2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 05 Jun 2001

Keputusan penting jadi bahan kajian

SEPERTI yang telah diduga, saya menerima reaksi yang pelbagai daripada sahabat di kalangan peguam di Kuala Lumpur dan orang awam di sekitar Alor Setar yang sempat saya temu bual berhubung keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus, dalam kes permohonan habeas corpus Abdul Ghani Haroon & seorang lagi lwn. Ketua Polis Negara (Permohonan Jenayah No. 44-9-2001 dan 44-10-2001) baru-baru ini.

Ada yang terperanjat kerana tidak menyangka permohonan jenayah dua tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu akan berjaya, dan ada pula yang tidak kerana mereka telah meramalkan sejak awal lagi bahawa permohonan mereka akan diluluskan oleh hakim. Ada yang menyetujui semua alasan yang diberi oleh hakim bicara, ada pula yang menerima sebahagiannya tetapi tidak setuju dengan selebihnya.

Akhbar arus utama tempatan juga memberi perhatian yang berbeza kepada keputusan hakim ini. Ada akhbar yang memuatkan berita kes itu di bahagian dalamnya sahaja, sekali gus memberi gambaran kepada pembacanya seolah-olahnya bahawa kes ini tidak begitu penting.

Pada hemat saya, laporan terbaik mengenai keputusan hakim bicara diberi oleh Utusan Malaysia yang telah memilih untuk memberi fokus kepada isu-isu penting kes ini sebagai berita utama muka depannya (lihat Utusan Malaysia, Khamis 31 Mei 2001 di bawah tajuk 2 aktivis reformasi dibebas).

Seperti yang kita maklum, notis rayuan terhadap keputusan hakim bicara ini telah pun difailkan oleh KPN dan pastinya tidak lama lagi kes ini akan didengar sekali lagi di Mahkamah Rayuan, biasanya di hadapan panel tiga orang hakim rayuan. Di sinilah nanti kesemua alasan yang disebutkan oleh hakim bicara bagi meluluskan permohonan habeas corpus dan membebaskan dua aktivis reformasi itu akan dikaji dan disemak semula secara terperinci oleh panel hakim itu.

Bagi anak-anak muda kita yang masih menuntut di fakulti undang-undang universiti tempatan, pastinya keputusan hakim Hishamudin ini akan terus dikaji dari pelbagai aspek. Satu manfaat yang paling nyata bagi golongan pelajar dalam kes ini ialah rujukan yang dibuat oleh hakim bicara kepada beberapa kes terdahulu, antaranya keputusan Ketua Hakim Negara Suffian dalam kes Ooi Ah Phua lwn. Officer-in-Charge Criminal Investigation, Kedah/Perlis [1975] 2 MLJ 198 dan Hakim Persekutuan Raja Azlan Shah (pada ketika itu) dalam kes Hashim bin Saud lwn. Yahaya bin Hashim & Anor. [1977] 2 MLJ 116.

Alasan penghakiman
Dalam penghakimannya yang ditulis dalam bahasa Inggeris setebal 28 halaman dan kini boleh dibaca secara percuma oleh setiap warganegara ini di Internet di satu laman web jurnal undang-undang tempatan, hakim bicara menggariskan enam alasan mengapa beliau meluluskan permohonan habeas corpus dua aktivis reformasi itu dan mengisytiharkan tahanan mereka di bawah ISA sebagai tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Perlu diingat bahawa sekalipun kita mungkin tidak setuju dengan kesemua enam alasan yang diberi oleh hakim bicara itu, sekalipun kita menerima hanya satu atau dua alasan sahaja, satu atau dua alasan itu sudah mencukupi untuk menggugat kesahihan perintah tahanan tersebut.

Enam alasan yang disebutkan oleh hakim bicara itu adalah seperti berikut -

(1) Perintah tahanan itu tidak mematuhi s. 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA);

(2) Perintah tahanan itu tidak mematuhi kehendak Perkara 5(3) Perlembagaan Pesekutuan;

(3) Perintah tahanan itu tidak mematuhi s. 73(3)(a) dan (b);

(4) Keputusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melanjutkan tempoh tahanan dibuat terlalu awal dan secara mala fide (niat jahat);

(5) Menafikan hak lawatan kepada ahli keluarga; dan

(6) Menafikan hak lawatan kepada peguam.

Menghurai kedudukan undang-undang
Di peringkat awal penghakimannya, hakim bicara telah memetik beberapa potong ayat dari satu kes yang masyhur, iaitu Liversidge v. Anderson [ 1942] AC 206, di mana Lord Atkin menegaskan bahawa seorang hakim tidak sepatutnya berjiwa `lebih eksekutif dari badan eksekutif'.

Sebaliknya hakim perlu tegas melindungi rakyat dari segala usaha badan eksekutif untuk menggugat atau menghakis kebebasan asasi rakyat.

Saya anggap motif hakim Hishamudin, apabila memetik kata-kata Lord Atkin ini, ialah untuk memberi ingatan kepada diri beliau sendiri dan kepada para hakim lain.

Menghuraikan s. 73(3), hakim bicara menyatakan bahawa seksyen ini memberi kuasa kepada pihak polis untuk menahan seorang itu bagi tempoh maksimum 60 hari, tetapi ia bukan satu kuasa yang mutlak. Sekiranya bagi maksud menjalankan suatu siasatan, pihak polis perlu menahan seorang itu selama 20 hari, tahanan boleh dibuat untuk 20 hari sahaja. Di akhir tempoh tahanan 20 hari siasatan itu, polis hendaklah mengambil salah satu tindakan berikut (a) membebaskan tahanan itu;

(b) Membawanya ke mahkamah supaya dihadapkan dengan apa-apa pertuduhan tertentu; atau

(c) Terus ditahan di bawah perintah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri (di bawah Seksyen 8 ISA).

Mengulas dasar dan amalan pihak polis untuk tidak membenarkan tahanan dilawat oleh ahli keluarga mereka selama lebih 40 hari semenjak mereka ditahan walaupun satu surat permohonan rasmi telah dikemukakan kepada Ketua Polis Negara (KPN), yang mana surat itu belum terjawab, hakim berkata perbuatan menafikan lawatan bagi satu tempoh yang begitu panjang sekali adalah sesuatu yang kejam, tidak berperikemanusiaan dan menindas, bukan hanya kepada mereka yang ditahan tetapi juga kepada ahli keluarga mereka masing-masing.

Menyentuh alasan pihak polis bahawa lawatan ahli keluarga tidak dibenarkan kerana ia akan menjejaskan siasatan polis yang sedang berjalan, hakim bicara menyatakan bahawa alasan itu tidak dapat diterima sama sekali. Kata hakim, permohonan melawat tahanan bukan dibuat sebaik sahaja tangkapan dibuat.

Lagipun, apakah salahnya lawatan bagi satu tempoh masa yang singkat? Pastinya lawatan sedemikian itu oleh ahli keluarga boleh diawasi atau dipantau oleh pihak polis sepanjang masa.

Hakim bicara menegaskan bahawa apa juga undang-undang yang melibatkan atau menyentuh kebebasan diri perlu dilaksanakan dengan berwaspada, bukan membabi buta (The law, especially a law that affects fundamental rights, should not be enforced blindly). Undang-undang seperti itu hendaklah ditafsir dan dilaksanakan dengan penuh bertimbang rasa seberapa yang boleh (It must be interpreted and carried out as humanely as possible).

Merujuk kepada hujah Peguam Kanan Persekutuan, Abdul Rashid Sudin (bagi pihak KPN) bahawa di bawah undang-undang pihak polis ada hak menafikan lawatan ahli keluarga selagi siasatan belum selesai, hakim bicara menolaknya sambil berkata tidak ada peruntukan undang-undang sedemikian itu dalam ISA.

Lagipun, hakim tidak nampak ada sebarang justifikasi mengapa larangan membuat lawatan itu mengambil masa begitu lama sekali.

Lawatan peguam
Alasan terakhir yang disebutkan hakim bicara bagi mengisytiharkan tahanan itu tidak sah ialah tindakan polis menafikan hak lawatan peguam. Kata hakim bicara, perintah tahanan ini sesuatu yang berniat jahat (mala fide) kerana pihak polis dengan sengaja dan tanpa alasan yang munasabah (deliberately and unreasonably) melarang peguam melawat anak guam mereka bagi satu tempoh yang panjang. Perbuatan pihak polis itu nyata melanggar Perkara 5 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Sambil merujuk kepada keputusan terdahulu oleh Ketua Hakim Negara Suffian dalam kes Ooi Ah Phua dan oleh Hakim Persekutuan Raja Azlan Shah pada ketika itu dalam kes Hashim bin Saud, hakim Hishamudin menyatakan bahawa penafian hak lawatan peguam ini merupakan satu pelanggaran besar (gross violation) hak asasi rakyat yang dijamin di bawah Perlembagaan dan sekali gus telah memudaratkan (menjejaskan) pemohon membuat permohonan habeas corpus ini.

Kesimpulannya, kata hakim bicara itu lagi, penafian hak lawatan peguam dalam kes ini telah menyebabkan ketidakadilan berlaku.

Dalam satu ayat yang jarang sekali kita dengar sebelum ini dan pastinya mengejutkan banyak pihak, hakim Hishamudin mengingatkan pegawai-pegawai polis yang terlibat dalam kes tahanan ini supaya segera sedar bahawa undang-undang yang paling utama di negara kita ini adalah Perlembagaan Persekutuan, bukannya ISA (Those police officers responsible for the detention of the applicants must wake up to the fact that the supreme law of this country is the constitution and not the ISA).

Hendaknya apa yang dihuraikan oleh hakim bicara dalam kes ini sebagai ratio decidendi keputusannya akan diambil iktibar dan dijadikan pengajaran oleh PDRM, manakala segala teguran dan nasihat tambahan yang telah diberi dalam bentuk obiter dicta akan diterima dengan minda terbuka dan berlapang dada.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum