2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 05 Jun 2001

Tingkatkan usaha kesedaran alam sekitar-Lidah Pengarang

KESEDARAN mengenai kepentingan alam sekitar masa ini adalah luas dan mendalam berbanding dengan 10 tahun lalu. Kemajuan besar dalam hal ini mendatangkan banyak perubahan dalam pelbagai kegiatan manusia yang memberi sumbangan kepada kebaikan alam sekitar.

Namun begitu, isu-isu alam sekitar mempunyai pelbagai bentuk dan banyak perkara baru muncul sementara yang lama masih belum dapat ditangani.

Dalam kedudukan alam sekitar sedemikian rupa, tidak ada jaminan bahawa bumi akan terselamat daripada bencana terutama yang diakibatkan oleh perbuatan manusia.

Justeru, Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut hari ini merupakan peluang bagi semua pihak untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu-isu alam sekitar.

Ini kerana soal alam sekitar tidak boleh ditangani secara sendirian oleh mana-mana bahagian masyarakat, sebaliknya ia memerlukan kerjasama yang terselaras oleh semua pihak dalam menanganinya.

Malah ia juga tidak dapat dilakukan oleh mana-mana negara tertentu tetapi memerlukan pembabitan semua negara di dunia kerana kita semua berkongsi satu kediaman iaitu planet bumi.

Dalam sesebuah negara pula, ia memerlukan kesedaran bukan saja oleh aktivis alam sekitar tetapi juga kerajaan dan rakyat keseluruhannya.

Tanpa kesedaran tentang kepentingan alam sekitar, sudah tentu ada bahagian dalam masyarakat yang memandang sambil lewa terhadap masalah-masalah alam sekitar.

Lebih buruk lagi adalah wujudnya golongan yang berpengetahuan tentang alam sekitar tetapi tidak sedar terhadap kepentingannya. Sebaliknya mereka lebih mengutamakan kepentingan peribadi, terutamanya dalam bentuk keuntungan perniagaan.

Tanpa kesedaran alam sekitar, maka akan wujud usaha menghalang sebarang perjuangan memperbaiki atau menangani alam sekitar, lebih-lebih lagi apabila keutungan mereka terjejas.

Memang akan berlaku perbezaan fahaman terhadap sesuatu isu alam sekitar. perkara ini lumrah berlaku lebih-lebih lagi tidak ada sesiapa yang tahu keseluruhan mengenai alam sekitar. Pengetahuan yang kita ada tentang alam sekitar berpunca daripada data saintifik yang tafsirannya sudah tentu berbeza di antara satu sama lain.

Namun begitu, perbezaan tafsiran tentang data saintifik mengenai alam sekitar tidak harus menjadi penghalang kepada sebarang usaha menyelesaikan masalah-masalah alam sekitar.

Sememangnya kita menolak sebarang bentuk kegiatan pelampau alam sekitar yang dianjurkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu di Barat, tetapi keprihatinan tulen terhadap masalah yang dihadapi bumi harus dihargai secara ikhlas.

Dalam pada itu kita juga menolak sikap hipokrisi kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang mengutamakan kepentingan perniagaan nasional mereka daripada nasib bumi apabila Washington membatalkan sokongan kepada Protokol Kyoto.

Namun begitu, kita harus menghargai perbezaan pandangan kerajaan-kerajaan di seluruh dunia tentang cara mana menangani masalah-masalah alam sekitar.

Tetapi apa yang jelas ialah planet bumi hanya sebuah yang perlu kita kongsi bukan saja sesama manusia tetapi juga dengan haiwan dan tumbuhan daripada pelbagai spesies. Jika tidak menyelesaikan masalah alam sekitar dengan sebaiknya, mungkin diri kita masih terselamat tetapi nasib generasi manusia akan datang akan lebih parah dan gagal untuk menyambung keturunan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum