2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 09 Jun 2001

Gus Dur tungkus-lumus selamatkan jawatan

JIKA mengikut perhitungan ahli-ahli politik di Indonesia, pemerintahan Presiden Abdurrahman Wahid (Gus Dur) akan berakhir dalam tempoh tidak sampai dua bulan lagi.

Ketika ini parti-parti utama yang menguasai suara majoriti di Majlis Permesyuararan Rakyat (MPR) telahpun menghantar isyarat awal kepada Gus Dur bahawa pemerintahannya kini berada di hujung tanduk.

Mesyuarat badan pimpinan MPR, Khamis lalu telah membuktikan hakikat itu apabila 10 daripada 11 fraksi di majlis tersebut sebulat suara bersetuju sidang Istimewa MPR pada 1 Ogos nanti adalah meminta ucapan pertanggungjawaban Presiden.

Malah mereka juga mengajukan cadangan agar sidang istimewa kali ini juga turut membuat atur cara perlantikan Presiden baru Republik Indonesia. Ini kerana mereka begitu yakin bahawa ucapan pertanggungjawaban yang bakal disampaikan oleh Gus Dur akan ditolak oleh majlis tersebut. Walaupun Gus Dur telah menyatakan bahawa beliau tidak akan hadir di sidang istimewa berkenaan dan tidak akan menyampaikan ucapan pertanggungjawabannya namun semua itu tidak dipedulikan oleh fraksi-fraksi utama di MPR. Bagi mereka apa pun terjadi sama ada Gus Dur menerima atau tidak, sidang istimewa tersebut pasti akan berlangsung dan bakal menyaksikan kepimpinan Indonesia berubah sekali. Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP), Parti Golkar, Parti Persatuan Pembangunan (PPP), Parti Bulan Bintang (PBB) dan Fraksi Reformasi merupakan fraksi-fraksi di dalam MPR yang sudah cukup kuat untuk menamatkan karier politik Gus Dur.

Apa yang lebih menarik, oleh kerana merasakan 1 Ogos adalah tarikh yang masih jauh, maka fraksi-fraksi juga turut mendesak sidang istimewa MPR dipercepatkan.

Ini kerana menurut mereka, ``lagi lama Gus Dur memerintah lagi hancur Indonesia dibuatnya.''

``Gus Dur benar-benar sudah kehilangan sokongan sekarang, beliau tidak mempunyai kekuatan sama sekali untuk menghalang arus yang dicetuskan oleh fraksi-fraksi di MPR,'' kata seorang diplomat dari sebuah negara Asia kepada penulis. Namun begitu diplomat yang bertugas memantau perkembangan politik dalaman Indonesia tersebut menjelaskan, apa yang menimbulkan persoalan kini ialah apa lagi `jurus' yang akan digunakan oleh Gus Dur untuk menghalang sidang istimewa daripada berlangsung.

``Kita harus ingat ancaman untuk mengisytiharkan darurat dan membubarkan MPR serta DPR, walaupun ditentang oleh banyak pihak merupakan `peluru terakhir' yang dimiliki oleh Gus Dur,'' katanya.

Dalam keadaan tersempit dan kesuntukan waktu sekarang, Gus Dur sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan selain daripada melakukan tindakan drastik seumpama itu jika merasa dirinya tidak selamat lagi.

Melakukan kejutan atau tindakan kontroversi bukanlah perkara asing bagi Gus Dur, atas sebab itulah beliau berani memecat empat anggota kabinet yang sebelum ini dilihat orang kanannya termasuk Menteri Penyelaras Politik, Sosial dan Keselamatan, Susilo Bambang Yudhoyono dan Peguam Negara, Marzuki Darusman.

Pemecatan Susilo dan Marzuki ternyata mengejutkan banyak pihak kerana selama kedua-dua tokoh berkenaan telah melakukan pelbagai usaha untuk menyelamatkan kedudukan politik Gus Dur. Tetapi malangnya Gus Dur masih belum berpuas hati dengan prestasi mereka sehingga memaksa mereka meninggalkan kabinet pada 1 Jun lalu. Gus Dur menggantikan Susilo dengan Agum Gumelar yang sebelum ini Menteri Perhubungan.

Walaupun pemecatan Susilo mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak Gus Dur dengan mudah memberi alasan bahawa Susilo masih belum mampu merapatkan kembali hubungan Gus Dur dengan Naib Presiden, Megawati Sukarnoputri. ``Jelas lagi rombakan kabinet yang beliau lakukan bukan kerana kepentingan negara tetapi lebih kepada soal memperkukuhkan kedudukannya menjelang sidang istimewa,'' kata seorang Ketua Nahdlathul Ulama (NU) kepada penulis.

Malah Gus Dur juga turut menggantung Ketua Polis Negara, Jeneral Surojo Bimantoro yang sebelumnya menolak arahan Gus Dur untuk meletakkan jawatann.

Semua langkah-langkah drastik ini dilakukan oleh Gus Dur semata-mata untuk memberi isyarat kepada MPR supaya jangan bertindak bukan-bukan, jika tidak mahu keadaan menjadi lebih buruk lagi. Berdasarkan kepada perkembangan itulah, PDIP yang merupakan parti pimpinan Megawati melalui sokongan fraksi-fraksi lain mendesak sidang istimewa dipercepatkan. Mereka melihat ia adalah langkah terbaik bagi mengelakkan Gus Dur terus `mengamuk' untuk mempertahankan kedudukannya sehingga meresahkan rakyat.

``Kita yakin rakyat akan menyokong penuh langkah MPR mempercepatkan sidang istimewa demi kepentingan negara,'' kata Ketua Dewan Pimpinan Pusat PDIP, Julius Usman kepada wartawan.

Bagaimanapun setakat ini Gus Dur sendiri masih berusaha untuk mengelakkan `peperangan 1 Ogos' berlaku, beliau telah mengarahkan Agum meneruskan usaha mengadakan rundingan dengan fraksi-fraksi supaya membatalkan hasrat mereka memecat beliau.

Tetapi usaha itu sepertimana kata Setiausaha Agung PDIP, Sutjipto tidak akan mendatangkan hasil kerana semua fraksi sudah sepakat untuk `melihat Presiden Indonesia yang baru' pada 1 Ogos nanti.

``Semuanya salah Gus Dur sendiri yang menunjukkan penentangan yang tidak sepatutnya terhadap langkah MPR dan DPR yang dilakukan berdasarkan kepada undang-undang,'' kata Sutjipto.

Perkembangan ini sudah tentu menggembirakan Megawati yang buat pertama kalinya, Rabu lalu menyatakan beliau yakin semua persoalan yang menimpa bangsa Indonesia termasuk konflik politiknya akan berakhir pada Ogos nanti. Megawati yang kini mempunyai hubungan yang cukup tegang dengan `Mas Dur' (panggilan mesra Megawati kepada Gus Dur) amat yakin bahawa Presiden Indonesia itu sudah tidak mampu bertahan lagi. Apatah Megawati juga yakin bahawa `jurus maut' iaitu pembubaran MPR dan DPR serta pengisytiharan darurat yang mungkin akan `dikeluarkan' oleh Gus Dur tidak akan mendatangkan kesan.

Ini kerana semua pihak di Indonesia termasuk pertubuhan Nahdlathul Ulama (NU) menentang keras langkah berkenaan kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan. Malah Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Polis Republik Indonesia yang bakal menjadi penggerak dan tulang belakang jika darurat diisytiharkan turut menentang langkah tersebut. Sebab itulah Agum Gumelar secara terbuka menyatakan beliau sendiri turut menolak pengisytiharan darurat. Keadaan ini sudah tentulah membingungkan Gus Dur.

Beliau tidak mempunyai pilihan lain lagi, selain bersedia untuk berhadapan dengan sidang istimewa MPR dan menjawab semua tuduhan yang dilemparkan kepadanya. ``Gus Dur tidak harus menganggap sidang istimewa nanti adalah kiamat bagi dirinya, beliau masih ada peluang untuk mempertahankan diri, jika ucapan pertanggungjawabannya diterima maka beliau kekal sebagai Presiden, jika sebaliknya beliau harus rela berundur dengan semangat negarawan,'' kata Ketua MPR Amien Rais.

Kini menjelang sidang istimewa yang tinggal hanya 52 hari sahaja lagi, pelbagai pihak menanti dengan penuh debaran apakah yang akan dilakukan oleh Gus Dur untuk menyelamatkan kedudukannya di saat-saat akhir.

Apatah lagi pada masa ini penyokong-penyokong fanatiknya mula mengangkat senjata di sesetengah tempat di Jawa Timur kerana membantah pelaksanaan sidang istimewa. Tetapi Khamis lalu, Megawati dengan penuh yakin memberi jaminan kepada semua pihak bahawa pelaksanaan sidang istimewa pada Ogos nanti tidak akan menimbulkan sebarang kekacauan.

Megawati membuat kenyataan sedemikian kerana yakin penyokong-penyokongnya juga akan `bangun' menghalang mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan ketika sidang istimewa.

Tambahan pula, orang yang bakal menggantikan Gus Dur adalah Megawati yang sebelum ini melalui pilihan raya umum sudah diisytiharkan sebagai pemenang walaupun tidak memperolehi undi majoriti.

Oleh itu jika penyokong Gus Dur merusuh bagi menentang sidang istimewa diadakan sudah pasti penyokong Megawati juga akan turut sama `bangun' bagi mempertahankan pemimpin mereka.

Berdasarkan kepada catatan politik Indonesia sejak tahun 1999, belum pernah lagi tercetus pergaduhan antara penyokong Gus Dur dan Megawati, ini kerana di Jawa Timur penyokong Megawati adalah lebih besar dan sebahagian besar orang NU turut menyokong anak bekas Presiden pertama Indonesia tersebut.

Kini semua pihak sedang menanti dengan penuh debaran menjelang babak-babak akhir konflik politik Indonesia dan perhatian khusus diberikan kepada Gus Dur yang sudah pasti masih mempunyai banyak `jurus' bagi mempertahankan kerusi Presiden yang dudukinya sejak Ogos 1999. - Utusan

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum