2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 06 Jun 2001

SEGERAKAN STRUKTUR BARU MAHKAMAH SYARIAH - Lidah Pengarang

HAMPIR setiap tahun, umat Islam negara ini membaca dan mendengar rungutan kelewatan masalah kes di mahkamah syariah seluruh negara.

Kesan daripada itu, pandangan terhadap kredibiliti mahkamah syariah menjadi agak negatif apabila jumlah kes yang tertangguh meningkat, ditambah pula dengan timbulnya rasa tidak puas hati di kalangan mereka yang mengharapkan proses keadilan dapat dilaksanakan dengan cepat dan tegas daripada institusi ini.

Kelmarin, bersempena sambutan Maulidur Rasul, suatu harapan diberikan bahawa masalah kes tertunggak di mahkamah syariah dijangka dapat diatasi apabila struktur baru institusi kehakiman Islam itu dilaksanakan.

Kita mengalu-alukan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab menjaga portfolio agama Islam, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin, bahawa menerusi struktur baru itu, jumlah hakim syarie akan ditambah dan bangunan-bangunan mahkamah yang baru juga akan dibina termasuk di daerah.

Umat Islam negara ini terutama yang terbabit dengan kes yang tertangguh sejak sekian lama mengharapkan pihak berwajib khususnya mahkamah syariah tidak lagi memberi alasan kekurangan hakim.

Bagaimanapun kita juga tertanya-tanya kenyataan menteri berkenaan bahawa pihaknya memerlukan masa untuk membuat kajian dan permohonan kepada kerajaan.

Setelah banyak isu kes tertunggak yang diketengahkan beberapa tahun lalu, bahkan setelah begitu banyak seminar, bengkel dan forum diadakan bagi mencari jalan menyelesaikan masalah tersebut, rasanya sekarang bukan lagi masa untuk membuat kajian.

Jika kajian perlu juga dibuat, janganlah ia mengambil masa yang lama hingga bertahun-tahun lamanya. Banyak pihak yang terbabit dengan kes perceraian, tuntutan nafkah, pengagihan harta dan sebagainya tidak mahu terus menunggu-nunggu proses pengadilan mereka.

Soal bangunan mahkamah bukanlah masalah utama. Isu pokok ialah kekurangan hakim syarie untuk mengadili perbicaraan kes. Oleh itu pihak yang terbabit dengan soal perjawatan bagi menambah bilangan hakim sebenarnya tidak memerlukan kajian terperinci. Kita bimbang, sekiranya kajian terus dijalankan lagi, masalah kes tertunggak akan terus bertambah.

Soal masalah kes tertunggak di mahkamah syariah menjadi ketara apabila proses melaksanakan peruntukan enakmen tertentu tidak mendapat sokongan yang sewajarnya daripada pihak yang berkaitan.

Oleh itu imej mahkamah syariah dikaitkan dengan ketidakcekapan.

Mahkamah syariah sebagai institusi yang memayungi pelaksanaan peruntukan enakmen undang-undang syariah akan terkena tempias daripada kontroversi sebegini.

Dalam menyelesaikan isu ini, pihak kerajaan harus menyeragamkan apa jua bentuk pelaksanaan enakmen undang-undang di peringkat Jabatan-jabatan Agama Islam Negeri, agar kedudukan mahkamah syariah tidak disamakan dengan ketidakcekapan pelaksanaan peruntukan enakmen undang-undang syariah di negara ini.

Kita yakin bahawa proses meningkatkan status mahkamah syariah mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak kerajaan.

Mahkamah syariah, seperti juga sistem pentadbiran mahkamah sivil, perlu diberi kedudukan yang lebih baik agar masyarakat tidak memandangnya sebagai institusi kelas kedua.

Pada hakikatnya, peranan mahkamah syariah sebagai institusi tempat rujukan masyarakat masih punya kekuatan yang dapat dimanfaatkan dan diperbaiki.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum