2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Mingguan Malaysia 10 Jun 2001

BISIK-BISIK MINGGUAN-AWANG SULUNG

KECOH DI UNIVERSITI MALAYA
SEDANG kecoh di Universiti Malaya sekarang siapa sebenarnya yang menerbitkan Varsiti, majalah tahunan yang biasanya diterbitkan oleh Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM).

MPMUM dengan cepat membuat laporan polis kerana mendakwa bukan mereka yang menerbitkannya. Varsiti 2001 yang sedang dalam edaran sekarang, menurut mereka, adalah palsu.

Jika demikian bagai dikata, maka siapakah gerangan yang menerbitkannya?

Varsiti keluaran tahun 2000 juga mencetuskan masalah kerana membawa pendirian menggasak kerajaan dan menyeru pelajar berdemonstrasi. Sidang pengarangnya tidak dapat menyembunyikan di garisan politik sebelah mana mereka berada.

Dalam keluaran tahun 2001 yang dikatakan palsu itu, kandungan Varsiti sarat dengan rasa benci terhadap pemimpin negara. Perdana Menteri serta menteri kabinet lain dihina ke peringkat yang keterlaluan, siap dengan sajak yang menganggap beliau orang gila.

Wajah Perdana Menteri serta menteri-menteri lain dilukis sebagai firaun de-ngan kata-kata yang tidak sepatutnya datang daripada orang Islam yang berilmu.

Awang tidak terkejut membaca kandungan majalah itu kerana kecaman serta cemuhan yang dimuatkannya sudah banyak disiarkan di tempat-tempat lain termasuk laman web.

Naib Canselor UM, Prof. Dr. Anuar Zaini berjanji akan menyiasat perkara ini. Demi nama baik beliau, nama baik Universiti Malaya serta nama baik para pelajarnya, Awang harap beliau menjumpai penerbit sebenar.

DI SEBALIK ISU NANYANG
SEMAKIN ramai di kalangan masyarakat Cina marah dengan langkah MCA, melalui cabang pelaburannya, membeli Nanyang Press Holdings yang menerbitkan akhbar Nanyang Siang Pau dan China Press.

MCA melihatnya sebagai urusan biasa perniagaan. Tetapi masyarakat Cina melihatnya sebagai langkah politik memandangkan yang membeli itu MCA.

Biar banyak mana jaminan yang diberikan oleh Presiden MCA, Dr. Ling Liong Sik bahawa parti pimpinannya tidak akan campur tangan dalam dasar editorial kedua-dua akhbar tersebut, masyarakat Cina nampaknya sukar diyakinkan.

Cabang pelaburan MCA, Huaren, kini memiliki akhbar The Star yang hari ini merupakan akhbar bahasa Inggeris paling besar dengan jumlah edaran 270,000 naskhah sehari. Dengan langkah terbarunya, MCA kini turut memiliki dua akhbar Cina yang dikatakan selama ini mempunyai pendirian bebas dan sering mengkritik Dr. Ling.

Tentangan masyarakat Cina lebih terjurus kepada kekhuatiran mereka bahawa Nanyang Siang Pau dan China Press akan hilang kebebasannya apabila berada di tangan MCA. Dalam MCA sendiri tidak semua yang menyokong pembelian tersebut. Antara yang menentang ialah Timbalan Presiden, Lim Ah Lek serta dua Naib Presiden, Chua Jui Meng dan Chan Kong Choy.

Di luar MCA, semakin banyak pertubuhan Cina yang berpengaruh turut menentang pembelian itu hingga ada yang menggesa masyarakat Cina supaya memulaukan akhbar Nanyang dan China Press, termasuk The Star.

Penentangan tersebut, pada hemat Awang, menunjukkan betapa masyarakat Cina merasakan perlu bagi mereka mempunyai akhbar yang tidak dimiliki oleh pihak yang mempunyai kepentingan politik supaya mereka mempunyai saluran bebas bagi menyuarakan kepentingan Cina.

Ini satu pendirian menarik dalam senario politik hari ini. Setelah melihat bagaimana perkara-perkara sensitif seperti hak istimewa Melayu dan kuota kemasukan pelajar ke IPTA didebatkan secara terbuka melalui akhbar, masyarakat Cina mungkin merasa mereka tidak lagi akan dapat berbuat demikian, selepas ini. MCA sudah tentu akan mengawalnya, sedikit sebanyak.

Chua Jui Meng berkata, beliau mengambil kira sokongan padu yang telah diberikan oleh masyarakat Cina kepada MCA dalam dua pilihan raya umum lalu. Sekiranya hasrat mereka tidak dipedulikan, beliau khuatir mereka akan menunjukkan kemarahan ma-sing-masing pada pilihan raya akan datang.

Perlu disebut, MCA pernah memiliki akhbar berbahasa Cina bernama Tong Bao. Bagaimanapun ia akhirnya berkubur kerana dikatakan tidak mendapat soko-ngan masyarakat Cina.

Apakah Nanyang Siang Pau dan China Press akan mengalami nasib yang sama?

TERUK SANGATKAH KEWANGAN TABUNG HAJI?
FARDU haji hanya wajib bagi mereka yang berkemampuan. Pun begitu, menjadi hasrat setiap umat Islam untuk menunaikannya.

Bagi golongan tidak berada, mereka terpaksa menyimpan seumur hidup bagi tujuan tersebut.

Mereka yang menabung dengan Tabung Haji mendapat subsidi yang agak lumayan dalam pemergian ke Mekah. Ini telah lama dilakukan. Bagaimanapun subsidi itu akan dikurangkan mulai musim haji akan datang. Ini bermakna kos mengerjakan haji akan meningkat.

Pengurusan Tabung Haji telah memberikan beberapa alasan. Semua alasan itu tertumpu kepada peningkatan kos di luar kawalan Tabung Haji. Kenapa Tabung Haji tidak dapat menampung kenaikan itu tidak pula dihuraikan.

Kesimpulan Awang, ini kerana ia tidak berada dalam kedudukan kewangan seteguh dahulu untuk melakukannya. Jika tidak, apa salahnya memberi subsidi bagi satu tujuan baik - hasrat terakhir seorang Muslim.

Awang bersimpati dengan mereka yang terpaksa menunggu lebih lama untuk pergi ke Mekah kerana tidak cukup duit. Jika boleh menjadi ubat, ingatlah pesan Pengerusi Tabung Haji, Dr. Abdul Hamid Othman bahawa haji adalah soal syarak di mana soal kemampuan menjadi asas utama.

Bagi Awang, kalau pun Tabung Haji terpaksa mengurangkan subsidi yang diberikannya selama ini, ia tidak akan menyusahkan para penyimpan dari kalangan tidak berada sekiranya badan itu membayar dividen lebih tinggi.

Malangnya, dividen yang dibayar oleh Tabung Haji merosot teruk dan diramalkan terus rendah. Kenapa jadi begitu, hanya pengurusan Tabung Haji yang tahu.

Sementara menunggu dividennya naik semula dan sementara menanti Tabung Haji kembali berada dalam kedudukan kewangan yang teguh, Awang harap sesuatu dapat difikirkan supaya hasrat penyimpan golongan tidak berada untuk ke Mekah tidak tergendala.

Mungkin subsidi penuh boleh terus diberikan kepada golongan ini dan tidak kepada golongan berada. Kita tahu dulu-dulu orang menyimpan duit dengan Tabung Haji dengan satu tujuan sahaja iaitu untuk ke Mekah mengerjakan haji. Tapi hari ini ia sudah menjadi tempat melabur. Kini terdapat empat juta umat Islam yang menyimpan dengan Tabung Haji.

Bagi satu tempoh yang lama Tabung Haji menjadi pilihan utama umat Islam menyimpan wang mereka. Dividen yang dibayarnya adalah antara yang terbaik, pernah sebaik Amanah Saham Bumiputera. Tentu ada yang tidak kena jika ia hanya mampu membayar 5.5 peratus sahaja tahun lalu berbanding sekitar 10 peratus pada tahun-tahun sebelum itu.

Awang harap Dr. Hamid dan rakan-rakannya dalam Tabung Haji dapat memulihkan semula keadaan.

GUS DUR TUKANG PECAT
DALAM masa 20 bulan menjadi Presiden Republik Indonesia, Abdurrahman Wahid (Gus Dur) telah memecat 14 menteri kabinet, dua Ketua Polis Negara dan seorang Panglima Angkatan Tentera.

Turut dipecat dua Setiausaha Negara, seorang Peguam Negara dan ramai lagi pegawai tinggi tentera, polis dan pentadbiran awam.

Gus Dur yang kita semua kenali adalah seorang ulama yang memimpin pertubuhan Islam terbesar di dunia. Rakyat Indonesia menghormati beliau. Di Jawa, ada yang melutut dan mencium tangannya. Sebagai seorang kiyai, pandangannya jarang disanggah semasa beliau memimpin Nahdatul Ulama.

Atas latar belakang ini, Awang amat sukar memahami bagaimana Gus Dur, bila menjadi Presiden, bertukar menjadi tukang pecat yang tidak berfikir dua kali membuang menteri-menterinya. Apakah ini satu kekuatan atau kelemahannya?

Lebih menghairankan lagi apabila Gus Dur yang membawa reputasi `suci' itu tiba-tiba terjebak dalam skandal kewangan hingga Parlimen memutuskan untuk mendakwa beliau.

Menyorot kembali senario kejatuhan dua bekas Presiden Indonesia, Suharto dan B.J Habibie, pergolakan politik di Indonesia sekarang jelas membayangkan Gus Dur juga sedang meniti nasib yang sama.

Suharto jatuh ketika ekonomi Indonesia merudum. Kegagalannya untuk menangani kemelut ekonomi merentetkan pelbagai tuduhan rasuah terhadapnya. Dia meletakkan jawatan pada Mei 1998 dengan hasrat tindakannya akan menamatkan pergolakan politik Indonesia.

Orang kepercayaannya, Habibie, mengambil alih tetapi tidak bertahan lama. Habibie, jurutera kapal terbang lulusan Universiti Aachen, Jerman itu juga gagal memperbaiki keadaan ekonomi.

Lalu pemimpin yang dianggap berotak geliga itu dilontarkan dengan pelbagai tuduhan rasuah dan terpaksa melepaskan jawatan pada Oktober 1999, walaupun mempunyai tempoh sehingga 2003.

Naik pula Gus Dur hasil kemenangan dalam pilihan raya di Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) pada Oktober 1999. Ekonomi Indonesia masih juga tidak banyak berubah, malah, bertambah buruk.

Kini ulama berkelulusan Al-Azhar itu juga menghadapi tuduhan rasuah. Nasibnya kini berada di tangan MPR yang dulu memilihnya. Jika MPR tidak percaya lagi kepada Gus Dur, dia terpaksalah berundur.

Tingkah-laku Gus Dur seminggu dua ini jelas menunjukkan beliau semakin tenggelam punca. Sudah tidak ada kewajaran dalam keputusan-keputusannya. Senjata beliau hanya memecat orang. Sampai bila dan berapa orang lagi boleh beliau pecat?

Jalan terbaik bagi Gus Dur ialah mengikut jejak Suharto dan Habibie. Letak jawatan. Memimpin Nahdatul Ulama tidak sama dengan memimpin negara Indonesia.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum