2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 25 April 2001

Kemunculan gergasi ekonomi Benua Amerika- Lidah Pengarang

BEBERAPA tahun lalu, Amerika Syarikat (AS) pernah menghalang penubuhan Kumpulan Ekonomi Asia Timur (EAEG) dengan alasan bahawa kuasa besar itu bimbang akan wujud satu blok yang menjejaskan perdagangan bebas dunia di mana ia tidak dapat sertai.

Namun begitu, pada Isnin lalu, AS telah mempelopori penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas Benua Amerika (FTAA) yang dijangka berkuat kuasa pada penghujung 2005.

Gagasan itu mewujudkan satu blok perdagangan meliputi seluruh benua Amerika Utara dan Selatan, kecuali Cuba yang merangkumi penduduk 800 juta orang.

Ia sebenarnya perluasan kawasan perdagangan bebas yang ada sekarang iaitu Kawasan Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) meliputi AS, Kanada dan Mexico.

Dengan penubuhan FTAA, benua Amerika muncul sebagai sebuah gergasi ekonomi dunia yang dikuasai AS dan boleh dipandang sebagai langkah peringkat pertama globalisasi sejagat.

Kalau pada tahun-tahun 80-an pihak Barat mencurigai kemunculan gergasi ekonomi Asia Timur yang dibimbangi mereka akan menjadi cabaran, kini dengan perancangan penubuhan FTAA, pihak yang mencabar dunia ialah benua Amerika.

Kita tidak mempersoalkan amalan perdagangan bebas yang menjadi asas kepada FTAA dan juga kebebasan negara-negara di benua Amerika untuk menyertai AS dalam satu kawasan pasaran.

Akan tetapi kita mempersoalkan unsur politik yang terkandung di sebalik idealisme perdagangan bebas.

Langkah AS meminggirkan Cuba kerana negara itu mengamalkan sosialisme dan amaran Presiden George W. Bush bahawa demokrasi menjadi syarat penyertaan FTAA menunjukkan campur tangan kuasa besar itu ke dalam politik negara anggota yang boleh membawa kepada unsur-unsur penjajahan bentuk baru.

Kita faham negara-negara Amerika Tengah dan Selatan yang turut serta dalam Sidang Puncak Benua Amerika di Quebec, Kanada itu mengharapkan kawasan perdagangan bebas itu akan meningkatkan taraf kehidupan rakyat mereka.

Tetapi sepertimana dalam rundingan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) di Seattle (1999) dan Prague (2000), negara-negara kaya tidak teragak-agak meminggirkan negara-negara miskin demi kepentingan mereka.

Akhirnya FTAA akan dikuasai oleh kepentingan AS dan Kanada dengan negara-negara lain hanya mengharapkan belas kasihan Washington dan Ottawa bagi memberi ruang untuk mereka turut serta dalam menjual barangan mereka.

Kita tidak dapat lihat apakah jaminan yang AS dan Kanada akan memberikan peluang kepada negara-negara lain di benua Amerika apabila semua kelebihan modal dan keupayaan terletak pada tangan syarikat-syarikat besar di negara-negara maju.

Dengan penubuhan FTAA ini juga, ia dengan sendirinya mengatasi kumpulan dagang negara-negara Amerika Selatan, Mercosur yang dianggotai oleh Brazil, Argentina, Paraguay dan Uruguay.

Walaupun Cuba di bawah pemerintahan Presiden Fidel Castro sudah ketinggalan zaman tetapi amarannya terhadap bahaya ketamakan kapitalis AS perlu diambil kira supaya kita tidak hanyut dalam arus globalisasi kelak.

Lebih-lebih lagi dasar-dasar Bush sejak menjadi Presiden jelas mengikut kenyataan dalam ucapan pertamanya bahawa dia akan hanya mengutamakan kepentingan AS walaupun tindak-tanduk mereka mendatangkan mudarat kepada rakyat di negara-negara miskin.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum