereka awal-awal telah mencetuskan rusuhan di Jawa Timur serta mengancam akan melakukan rusuhan di Jakarta jika sidang istimewa diadakan. Selain itu, timbul juga persoalan mengenai sikap Gus Dur iaitu apakah beliau akan menerima keputusan yang bakal dibuat oleh MPR atau DPR.

Pelbagai pihak di Indonesia berpendapat tidak mustahil Gus Dur melakukan langkah drastik untuk mengisytiharkan darurat jika menyedari kedudukannya sudah tidak mampu dipertahankan lagi.

Namun jika tindakan itu dilakukan ia bukan sahaja akan mencemarkan imej Indonesia yang sedang menjadi tuan rumah sidang kemuncak Kumpulan 15 negara-negara membangun (G15) tetapi juga akan meletakkan negara itu dalam konflik yang tidak pernah berkesudahan.

Justeru, sebagai seorang pemimpin yang suatu ketika pernah dianggap sebagai bapa bangsa, Gus Dur seharusnya membiarkan proses politik dan perlembagaan berjalan tanpa sebarang ancaman.

Jika itu dapat dilakukan sudah pasti semua kemelut politik di Indonesia akan dapat diselesaikan secara aman tanpa mencetuskan sebarang kekacauan yang hanya akan merugikan negara itu sendiri. - Utusan

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum