2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Mingguan Malaysia 10 Jun 2001

Menteri Kewangan mesti Mahathir sendiri - Negara rosak jika orang tidak amanah pegang Perbendaharaan

Oleh: ABDULLAH AHMAD
PERLETAKAN jawatan Tun Daim Zainuddin daripada semua jawatan kerajaan dan politik kecuali Ahli Parlimen Merbok adalah satu kehilangan besar. Dalam sejarah Malaysia, tiada seorang pun menjawat jawatan Menteri Kewangan sebanyak dua kali dan dua kali juga meninggalkan kedudukannya dalam jemaah menteri.

Menteri Kewangan pertama Malaya selepas merdeka, Tun Henry Lee tidak dipilih bertanding pilihan raya umum pertama selepas kemerdekaan iaitu pada tahun 1959.

Menteri Kewangan kedua, Tun Tan Siew Sin yang memegang jawatan dari 1959-1974 tidak dicalonkan semula pada pilihan raya umum 1974. Menteri Kewangan ketiga, Tun Razak, keempat, Tun Hussein Onn dan yang kelima, Tengku Razaleigh Hamzah yang telah digantikan Tun Daim.

Selepas Tun Daim bersara kali pertama pada tahun 1991, dia digantikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apabila Anwar dipecat, Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menjadi Menteri Kewangan sebelum Daim kembali mengambil alih jawatan itu daripadanya. Sekarang Dr. Mahathir kembali memegang jawatan itu dan juga jawatan Bendahari UMNO yang sekian lama Daim menjawatnya.

Satu legenda tentang Siew Sin: Dia telah memohon cuti daripada Tunku Abdul Rahman dan permintaannya diluluskan begitu cepat. Langsung Siew Sin bertanya Tunku, siapa akan memangku jawatannya apabila dia dalam percutian? Tunku memberitahunya, dia sendiri. Terkejut Siew Sin lantas menarik balik surat mohon bercuti.

Tunku terkenal sebagai Perdana Menteri yang murah hati - boros mengikut istilah ekonomi, sebab itulah Siew Sin tidak jadi bercuti.

Dr. Mahathir bukan Tunku. Dia dikenal sebagai bukan seorang yang kedekut, tidak juga seorang boros. Dr. Mahathir agak berhati-hati menggunakan wang kecuali pada persepsinya ia adalah kerana kepentingan negara; dia agak ekonomikal bukan kaki joli.

Maka kerana reputasinya begitu, penulis amat sukacita Dr. Mahathir mengambil alih jawatan sebagai pengawas Perbendaharaan negara dan kewangan UMNO.

Penulis berharap Dr. Mahathir akan terus memegang kedua-dua jawatan itu sehingga pilihan raya umum atau kalau dia perlu melepaskannya, wajar jawatan itu dipegang oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Apapun nilai cadangan ini, inilah di antara sebabnya Dr. Mahathir sendiri harus menjawat kedua-dua jawatan itu.

Mengelolakan sendiri Kementerian Kewangan dan Perbendaharaan UMNO membolehnya control secara langsung kedua-dua peti kewangan. Kementerian Kewangan dan Perbendaharaan UMNO adalah dua perjawatan yang terpenting, kedua-duanya adalah kemuncak kuasa politik selain daripada kerusi Perdana Menteri.

Wang adalah kuasa terbesar, wang tiada warna, duit segala ibu kenikmatan dan juga segala ibu kemungkaran. Ringgit atau pun dolar hatta rupiah pun adalah seolah-olah lampu ajaib Aladdin!

Apabila ada kekayaan - duit dalam poket - anda adalah seorang bijak, anda tampan dan anda pandai menyanyi! Dalam dunia kuno dan kini pun wang dianggap sebagai satu agama, manusia menyembahnya. Bermadah seorang pujangga kuno - money's the wise man's religion (wang agama orang bijak). Penulis ingin tambah madah ini, wang adalah agama bagi majoriti manusia.

Kalau benar Dr. Mahathir serius lagi jujur dan beriltizam mahu membasmi politik wang, dia mesti memaut sendiri kedua-dua jawatan. Dengan berbuat demikian, dia akan dapat menutup pintu wang, senang mengawal Ali Baba, perasuah dan kontraktor-kontraktor yang menjual dan sub-kontrak projek kerajaan kepada kontraktor sebenar dan yang ada rekod buruk sebagai kontraktor.

Perbendaharaan negara adalah ibu bagi political patronage - seni politik naungan. Naungan yang memperalatkan Kementerian Kewangan menghasilkan politik wang, wang panas, pemborosan, high-living dan suka menunjuk-nunjuk, berlumba-lumba mendirikan mahligai dalam kampung, memiliki puluhan kereta mewah, jam tangan berharga satu juta, tas tangan, kasut dan pakaian berharga ratusan ribu satu pasang dan perbuatan membawa satu dozen orang gaji (sampai 40 beg) naik kapal terbang kelas satu semasa bercuti ke Eropah.

Penulis sedar bahawa menghapuskan kemungkaran adalah satu perkara mustahil tetapi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan boleh mengawasinya dengan cara berkesan jika dia benar-benar mahu berbuat demikian. Dari mana datang harta yang diisytiharkan oleh seorang wakil rakyat yang berjumlah lebih RM200 juta, memiliki lebih dua dozen kereta mewah, lebih separuh daripadanya disorok di bawah underground di pejabatnya?

Mereka ini tiada beza daripada pencuri - mereka menjerit-jerit `pencuri, pencuri!' tetapi sebenarnya mereka sendiri perompak.

Kalau jawatan Menteri Kewangan dipegang oleh menteri biasa atau orang baru, dia akan jadi king maker - penentu siapa naik, siapa turun melalui kuasa dan pengaruh wang dalam genggamannya. Kalau YB Muhammad Tulus, YB Zig Zag atau YB lain diberi kehormatan sebagai Menteri Kewangan, peluang mereka untuk masuk ke kediaman Sri Perdana meningkat.

Kalaulah Dr. Mahathir mahu melepaskan jawatan itu, dia mesti amat cermat memilihnya. Kita sudah melalui peristiwa-peristiwa yang menyedihkan - Tan Sri Musa Hitam dan Anwar. Carilah calon yang taat setianya tidak berbelah bagi, mereka yang telah teruji kepada Perdana Menteri dan perjuangan UMNO. Mereka yang berani, yang sanggup tidak popular, yang ada kebolehan dan kalaupun tidak mereka yang boleh diajar. Cerdik boleh diajak berunding bodoh boleh diajar.

Daim bukan ahli kewangan atau ekonomi, dia seorang peguam tetapi suka atau tidak Daim adalah seorang Menteri Kewangan yang reformis dan berani dalam apa yang dilakukannya.

Terpenting dalam pemilihan sebagai Menteri Kewangan adalah ketelusan, tidak ada keburukan, tiada tuduhan seseorang itu perasuah. Ertinya reputasinya belum tercemar. Kalau pun dia ada kebolehan tetapi apa gunanya kalau pada persepsi majoriti pengundi (yang bukan ahli UMNO) dia dilihat sebagai seorang yang telah tercemar, tiada ketegasan dan politiknya pula politik ikut angin, tiada prinsip dan akhlak siasah. Harus diingat bahawa di Malaysia daripada lima pengundi hanya seorang saja ahli UMNO.

Yang dipilih haruslah seorang yang tidak bercita-cita mahu jadi Perdana Menteri (sekadar ingin menjadi king maker sahaja) atau seorang yang ``dara dalam politik'' yang mahu dibentuk sebagai bakal pemimpin tertinggi.

Kalau tiada calon sedemikian - yang boleh diharap dan diberi amanah - penulis mencadangkan Dr. Mahathir kekal dalam jawatan Menteri Kewangan hingga dia melepaskannya kepada Abdullah Badawi apabila dia bersara kelak.

Andainya Dr. Mahathir gagal kali ini dan melantik salah orang, dia tidak akan lena tidur. Dan yang lebih buruk lagi takut Malaysia jadi seperti Itali pada tahun 1993 di mana negara itu telah berhutang sebanyak satu trilion dolar Amerika atau 1,000 bilion dolar kerana political patronage dan pork-barrel politics (politik wang, projek dan kontrak).

Suka atau duka, Dr. Mahathir kini akan menentukan secara tegas hala tuju dan masa hadapan politik dan ekonomi negara.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum