KOLUMNIS

Utusan Malaysia 07 April 2001

Jihad penyokong Gus Dur terseleweng

Daripada: ZULKIFLEE BAKAR
SERUAN jihad kedengaran lagi di Indonesia, apabila penyokong-penyokong fanatik Abdurrahman Wahid atau Gus Dur menubuhkan skuad berani mati bagi mempertahankan kedudukan Presiden Indonesia itu.

Setakat ini, sudah 20,000 orang penyokong Gus Dur sudah mendaftar untuk menyertai skuad berkenaan dan mereka dikatakan akan bertolak ke Jakarta beberapa hari lagi bagi menyatakan sokongan kepada Gus Dur dan mempertahankan kedudukan presiden itu sehingga tahun 2004.

Kononnya sepertimana didakwa oleh Penyelaras Barisan Pembela Kebenaran (BPK), Wiro Sugiman, kesemua mereka bersedia untuk mati bagi memastikan sebarang usaha untuk menyingkirkan Gus Dur tidak akan berhasil.

``Kita telah bersumpah apakah memastikan Gus Dur akan terus menjadi Presiden Indonesia sehingga tahun 2004 dan sesiapa yang cuba menjatuhkan beliau layak diperangi,'' kata Wiro.

Demikianlah hebatnya keangkuhan penyokong-penyokong Gus Dur yang sebelum ini sudah acap kali melakukan tindakan ganas sebagai satu cara untuk memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak menggugat kedudukan pemimpin idola mereka.

Sebelum ini, ribuan penyokong Gus Dur juga telah `menawan' pelabuhan Banyuwangi atau memusnahkan pejabat Parti Golkar di Surabaya kerana menganggap parti itu sebagai dalang utama usaha menjatuhkan Gus Dur.

Mereka juga cuba menunjukkan bahawa mereka paling berkuasa apabila `menduduki' bangunan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) baru-baru ini, apabila dewan berkenaan menyatakan akan mengeluarkan memorandum II terhadap Gus Dur kerana terlibat dalam dua skandal kewangan.

Penyokong-penyokong Gus Dur ini mulai `naik minyak' apabila ulama-ulama mereka yang bergabung dalam Nahdlathul Ulama (NU) sering menyatakan bahawa sesiapa yang menentang Gus Dur telah melakukan penderhakaan dan layak diperangi.

Malah ulama-ulama NU juga dengan sewenang-wenangnya memberi fatwa bahawa sesiapa yang membela Gus Dur akan masuk ke syurga.

``Semua itu omong kosong, sama ada seorang itu masuk syurga atau neraka ia adalah rahsia Allah, tiada sesiapa yang mengetahuinya,'' kata Ketua Majlis Ulama Indonesia (MU), Prof. Dr. Umar Shihab.

Oleh sebab itulah, tindakan penyokong-penyokong Gus Dur yang menubuhkan `tentera jihad' dengan tujuan bagi mempertahankan Presiden Indonesia itu mendapat tentangan daripada pelbagai pihak.

MUI menganggap tindakan penyokong-penyokong Gus Dur itu hanya menunjukkan kumpulan berkenaan sebagai kelompok yang tidak tahu berpolitik.

``Saya tidak nampak sebarang penderhakaan terhadap Gus Dur sehingga memungkinkan penyokong-penyokongnya mengisytiharkan jihad,'' kata Prof. Dr. Umar.

Selain itu, beberapa pemimpin Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) yang merupakan penyokong kuat Gus Dur juga menentang keras seruan jihad tersebut.

Ahli Parlimen PKB, Cholil Bisri secara tegas menyifatkan, langkah penyokong Gus Dur itu tidak kena pada tempatnya.

``Kalau benar-benar mereka mahu berjihad, kenapa tidak mengisytiharkan jihad terhadap perpecahan bangsa dan kemiskinan yang kini sedang melanda Indonesia,'' tegasnya. Malah anak saudara kepada Gus Dur yang juga Timbalan Ketua DPR, Muhaimin Iskandar sendiri tidak setuju dengan tindakan penyokong Gus Dur di Jawa Timur itu. Tindakan mereka hanya akan mengundang pertumpahan darah,'' katanya.

Berikutan suasana semakin panas itulah, ulama-ulama NU yang sebelum ini dikatakan akan mengeluarkan kenyataan bagi mengisytiharkan sesiapa yang menentang Gus Dur melakukan penderhakaan telah membatalkan hasrat tersebut.

Namun begitu setakat ini tidak ada ulama NU yang mengeluarkan kenyataan yang bertujuan meredakan sikap fanatik penyokong Gus Dur tersebut.

Mereka hanya memerhati sahaja perkembangan `penubuhan' skuad jihad dan secara diam-diam mengakui bahawa itu cara terbaik bagi `mengajar' puak yang ingin menjatuhkan Gus Dur.

Manakala bagi Gus Dur sendiri, walaupun beliau dikatakan menentang penubuhan skuad jihad berkenaan namun secara tersembunyi, pada hakikatnya beliau gembira dengan perkembangan itu.

Ini sekali gus akan membuktikan kata-katanya sebelum ini bahawa jika beliau diturunkan, Indonesia akan dilanda huru-hara kerana penyokong-penyokongnya tidak akan dapat menerima keadaan itu.

``Anda hanya melihat penunjuk perasaan yang menentang saya di Jakarta, sedangkan penunjuk perasaan yang menyokong saya jauh lebih banyak daripada itu,'' kata Gus Dur dalam wawancara dengan stesen televisyen terkemuka, CNN.

Justeru, kenyataan Gus Dur bahawa beliau menentang seruan jihad bagi mempertahankan beliau itu hanyalah `hiasan bibir' sahaja.

Apatah lagi sebelum ini Gus Dur juga pernah memaparkan `sandiwara' yang sama ketika peristiwa penyokongnya memusnahkan pejabat Parti Golkar di Surabaya.

Ketika di Jakarta, Gus Dur mengutuk perbuatan tersebut dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab tetapi apabila bertemu dengan penyokongnya di Pasuruan, Jawa Timur, Gus Dur berkata, Parti Golkar layak menerima pembalasan berkenaan dan harus mengetahui kenapa mereka dibenci oleh rakyat.

Apabila pelbagai pihak mengecam `sandiwaranya' itu, Gus Dur berkata, mereka yang membuat kecaman tersebut tidak memahami kedudukan beliau.

Begitulah dalam kes jihad ini, tidak akan ada sesiapa pun yang akan terkejut jika selepas ini Gus Dur akan membuat kenyataan menyokong tindakan berkenaan.

``Gus Dur harus membuat kenyataan yang konsisten bagi menahan penyokongnya daripada bertindak ganas,'' kata tokoh ulama terkenal Indonesia, Zainuddin MZ.

Presiden yang sudah berkuasa sejak 20 bulan lalu itu, sudah tentu bangga melihat ketaksuban penyokong-penyokongnya yang sekali gus akan memberi isyarat kepada musuh-musuh politik Gus Dur supaya berhati-hati dalam tindakan mereka.

Namun apa juga keadaannya,beginilah suasana politik Indonesia sekarang. Penyokong-penyokong seseorang tokoh menjadi semakin fanatik dan sentiasa sahaja menganggap tokoh idola mereka itu tidak bersalah.

Lebih buruk lagi mereka akan menganggap apa juga tuduhan yang dikenakan ke atas pemimpin mereka (walaupun ia benar) sebagai satu fitnah.

Justeru mereka mula menggunakan pendekatan politik ancaman seperti bersedia untuk mati bagi mempertahankan pemimpin mereka itu, walaupun hakikat istilah jihad tersebut diwujudkan melalui tafsiran sempit mereka.

Sebelum ini, pada tahun 1999, penyokong-penyokong fanatik Megawati Sukarnoputri yang kini menjadi Naib Presiden juga membuat tindakan yang hampir sama apabila mengutip tanda tangan berdarah sebagai tanda sokongan kepada anak bekas Presiden pertama Indonesia tersebut.

Darah berkenaan diambil daripada ibu jari dan dicapkan di atas kain-kain putih sebagai tanda bahawa mereka rela mati bagi mempertahan dan memperjuangkan Megawati untuk menjadi Presiden ketika itu.

Kini aliran dan fahaman politik sempit sedemikian berterusan di Indonesia dan kali ini ia melibatkan jumlah penyokong yang lebih ramai.

Tetapi apa yang dikesalkan sifat `fanatik gila' ini dilakukan oleh kelompok yang mengaku dirinya Islam dan dengan sewenang-wenangnya memperalatkan istilah jihad demi kepentingan politik mereka.

``Perbuatan ini harus ditentang kerana tidak harus membiarkan mana-mana pihak memperalatkan agama demi kepentingan politik mereka,'' kata Ketua Majlis Permesyuaratan Rakyat, Amien Rais.

Bagaimanapun sepertimana kata Ketua DPR, Akbar Tanjung, mana-mana parti politik seharusnya tidak merasa terganggu dengan `ancaman' penyokong Gus Dur tersebut.

``Mereka harus menjalankan tugas mereka dengan sempurna, kalau benar Gus Dur bersalah maka katakan beliau bersalah,'' kata Akbar yang tidak menolak kemungkinan bahawa DPR akan memberi memorandum kedua kepada Gus Dur akhir bulan ini.

Sememangnya, perkembangan di Indonesia amat menarik diikuti kerana pada masa ini semua pihak di negara tersebut sama ada ahli politik atau penyokong, mereka lebih menumpu perhatian kepada soal merebut kekuasaan dan bukannya bagaimana menyelesaikan masalah ekonomi yang semakin menghimpit negara itu.

Demikianlah keadaan Indonesia sejak kejatuhan Suharto pada tahun 1998, era reformasi yang melanda negara itu lebih banyak membuka ruang kepada pemimpinnya untuk merebut kekuasaan politik dan bukannya memperjuangkan nasib rakyat sepertimana mereka laung-laungkan sebelumnya. - Utusan

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi