2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 31 Mei 2001

Aliran agama jejaskan bidang sains

MENGIKUT statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, pada tahun 1997 terdapat 27,658 orang pelajar yang memasuki sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA), iaitu sekolah yang dianjurkan oleh kementerian tersebut.

Bilangan ini bertambah menjadi 29,898 pada tahun 1998 dan 31,388 pada tahun 1999. Bilangan ini tentulah menjadi berlipat ganda sekiranya terdapat lebih banyak bilangan SMKA yang ditubuhkan kerana permintaan yang diterima untuk memasuki sekolah aliran tersebut bertambah dengan ketaranya dari tahun ke tahun.

Ibu bapa pelajar Melayu pada masa yang terakhir-akhir ini nampaknya sedang berlumba-lumba untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama disebabkan oleh tanggungjawab mereka yang menjadi semakin berat dalam mempastikan mutu pendidikan agama dan moral yang tinggi bagi anak-anak mereka dalam menghadapi cabaran semasa yang mengancam perangai dan perilaku anak-anak muda sekarang.

Maka para ibu bapa merasakan bahawa sekolah-sekolah yang menawarkan pendidikan agama akan sekurang-kurangnya dapat mengambil alih sebahagian dari beban dan tanggungjawab mereka.

Didorong oleh permintaan yang banyak inilah maka pihak swasta juga mendapat galakan yang besar untuk membuka sekolah-sekolah agama swasta atau memberikan penekanan yang tinggi terhadap pendidikan agama di samping pendidikan umum bagi seorang pelajar itu mengambil peperiksaan rasmi anjuran Kementerian Pendidikan.

Di samping itu bilangan pelajar di sekolah-sekolah menengah agama rakyat (SMAR) dan sekolah menengah agama negeri (SMAN) juga telah bertambah dari tahun ke tahun.

SMAR mempunyai pelajar kira-kira 62,000 pada tahun 1998 dan meningkat kepada 70,000 pada tahun 1999. SMAN pula mempunyai pelajar seramai 63,000 pada tahun 1998 dan bilangan ini bertambah menjadi lebih daripada 62,000 pada tahun 1999.

Pertambahan bilangan pelajar di sekolah-sekolah menengah aliran agama ini iaitu dari kira-kira puluhan ribu pada tahun-tahun lapan puluhan sehingga ratusan ribu pada tahun-tahun sembilan puluhan menunjukkan minat yang tinggi, bersama-sama dengan harapan yang tinggi pula, terhadap sistem pendidikan yang berteraskan agama.

Bilangan pelajar yang memasuki SMKA sahaja telah bertambah dengan cepat sehingga mencecah bilangan lebih dari 31 ribu pada tahun 1999. Angka ini sekiranya dijumlahkan dengan angka para pelajar di SMAR dan SMAN maka jumlah besarnya sudah melebihi 162,000 pada tahun yang sama.

Statistik ini belum lagi mengambil kira bilangan para pelajar yang sedang belajar di sekolah-sekolah agama swasta dan sekolah-sekolah yang ditubuhkan oleh orang-orang perseorangan atau kumpulan-kumpulan tertentu yang tidak diketahui bilangannya. Sekiranya bilangan ini juga diambil kira maka jumlah pelajar-pelajar di dalam aliran agama ini mungkin telah mencecah ke angka 300,000 keseluruhannya pada masa ini.

Mungkin tidak banyak masalah yang dihadapi oleh SMKA dalam mencapai matlamat untuk menyediakan calon-calon untuk memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) kerana sekolah jenis ini mempunyai kelengkapan dan kemudahan yang agak baik, serta bilangan guru terlatih yang mencukupi.

Pelajar-pelajar lepasan sekolah ini juga pada umumnya dapat mengikuti berbagai-bagai aliran di peringkat diploma dan ijazah termasuk bidang sains.

Tetapi yang mungkin menjadi masalah dalam hal ini ialah pelajar-pelajar sekolah menengah rakyat atau negeri kerana kebanyakan sekolah jenis ini tidak mempunyai kelengkapan yang cukup atau guru-guru yang terlatih. Sekolah-sekolah jenis ini mungkin tidak mempunyai makmal sains yang mencukupi untuk membuka kelas aliran sains, atau tidak mempunyai guru yang berkelulusan dalam bidang tersebut. Akhirnya pelajar lepasan sekolah ini akan mengambil aliran sastera atau mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk melayakkan diri mereka memasuki aliran pengajian Islam di universiti tempatan, di Mesir, Jordan dan sebagainya.

Masalah ini sebenarnya bukanlah merupakan masalah baru. Malahan ia telah berlarutan sejak belasan atau puluhan tahun tanpa penyelesaian. Mungkin pada sesetengah orang ia bukanlah merupakan masalah kerana sebagai orang Islam, kita memang memerlukan banyak kelulusan agama.

Konsep kelulusan agama pula pada pandangan mereka ialah kelulusan dalam bidang pengajian agama tradisional iaitu yang akan berkhidmat di dalam bidang pengajaran agama, pejabat-pejabat agama, masjid, surau dan sebagainya.

Ditinjau secara sepintas lalu, hujah dan pandangan ini amatlah tepat. Namun begitu, satu perkara yang perlu dikaji dan diteliti sekiranya kita benar-benar prihatin dengan masa hadapan umat Islam di negara kita ini, apakah dengan meneruskan tradisi pengajian agama dalam bentuk ini kita akan dapat memperseimbangkan jumlah pelajar-pelajar kita di dalam kepelbagaian bidang pendidikan yang sesuai untuk mencipta satu umat yang kuat dan berwibawa bagi mencapai matlamat kebahagiaan dunia dan akhirat?

Dalam menghadapi masalah ini kita seharusnya bersedia untuk mengubah cara berfikir kita dalam menganalisis isu ini. Kalau diandaikan bahawa separuh sahaja pelajar aliran agama yang memasuki aliran agama tradisional di peringkat diploma atau ijazah, bererti kira-kira 150,000 pelajar kita pada setiap tahun yang akan memasuki aliran tersebut. Yang bakinya pula mungkin kebanyakannya akan memasuki aliran sastera dan kemanusiaan, maka jumlah yang memasuki bidang profesional dan sains tentulah amat kecil. Hal ini telahpun berlaku sejak sekian lama dan akan terus menerus berlaku yang akan melibatkan bilangan pelajar yang semakin ramai dan kita akan menyaksikan ramai pelajar yang berpotensi tidak mempunyai taburan yang seimbang di institut pengajian tinggi (IPT) dari segi kursus-kursusnya.

Selagi kita tidak menyedari hakikat dan konsep pendidikan Islam yang sebenarnya dan selagi kita enggan mengubah dasar, struktur dan sistem pendidikan agama tradisional itu, maka selama itulah kita akan menghadapi persoalan yang menjadi tajuk tulisan ini iaitu ke manakah akhirnya pelajar-pelajar aliran agama akan pergi ketika memilih bidang pengajian tingginya atau dalam memilih kerjayanya? Malah bagaimanakah agaknya nasib ratusan ribu pelajar tersebut dalam perjuangan dan survival umat dan bangsanya kelak?

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum