2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 10 Mei 2001

Punca pelajar Melayu naik lemak

SAYA begitu tertarik dengan isu kuota pelajar Melayu di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Pada pendapat saya adalah benar apabila kita dimanjakan dalam semua segi kehidupan, ia akan menyebabkan kita naik lemak. Dalam hal ini, kita tak perlu cepat melatah.

Saya ingin memben-tangkan empat punca kenapa kurangnya pelajar Melayu mendapat tempat di IPTA walaupun kuota telah disediakan untuk mereka.

Pertama, sistem kuota itu sendiri yang telah diketahui oleh pelajar Melayu sebagai peluang untuk menyelesakan diri serta menjadi penawar ataupun helah bela diri apabila motivasi telah menurun ketika menjalani kehidupan sebagai pelajar.

Kedua, budaya hidup orang Melayu yang suka pada kerja senang dan menjurus kepada kurang risiko.

Lalu sikap menanamkan wawasan kepada anak-anak dengan fahaman makan gaji sahaja sudah cukup walaupun telah berpelajaran tinggi.

Budaya beginilah yang menjadi warisan pelajar Melayu yang masih sekolah menengah ataupun sudah di IPTA.

Saya fikir adalah lebih baik ditukarkan warisan itu kepada mahu kerja sendiri. Bila pelajar itu berwawasan mahu bekerja sendiri, mereka akan belajar bersungguh semasa diberi peluang untuk belajar kerana selepas ini mereka akan bekerja tanpa bantuan sesiapa kecuali ilmu yang telah diperoleh.

Jika tiada peluang untuk membina perniagaan sendiri pun mereka masih mampu mencari kerja lain kerana sudah berilmu dan berwawasan tinggi serta mempunyai daya tahan rintangan yang baik.

Ketiga, sistem penilaian atau peperiksaan yang masih menyediakan soalan berbentuk aneka pilihan yang disajikan kepada pelajar sejak di bangku sekolah rendah hingga menengah.

Pelajar mengambil jalan mudah, jika mereka langsung tidak tahu jawapan pun, masih ada peluang untuk meneka. Idea meneka jawapan inilah yang akan mengembangkan pemikiran pelajar kepada budaya mahu bersenang-senang sahaja, tanpa mahu mengetahui mekanisme sesuatu kejadian, dan ia membawa kepada budaya ikut-ikutan yang tidak saintifik.

Inilah yang terjadi dalam sistem pendidikan bila mengukur kejayaan dalam peperiksaan sesebuah sekolah tanpa mengira pelbagai faktor tetapi hanya membandingkan peratus kelulusan sahaja.

Keempat, perkara di atas disokong pula oleh kurikulum sekolah yang berpengetua Melayu yang mementingkan aktiviti gembar-gembur sahaja untuk mempercepatkan mereka naik pangkat dan mendapat pujian bersesuaian dengan wawasan `kerja makan gaji sampai tua.'

Saya bukanlah tak menyokong aktiviti kokurikulum terutama aktiviti sukan, tetapi biarlah ia diadakan berpada-pada dengan mengambil perkiraan masa pelajar terbabit.

Kebanyakan pelajar yang terlibat dengan sukan dan aktiviti luar adalah mereka yang juga berpotensi untuk menyerap pembelajaran dengan baik, manakala pelajar kurang berpotensi kebanyakannya melarikan diri dan kurang juga berkebolehan dalam sukan.

Ada pelajar yang berani mengatakan mereka terlalu penat dengan aktiviti di sekolah yang menyebabkan mereka tak cukup masa mentelaah pelajaran.

Perkara ini berlaku kerana pelajar yang berpotensi dalam semua segi telah dilonggokkan segala tugasan.

Guru tidak mahu menghantar pelajar yang kurang berpotensi kerana ini akan menggambarkan kerja mereka seolah-olah dibuat secara tangkap muat.

Kebanyakan guru telah lama menyedari hal ini tetapi mendiamkan diri untuk menjaga periuk nasi masing-masing. Kalau bersuara pun mereka bimbang terperangkap dalam dilema atau pendapat mereka dianggap tidak berasas. Tiada guna menghentam guru kerana yang menjadi mangsa hanyalah pelajar.

Carilah jalan penyelesaian yang terbaik soal kecemerlangan akademik dan kokurikulum pelajar Melayu dengan mengambil kira pendapat guru sekolah yang sentiasa berada di barisan depan yakni yang selalu bersama pelajar dan bukannya pengetua atau pengarah. - AMEYRUL RASHEED, Kuala Lumpur.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum