KOLUMNIS

Berita Harian 11 April 2001

Minda Pengarang: Penganalisis tempatan tidak perlu terpengaruh pandangan asing


KEBELAKANGAN ini pasaran agak gusar mengenai kemungkinan ringgit diturunkan nilainya, sehingga menyebabkan penanda aras Bursa Saham Kuala Lumpur, Indeks Komposit susut sejumlah 91.83 mata atau 14.07 peratus dalam dua minggu lalu.

Kejatuhan itu berterusan minggu ini dengan indeks yang meliputi 100 saham mewah, jatuh 24.1 mata lagi pada Isnin atas faktor yang sama, ditambah pula dengan faktor kebimbangan terhadap ekonomi Amerika Syarikat.

Sebenarnya, BSKL tidak bersendirian dengan kejatuhan itu kerana pasaran serantau lain turut terjejas berikutan kejatuhan mendadak mata wang Jepun (yen) sejak beberapa minggu lalu.

Menurut beberapa penganalisis serantau yang sering mendapat peluang ditemuramah oleh saluran televisyen antarabangsa, mata wang Jepun itu dijangka jatuh lagi dan akan mengheret bersamanya mata wang serantau lain. Ringgit yang ditambat kepada nilai RM3.80 berbanding AS$1 sejak dua setengah tahun lalu, menurut mereka lambat laun akan terpaksa diturunkan nilainya jika Malaysia mahu mengekalkan daya saingannya berbanding negara lain di rantau ini.

Meskipun pihak berkuasa Jepun ada menyatakan mereka akan mempertahankan nilai yen, penganalisis berkenaan tidak mengendahkannya, malah ada juga rakan sejawat mereka di Malaysia terikut-ikut dengan pandangan penganalisis asing itu.

Perkembangan itu menyebabkan pasaran tempatan dibelenggu oleh kebimbangan terhadap kemungkinan ringgit diturunkan nilainya dengan ada desas-desus menyebut mata wang tempatan itu mungkin dinilaikan semula kepada RM4 hingga RM4.20 berbanding AS$1.

Dalam suasana itu, ada juga kedengaran dana asing mengambil kesempatan dengan menjual pegangan mereka terutamanya dalam saham mewah seperti Telekom, Maybank dan Tenaga, dan menukarkan hasilnya kepada dolar AS dengan harapan jika ringgit diturunkan nilai, mereka akan mengaut untung besar.

Keuntungan itu bukan hanya dari segi pertukaran kembali dolar AS mereka kepada ringgit tetapi oleh kerana Indeks Komposit sudah jatuh, mereka akan berpeluang memasuki semula pada paras harga rendah.

Akhirnya, pelabur asing ini juga yang mengaut keuntungan dan rakyat tempatan yang hanya suka mengikut rentak pengurus dana asing ini, terjerat sekali lagi. Sebenarnya, inilah mainan mereka untuk sentiasa di hadapan dalam pasaran.

Oleh kerana mereka sentiasa mendapat tempat dalam media antarabangsa pembacaan mereka mengenai hala tuju pasaran sentiasa menjadi ikutan, meskipun kadang kala asas pandangan itu mungkin boleh dipertikaikan.

Sebagai contoh, pandangan bahawa nilai yen mungkin diturunkan nilainya bagi menyokong pemulihan ekonomi Jepun.

Secara kasarnya, apakah logiknya Jepun menurunkan nilai mata wangnya untuk meningkatkan daya saingannya? Kelebihan nilai mata wang yang rendah itu tidak akan berkekalan kerana negara serantau lain akan turut menurunkan nilai mata wang masing-masing.

Apabila ini berlaku, tidak ada satu negara pun akan mempunyai kelebihan, malah semuanya akan sengsara kerana ekonomi mereka akan porak peranda. Bukankah lebih baik penganalisis tempatan lebih berpegang kepada pandangan yang diutarakan oleh kerajaan sendiri yang sememangnya memiliki data terkini mengenai kedudukan ekonomi semasa ataupun paling tidaknya membuat penilaian sendiri berdasarkan faktor sebenar.

Jika mereka sentiasa terpengaruh dengan pandangan penganalisis asing itu, sudah tentunya pelabur tempatan akan sentiasa ketinggalan dengan memasuki pasaran apabila pelabur asing mahu mengaut keuntungan dan keluar pasaran apabila pelabur asing mahu membeli pada harga murah.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi