2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 14 April 2001

Jakarta diancam demonstrasi berdarah

Daripada: ZULKIFLEE BAKAR
PERSIDANGAN Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang berlangsung pada 30 April ini bukanlah detik-detik yang menggembirakan sama ada bagi pihak keselamatan Indonesia mahupun rakyat negara itu.

Ketika ini sudah ada ancaman daripada kelompok-kelompok tertentu bahawa Jakarta akan menyaksikan demonstrasi berdarah jika DPR memutuskan untuk mengeluarkan memorandum kedua kepada Presiden Abdurrahman Wahid (Gus Dur) kerana dakwaan terlibat dalam dua skandal kewangan.

Memorandum kedua itu merupakan susulan daripada memorandum pertama yang dikeluarkan oleh DPR kepada Gus Dur kerana dituduh terlibat dalam penyelewengan dana yayasan Badan Urusan Logistik (Bulog) berjumlah RM17.5 juta dan sumbangan Sultan Brunei AS$2 juta (RM7.6 juta).

Kelompok yang membuat ugutan untuk mengadakan demonstrasi berdarah itu datangnya daripada anggota Nahdlathul Ulama (NU) yang menubuhkan tentera jihad berani mati melalui satu badan yang dikenali sebagai Barisan Penegak Kebenaran (BPK).

Sejak 2 April lalu sudah hampir 30,000 orang telah mendaftar untuk menganggotai tentera jihad berkenaan dan mereka dijadual bertolak ke Jakarta pada 26 April ini untuk `menggegarkan' kota berkenaan.

Sebelum itu, mereka dijangka diberi latihan perang di dua daerah di Jawa Timur iaitu Banyuwangi dan Kediri. Ini kerana kelompok berkenaan benar-benar berhasrat untuk melancarkan demonstrasi yang menjurus ke arah keganasan atau lebih popular dengan istilah demonstrasi ala militer.

Ancaman kelompok berkenaan menjadi semakin menggerunkan apabila sebuah puak yang menentang Gus Dur iaitu Ikhwanul Muslimin (IM) turut mengancam akan menghantar tentera jihadnya bagi berhadapan dengan BPK.

Sepertimana kata Presiden IM, Habib Hussein Al Habsyi, ia sebagai amaran kepada kelompok penyokong Gus Dur supaya tidak menggunakan paksaan dalam memenuhi tuntutan mereka.

``Saya akan mengerahkan 150,000 tentera jihad IM ke Jakarta, jika Gus Dur gagal menghalang BPK yang terdiri daripada anggota NU datang ke kota tersebut,'' katanya.

Tiada sesiapa pun dapat membayangkan apa akan terjadi jika kedua-dua kelompok yang bertentangan ini bertempur di Jakarta, sudah pasti ratusan dan mungkin ribuan nyawa akan terkorban.

Berdasarkan keadaan itulah, Menteri Penyelaras Politik, Sosial dan Keselamatan, Susilo Bambang Yudhoyono menganggap bahawa tanda-tanda akan tercetus kekacauan besar di Jakarta sudah semakin jelas dan amat meresahkan masyarakat.

Malah beberapa diplomat asing di Jakarta meramalkan bahawa jika DPR mengeluarkan memorandum kedua, sudah pasti kekacauan yang amat dahsyat akan melanda kota itu.

``Penyokong-penyokong fanatik Gus Dur telah memberi `harga mati' terhadap tuntutan mereka, kelompok itu sanggup mati demi Gus Dur,'' tegas seorang diplomat sebuah negara ASEAN .

Pertempuran dahsyat bakal tercetus antara puak yang pro dan anti Gus Dur ini juga diakui oleh Ketua Pengurus Wilayah NU Jawa Timur, Ali Maschan.

Anggota DPR dari fraksi Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) itu menegaskan: ``Jika memorandum kedua dikeluarkan sehingga mendorong sidang istimewa Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) diadakan (bagi menentukan kedudukan Gus Dur), pertempuran antara kelompok akan terjadi dengan dahsyatnya dan dalam hal ini penyokong Gus Dur sudah bersedia memberi penentangan keras''.

Malah Ali juga menjelaskan bahawa bagi NU, tindakan mengadakan demonstrasi walaupun akan tercetus kekacauan adalah pilihan terakhir.

Ancaman untuk mengadakan demonstrasi berdarah ini sememangnya menjadi alat kepada penyokong Gus Dur untuk mengancam anggota-anggota DPR supaya tidak mengeluarkan memorandum kedua kepada pemimpin idola mereka.

Namun setakat ini harapan untuk melihat impian mereka itu menjadi kenyataan semakin tipis apabila sebahagian besar fraksi dalam DPR termasuk parti-parti utama seperti Parti Golkar, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) dan Parti Persatuan Pembangunan (PPP) sudah memberi isyarat bahawa memorandum kedua pasti akan dilayangkan kepada Gus Dur.

Jika memorandum kedua itu menjadi kenyataan ia sekali gus memberi isyarat bahawa arena politik Gus Dur dalam bahaya kerana memorandum berkenaan akan membuka laluan kepada sidang istimewa MPR yang bakal menjadi penentu muktamad terhadap nasib Presiden Indonesia.

Berdasarkan perkembangan itu, pihak berkuasa Indonesia melihat bahawa satu-satu cara bagi menggelakkan demonstrasi berdarah daripada tercetus ialah berusaha mengadakan kompromi di kalangan elit-elit politik utama negara itu.

Walaupun sudah ada usaha digerakkan seperti menganjurkan pertemuan antara empat tokoh utama yang berbalah iaitu Gus Dur, Naib Presiden, Megawati Sukarnoputri, Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Akbar Tanjung dan Ketua MPR, Amien Rais namun semua pihak tidak mengharapkan kejayaan besar melalui pertemuan berkenaan kerana awal-awal lagi, Akbar, Amien dan Megawati telah menyatakan akan menolak sebarang kompromi politik berhubung kedudukan Gus Dur.

Lanjutan itu, nasib Jakarta yang kini diancam demonstrasi berdarah semakin jelas dan ia ternyata benar-benar membimbangkan pihak berkuasa negara itu apatah lagi nasihat Gus Dur yang dianggap tokoh paling dihormati oleh anggota NU supaya BPK tidak datang ke Jakarta, sama sekali tidak dipedulikan.

Malah anggota BPK yang terdiri daripada ahli NU menganggap perjuangan mereka bukan untuk mempertahankan Gus Dur walaupun hakikatnya dalam lagu tema mereka terdapat perkataan `rela mati demi Gus Dur'.

Bagi mereka, tuntutan yang dibuat harus dipenuhi, walaupun menggunakan cara kekerasan atau militer. Atas sebab itulah mereka sanggup melatih tentera jihadnya dengan pelbagai ilmu pertempuran.

Walaupun pada hakikatnya dalam sebuah negara demokrasi, latihan seumpama itu tidak sepatutnya diadakan namun sepertimana kata Menteri Pertahanan, Mahfud MD, tindakan itu masih boleh diterima asalkan ia tidak mengganggu ketenteraman.

``Tetapi apabila mereka mahu bergerak dan mengganggu ketenteraman awam, maka pihak berkuasa tidak akan duduk diam, kita akan mencegahnya,'' kata beliau.

Berikutan ancaman yang semakin mendesak itu, Panglima Wilayah Tentera Jakarta, Mejar Jeneral Bibit Waluyo memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan membiarkan keganasan tercetus di kota berkenaan kerana ia boleh meruntuhkan sama sekali imej Indonesia di peringkat antarabangsa.

``Kita harus menyedari bersama, Jakarta milik kita semua, Jakarta adalah segala-galanya, ertinya Jakarta ini lambang kehormatan bangsa, kalau Jakarta tertib dan aman sudah pasti kepercayaan dunia akan kembali (kepada Indonesia),'' katanya.

Justeru tanggal 30 April dinanti dengan penuh debaran oleh rakyat Indonesia kerana mereka tidak pasti apa yang akan berlaku kepada Jakarta pada tarikh tersebut.

Tetapi hakikatnya debaran mereka akan semakin kencang apabila tentera jihad sama ada daripada puak yang menyokong atau menentang Gus Dur akan mula `menyerbu' Jakarta mulai 25 April ini.

Namun bagi diplomat-diplomat dan pengamat asing di Indonesia, apa yang dibimbangkan sekarang tidak akan berlaku jika sejak awal lagi pemerintah negara itu tidak mengajar rakyatnya untuk menyelesaikan masalah melalui demonstrasi kerana menganggap itu hak asasi manusia.

Dan ternyata kini hak asasi manusia yang dianggap mampu diperjuangkan melalui demonstrasi hanya mendatangkan kemudaratan kepada mereka, malah setiap masa meletakkan negara itu dalam kucar-kacir.

``Hak asasi manusia atau demokrasi bukannya bermaksud kita boleh melakukan apa sahaja termasuk berhasrat bertempur menumpah darah bagi mempertahankan pemimpin idola kita kerana mungkin kita sendiri tidak tahu sejauh manakah pemimpin yang kita pertahankan itu benar,'' kata seorang diplomat dari sebuah negara jiran Indonesia.

Kini ancaman akan tercetusnya demonstrasi berdarah pada 30 April ini meletakkan nasib Jakarta terumbang-ambing dan sehingga detik itu rakyat Indonesia hanya mampu berdoa agar pertumpahan darah yang boleh dianggap sia-sia itu tidak akan menjadi kenyataan kerana ia hanya akan menjadi bukti kecetekan fikiran satu kelompok mengenai demokrasi. - Utusan

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum