2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 31 Mei 2001

Sistem pengganti untuk dunia

ENAM bulan dulu, di ruangan ini, saya menyebut tentang masa Amerika Syarikat (AS) menangis sudah sampai. Dengan perkataan lain, sistem ekonomi-politik, liberal Inggeris Amerika sudah runtuh, tidak boleh diselamatkan lagi dan perlu diganti dengan satu sistem baru. Penggantian sistem ini perlu untuk menyelamatkan dunia dan tamadun. Sekarang kita akan menulis tentang perkara ini.

Harus diingat bahawa proses keruntuhan ini tidak berlaku dalam sehari, sebulan ataupun setahun. Ia bermula kira-kira tiga puluh tahun lalu dengan kaum oligarki kewangan London-New York memaksakan dasar yang dipanggil ``masyarakat pascaindustri''.

Dasar ini menutup pembuatan, pertanian, dan prasarana dan membangunkan perkhidmatan-perkhidmatan yang tidak produktif dan satu gelombang spekulasi yang besar. Pada 1971 dasar ini sampai ke satu titik persimpangan yang genting apabila Presiden Richard Nixon melepaskan ikatan dolar AS daripada piawaian simpanan emas. Tindakan ini memisahkan aliran kewangan dari aliran penghasilan dan meletakkan asas bagi membangunkan pasaran spekulasi dolar AS dan mata wang euro.

Dalam Oktober, 1979, di bawah pentadbiran Jimmy Carter, Pengerusi Lembaga Simpanan Persekutuan, Paual Volcker, memulakan satu dasar yang dipanggilnya ``peruntukan ekonomi secara terkawal'', satu bentuk masyarakat pasca-industri yang perdagangan dipaksakan naik hingga 21.5 peratus dan dikekalkan pada dua angka selama lima tahun hingga akhir 1984. Akibatnya, asas industri pembuatan AS runtuh.

Dalam dekad 1990-an penumpuan dasar masyarakat pascaindustri ialah untuk meluaskan proses globalisasi dengan industri pembuatan disalurkan keluar ke sesetengah negara yang paling miskin. Barang-barang dihasilkan di tempat pekerja kerap kali kanak-kanak dibayar dari 10 sen hingga 2 dolar sejam. NAFTA atau Perjanjian Perladangan Bebas Amerika Utara tahun 1993, dengan sistem buruh hamba maquiladora, dibuat dengan tujuan ini.

Inilah cerita keruntuhan sistem ekonomi-politik neo-liberal Inggeris AS yang mereka tangisi sekarang.

Oleh sebab proses keruntuhan ini mengambil masa tiga puluh tahun, maka demikian juga proses pemulihannya. Kerap kali kita dengar sesetengah pemimpin kita bercakap tentang nilai Barat dan nilai Timur seolah-olah mereka bertentangan, atau seolah-olah Barat dan Timur itu dua masyarakat sealiran, dengan masyarakat Timur membolot nilai-nilai baik dan Barat membolot nilai-nilai jahat. Ini tidak tepat.

Sepertimana di Timur, begitu juga di Barat, dua aliran baik dan jahat sentiasa bertembung untuk menguasai masyarakat.

Di AS sejak akhir dekad 1960-an dan awal dekad 1970-an telah muncul satu kumpulan yang akhirnya menjadi sebuah pertubuhan politik dan falsafah antarabangsa yang bertujuan untuk mewujud dan mengekalkan sebuah masyarakat yang baik di muka bumi. Mengikut kata-kata pemimpin mereka, Lyndon H.LaRouche, pada 2 Ogos, 1982:

``Kami mewakili suatu matlamat moral yang lebih berat, suatu rancangan agung dalam tradisi St. Augustine. Charlemagne, Dante Alhieri, Richelien, Mazarin, Liebniz, Franklin. Schiller, Humblult dan LaFayette. Tugas kami yang bersejarah memang untuk mewujudkan di benua ini, satu prinsip bermasyarakat di kalangan republik-republik yang berdaulat untuk menolak imbangan kuasa di dunia melawan kejahatan oligarki yang diwakili oleh ``keluarga-keluarga'' oligarki Venice dan Genoa.

``Sistem ekonomi-politik Amerika bukan semata-mata satu alternatif kepada sistem Inggeris Adam Smith dan rakan-rakannya yang jahat itu. Sistem Amerika ini satu rancangan institusi-institusi ekonomi masyarakat yang diperoleh dari pengetahuan apakah ciri-ciri amalan ekonomi bangsa-bangsa yang boleh mencapai kebaikan yang lebih tinggi dan berterusan, satu rancangan untuk menjaminkan bahawa kebaikan itu ditingkatkan dan institusi-institusi parasit sewa-tapak dan riba oli=garki itu dibatalkan untuk beranak dan membiak dan menakluki bumi dan melaksanakan itu dengan menggunakan kuasa-kuasa kreatif yang selaras dengan kemampuan ilmiah dalam diri individu manusia.''

Kalau mengikut ajaran Islam, persis inilah yang diperintahkan oleh Tuhan untuk diperjuangkan oleh orang mukmin. (Lihat Quran, 9:111).

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum