2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 26 Mei 2001

Pelajar bumiputera mampu bersaing

SAYA adalah salah seorang daripada bekas dekan di sebuah universiti swasta tempatan yang dipertanggungjawabkan untuk memulakan Program Universiti Terunggul Amerika (ATU) di universiti berkenaan, iaitu program penyediaan bagi sekumpulan pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ditaja oleh beberapa pertubuhan ternama di Malaysia.

Di sini saya dapat rumuskan bahawa kesemua pelajar ini, tidak mengira kaum, menunjukkan tahap dan kebolehan yang lebih kurang sama, tidak kira untuk mata pelajaran Matematik atau Fizik atau penguasaan bahasa Inggeris.

Dalam melakukan perbandingan, kita perlu mempunyai asasnya. Kita tidak berlaku adil sekiranya kita bandingkan yang baik dengan yang kurang baik atau yang sempurna dengan yang cacat dan merumuskan apa yang dengan sendirinya nyata. Ada kalanya sesuatu pernyataan yang dibuat bertubi-tubi kali, yang diulang begitu kerap kali, akhirnya diterima sebagai satu kenyataan yang benar, tanpa diulang periksa untuk menentukan kesahihannya.

Sekiranya kita membuat kesimpulan bahawa pelajar bukan bumiputera di universiti tempatan memperoleh keputusan yang tidak secemerlang pelajar bumiputera, dengan sendirinya kita harus batalkan perbandingan ini di atas beberapa sebab. Kesemua pelajar bukan bumiputera yang memasuki universiti tempatan merupakan pelajar yang mempunyai keputusan cemerlang. Sebaliknya, peratusan besar pelajar bumiputera yang memperoleh keputusan cemerlang dihantar ke luar negara (sebelum kemelesetan ekonomi melanda negara kita) untuk melanjutkan pelajarannya. Pelajar-pelajar bumiputera yang diberi tempat di universiti tempatan, kebanyakan (bukan semua) dengan sendiri, tidak setaraf pelajar bukan bumiputera dari segi kelulusan mereka.

Perbandingan yang kita lakukan di sini mengenai pencapaian pelajar Melayu harus dilakukan dengan pelajar-pelajar yang mempunyai keupayaan yang setaraf.

Program ATU memberikan kita peluang untuk membuat perbandingan ini. Kesemua pelajar di program ini disediakan untuk mengambil peperiksaan Ujian Inggeris sebagai Bahasa Asing (TOEFL) dan Ujian Aptitud Skolastik (SAT I dan SAT II) iaitu keperluan kemasukan untuk universiti di Amerika. Proses penyediaan peperiksaan ini mengambil masa antara enam bulan hingga sembilan bulan.

Pelajar-pelajar perlu bekerja kuat untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam masa yang singkat dan pelajar yang mempunyai kelemahan yang ketara dalam mana-mana mata pelajaran, biasanya dalam mata pelajaran bahasa Inggeris, perlu mengatasi kelemahan mereka dengan segera. Apa yang saya dapati ialah pelajar Melayu tidak mempunyai apa-apa masalah untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan-peperiksaan ini.

Mereka duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan pelajar bukan Melayu. Keputusan peperiksaan TOEFL dan SAT ini yang diseragamkan untuk semua pelajar yang mengambil peperiksaan ini pada waktu yang sama di seluruh dunia menunjukkan tidak ada kepincangan dalam kebolehan anak Melayu. Malah apa yang didapati adalah sebaliknya. Dari kumpulan pelajar SPM tahun lepas yang akan ke Amerika pada Ogos ini, seorang pelajar Melayu telah mendapat markah penuh untuk peperiksaan TOEFL dan penulis karangan Bahasa Inggeris terbaik dalam kumpulan ini juga adalah anak Melayu. Untuk peperiksaan Matematik Tambahan SAT dan juga Ilmu Fizik SAT, beberapa pelajar Melayu telah mendapat keputusan maksimum iaitu 800 dari 800.

Ramai juga yang mendapat 750 ke atas untuk ujian ini. Ini dengan sendirinya meletakkan mereka di tahap yang tertinggi di antara pelajar di dunia. Pencapaian seperti ini di kalangan pelajar Melayu bukanlah luar biasa. Saya juga dapati bahawa pelajar yang mendapat keputusan yang paling cemerlang untuk SPM tidak semestinya pelajar terbaik dalam program ini.

Dari beberapa kumpulan pelajar yang telah mengikuti kursus ATU di universiti itu, tidak pernah ada mana-mana pelajar yang tidak dapat ditempatkan di universiti-universiti terkemuka di Amerika.

Apa yang lebih membanggakan saya adalah sikap semua pelajar dalam program ini. Pensyarah-pensyarah yang berbilang kaum yang mengajar program ini selalu berkata: ``Kami kagum dan terpegun dengan sifat persaingan dan keupayaan pelajar-pelajar ini.'' Malah pensyarah-pensyarah sambilan ini yang mengajar di universiti-universiti awam yang berdekatan pernah mengatakan berkali-kali bahawa mereka tidak pernah melihat pelajar-pelajar yang bersifat gigih dan bermotivasi seperti pelajar-pelajar ini. Malah pelajar-pelajar ini dikatakan sentiasa ``mengganggu'' dan mendesak pensyarah-pensyarah mereka untuk memberikan tugasan yang lebih dan sentiasa bertungkus-lumus memperbaiki prestasi mereka dan mengatasi kelemahan dan kekurangan mereka. - DR. AJMAL M. RAZAK, Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC).

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum