2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 12 Jun 2001

Pendedahan hakim timbul banyak teka-teki

Oleh: SALLEH BUANG
APABILA Hakim Datuk Muhammad Kamil Awang, selaku hakim pilihan raya, mengumumkan keputusannya dalam dua kes petisyen pilihan raya yang disatukan (iaitu kes No. K5 dan No. K11 Tahun 1999) pada hujung minggu lalu, keputusannya itu menggegarkan seluruh negara, dan sekali gus menjadi bahan perbincangan di kalangan setiap lapisan rakyat.

Kes-kes yang dipanggil `petisyen pilihan raya' datang dan pergi dari semasa ke semasa, seperti durian mengikut musim.

Biasanya setiap kali ada pilihan raya umum, pasti akan ada pihak yang akan mengemukakan petisyen ke mahkamah mencabar kesahihan pilihan raya yang baru berlalu di suatu tempat atau kawasan itu.

Ada masanya petisyen itu diluluskan, tetapi biasanya ia ditolak. Penolakan petisyen itu biasanya menandakan bahawa proses pilihan raya yang baru berlalu itu telah berjalan dengan baik dari awal hingga akhir dan tidak ada cacat-celanya. Dan biasanya orang ramai tidak begitu berminat mengikuti perkembangan kes-kes seperti itu, apatah lagi berminat membaca keputusan hakim secara terperinci.

Di sinilah letaknya keluarbiasaan keputusan hakim pilihan raya Kamil Awang. Bukan hanya orang ramai berminat mengetahui keputusan kes (siapa kalah siapa menang), mereka juga berminat untuk membaca sendiri keseluruhan teks penghakiman itu.

Mujurlah, dengan perkembangan era teknologi maklumat (IT) sekarang ini, teks keputusan hakim itu kini boleh dibaca sepenuhnya secara percuma di laman web sebuah akhbar tempatan.

Ini sekali gus membuat orang ramai ingin tahu lebih lanjut lagi cerita bagaimana hakim berkenaan diarah atau ditekan (menerusi telefon) untuk menolak petisyen itu.

Dalam pendedahannya yang mengejutkan itu, hakim berkenaan menyatakan ``Pada pendapat saya kebijaksanaan seseorang itu dipersenda apabila diarah menerusi telefon agar petisyen-petisyen ini ditolak tanpa perbicaraan, dan disebabkan itu saya mendengar petisyen ini berbekalkan gerak hati'' (In my view, it is an insult to one's intelligence to be given a directive over the phone that these petitions should be struck off without a hearing, and above all, it is with prescience consciences that I heard these petitions).

Bagi rakyat biasa, inilah kali pertama seorang hakim Mahkamah Tinggi mendedahkan secara terbuka bahawa beliau pernah diarah atau ditekan oleh pihak tertentu untuk `membuang kes' (menolak sesuatu tuntutan atau petisyen itu) tanpa perbicaraan. Sekali gus pendedahannya ini menimbulkan teka-teki di minda rakyat.

Siapakah orang yang cuba memberi arahan atau tekanan itu? Apakah dia orang daripada badan eksekutif, atau pihak-pihak atasan badan kehakiman itu sendiri? Apakah arahan atau tekanan itu dibekalkan dengan suatu ugutan (akibatnya jika arahan tidak dipatuhi) atau janji (sekiranya arahan diikuti) tertentu?

Dalam minda orang ramai, teka-teki seperti di atas itu membuahkan pula teka-teki di peringkat kedua iaitu apakah arahan atau tekanan seperti ini pernah diberi oleh pihak-pihak tertentu kepada hakim-hakim lain sebelum ini?

Disebabkan pendedahan hakim Kamil Awang ini membuktikan arahan atau tekanan itu benar-benar wujud dan berlaku pada dirinya, orang ramai berfikir tidak mustahil arahan tekanan seperti itu juga pernah dilakukan kepada hakim-hakim lain.

Mujurlah dalam kes ini, Hakim Kamil Awang berhati waja dan mampu melaksanakan tugasnya mendaulatkan undang-undang dan menegakkan keadilan without fear or favour (tanpa takut atau memilih bulu).

Di peringkat akhir penghakimannya itu, beliau menyatakan "Tuhan telah memberi saya kekuatan dan ketabahan selaku seorang insan-Nya untuk bertindak tanpa takut atau memihak, dan dengan itu saya benar-benar bertindak sebagai seorang hakim dan bukannya seorang pak turut" (God has given me the strength and fortitude, as a lesser mortal, to act without fear or favour, for fear of a breach of oath of office and sacrifice justice, and above all to truly act as a judge and not a yes-man).

Sekali lagi kenyataan beliau ini menimbulkan teka-teki. Apakah sebelum ini, setelah diberi arahan atau tekanan oleh pihak tertentu, ada hakim Mahkamah Tinggi lain yang sebaya dengan Hakim Kamil, yang `kalah' dengan tekanan atau arahan itu lalu membuat keputusannya bukan sebagai seorang hakim bahkan sebagai seorang pak turut?

Kata-kata Hakim Kamil ini membuatkan saya teringat kepada satu pesanan yang dibuat oleh seorang hakim Mahkamah Persekutuan sedikit masa dulu, di mana beliau juga berkata bahawa hakim perlu dan wajib bertindak selaku hakim, bukan sebagai pak turut.

Ia juga mengingatkan saya kepada sebab kenapa bukan sedikit di kalangan sahabat saya yang tidak begitu berminat menjadi hakim.

Keengganan sahabat saya ini mungkin diasaskan kepada suatu hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Buraidah yang bermaksud Hakim terbahagi kepada tiga golongan; satu daripadanya menuju ke syurga, selebihnya menuju ke neraka.

Hadis yang sama kemudian menjelaskan siapa yang ke syurga dan siapa yang ke neraka. Pastinya seorang hakim yang membuat keputusannya sebagai yes-man, mengikut arahan pihak lain sukar menjadi ahli golongan yang menuju ke syurga.

Ekoran pendedahan mengejutkan oleh Hakim Kamil ini, kini pelbagai pihak di kalangan rakyat telah mendesak supaya siasatan lanjut dibuat mengenai hal ini.

Pengerusi Majlis Peguam, Mah Weng Kwai, menyatakan bahawa secara tersirat apa yang boleh kita faham dari pendedahan Kamil itu ialah bahawa arahan atau tekanan menerusi telefon itu dibuat oleh pihak yang lebih kanan darinya.

Sehubungan ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dipetik oleh sebuah akhbar bahawa panggilan telefon kepada hakim itu boleh jadi satu panggilan palsu, crank call. Abdullah menegaskan bahawa arahan telefon itu tidak datang daripadanya atau dari sesiapa yang dia kenal.

Mengikut Mah Weng Kwai lagi, Ketua Polis Negara (KPN) sewajarnya menjalankan siasatan segera ke atas pendedahan Hakim Kamil ini, kerana arahan telefon yang dibuat terhadap hakim itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Di bawah seksyen itu sesiapa sahaja yang cuba menghalang atau mengganggu mana-mana kakitangan awam menjalankan tugas rasminya boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Mah juga mengesyorkan Hakim Kamil mengambil tindakan (prosiding penghinaan mahkamah) terhadap pihak yang telah memberi arahan atau tekanan menerusi telefon kepadanya itu, agar ia menjadi satu pengajaran kepada mana-mana pihak lain supaya tidak cuba melakukannya di masa akan datang.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum