2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 31 Mei 2001

Harapan UMNO kepada pemuda-Lidah Pengarang

ANGGOTA-anggota Pergerakan Pemuda UMNO mesti mengambil perhatian serius terhadap amanat Presiden, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang menggariskan tiga cabaran penting untuk dilakukan.

Ini kerana tiga cabaran itu apabila disambut dengan sempurna akan meningkatkan lagi kekuatan dan kewibawaan parti.

Ahli-ahli Pemuda mesti sedar bahawa harapan masa depan parti terletak di tangan mereka dan cabaran-cabaran ini merupakan jalan yang praktikal untuk memberi kejayaan kepada UMNO.

Cabaran pertama ialah setiap ahli Pemuda UMNO mesti menarik lima pemuda lain bagi menyertai parti. Maka mulai hari ini, wajar ahli Pemuda UMNO melihat keliling mereka dan mengenal pasti mereka yang boleh diajak untuk menyertai menjadi ahli parti.

Kita percaya tugas ini tidak sukar kerana sudah tentu seseorang pemuda mempunyai kenalan lebih daripada lima orang.

Tambahan pula, UMNO terbukti merupakan parti yang berjaya, praktikal dan berwawasan dan sudah tentu mudah untuk disertai oleh pemuda-pemuda.

Cabaran kedua ialah memastikan setiap ahli Pemuda yang layak, mendaftar sebagai pemilih.

Kita juga percaya tugas ini tidak sukar kerana ia hanya memerlukan seseorang untuk pergi ke tempat mendaftar ketika diadakan proses pendaftaran pemilih baru.

Namun tugas-tugas yang kelihatan mudah ini perlu diselaras untuk mencapai kejayaan. Maka sudah tentu, cabaran ketiga iaitu setiap cawangan Pemuda mesti mempunyai sebuah bilik gerakan.

Bilik gerakan ini mestilah mempunyai senarai ahli-ahli baru dan juga senarai ahli yang telah berdaftar sebagai pengundi dalam pilihan raya. Tanpa bahan-bahan ini, bilik itu tidak akan dapat digerakkan untuk kerja-kerja parti.

Sememangnya tanggungjawab pelaksanaan cabaran-cabaran ini terletak pertamanya di bahu Ketua Pemuda cawangan. Namun begitu, untuk mencapai kejayaan, kerjasama daripada semua pihak akan mempercepatkan pencapaian matlamat.

Ini bermakna, pemimpin-pemimpin Pemuda di peringkat bahagian juga wajar melihat cabaran-cabaran ini disambut.

Malah ahli-ahli biasa juga perlu mengorak langkah sendiri sambil mengingatkan rakan-rakan seperjuangan dan pemimpin masing-masing.

Walaupun Presiden parti menyatakan bahawa beliau sendiri akan turun memantau untuk melihat pemuda benar-benar menyahut cabarannya, kita berpendapat bahawa pemimpin-pemimpin lain juga harus turut memainkan peranan mereka.

Umpamanya, pemimpin-pemimpin peringkat negeri dan bahagian akan turut melakukan lawatan ke bilik-bilik gerakan Pemuda. Malah yang lebih penting, pemimpin-pemimpin Pemuda sendiri harus turut memantau perkembangan bagi memperkemaskan pelaksanaan.

Namun begitu, kita faham menasihat dan bercakap adalah jauh lebih mudah daripada melakukan sesuatu perubahan.

Tetapi pemuda-pemuda UMNO harus mempunyai semangat dan motivasi tinggi untuk memberi sumbangan kepada parti demi bangsa, agama dan negara.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum