2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 12 Jun 2001

Guna sejarah untuk bina masa depan

BARU-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad kembali mengingatkan kepada kita perlunya membaca, mempelajari dan meneladani sejarah bangsa masa lampau. Prinsip sejarah yang paling mudah difahami ialah `teladan' dan `keputusan'.

`Teladan' mungkin dipandang enteng oleh sesetengah individu kerana peristiwa arnab dan kura-kura juga mengandungi unsur teladan.

Namun teladan peristiwa sejarah itu mengandungi elemen yang harus difikirkan secara teliti dan difahami dalam konteks yang lebih mendalam bukan setakat cerita penglipur lara atau sekadar bahan kenang-kenangan tetapi hakikatnya sejarah itu membawa manusia mengenal akan alam jati dirinya.

Agak sukar menjadikan sejarah itu sesuatu yang menarik jika perspektif khalayak tentang kepentingan sejarah yang jauh dari nilai komersialnya itu tidak difahami seawalnya. Teks-teks sejarah yang lampau seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa sekadar menyatakan beberapa sahaja, mengandungi unsur mitos, legenda dan dongeng.

Generasi hari ini pula cenderung untuk menilai sastera-sejarah sebegini sebagai menyesatkan lantaran cubaan memahami konsep sastera-sejarah dan sejarah tidak digarapi dan difahami dengan sebaik mungkin.

Lantas wujudlah pula permasalahan meletakkan sejarah dalam arus pemikiran generasi muda hari ini yang memanifestasi kebimbangan generasi pemimpin tentang fahaman sejarah oleh anak-anak wawasan.

Di peringkat pengajian tinggi , sejarah dikupas dengan begitu analitikal dan harus tepat fakta dan sumbernya tanpa menimbulkan sebarang keraguan tentang kesahihan peristiwa. Aliran peristiwa pula digarapi dengan beratus malah beribu sumber agar peristiwa yang ditonjolkan itu benar-benar realiti dan menggambarkan ketulusan penulis.

Itu yang berlaku di kalangan intelektual, namun bagaimana pula untuk memaslahatkan sejarah kepada 22 juta rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan keturunan.

Piawai mana pula harus diikuti dalam masa setiap bangsa ini mempunyai sejarah bangsanya sendiri. Apakah ingatan Perdana Menteri itu sekadar untuk bangsa Melayu sahaja atau ia suatu ingatan kepada kita semua tentang penghampiran kewujudan bangsa Malaysia pada alaf baru ini. Persoalan sejarah dalam konteks perpaduan nasional bagaimana pula?

Nampaknya isu mendabikkan sejarah ini suatu isu yang kompleks yang perlu penyelesaian konkrit bukan sekadar sukatan pelajaran di sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) atau secebis ruangan Hari Ini Dalam Sejarah terbitan Arkib Negara dan RTM.

Dalam era globalisasi hari ini, pembentukan jati diri semakin menjadi elemen penting lantaran kewujudan k-ekonomi, k-pekerja, e-dagang dan banyak lagi.

Ketiadaaan sempadan yang membatasi mobiliti faktor-faktor pengeluaran memangkin persoalan bagaimana negara atau ketuanan bangsa harus dipertahankan.

Era ICT menonjolkan imej kehidupan yang baru dan membawa masyarakat Malaysia kepada tahap lepas take-off menuju pembangunan negara maju masa depan. Dunia dan manusia serta masyarakat sentiasa berubah. Kehidupan tidak statik, malah kehidupan yang dinamik merangsang manusia mencapai kemajuan. Dalam konteks pembangunan, manusia sentiasa berada dalam situasi hendakkan kemajuan.

Di tengah-tengah kepesatan pembangunan ini, kita diingatkan agar kembali kepada sejarah. Bangsa Melayu bangga dengan keagungan zaman Hang Tuah yang hingga kini menjadi tiupan semangat orang Melayu menerokai dunia Takkan Melayu Hilang Di Dunia. Itu yang berlaku 500 tahun dahulu, bagaimana pula dengan sejarah bangsa Melayu kurun ke-18, 19 dan 20.

Adakah setelah menikmati sedikit kemajuan dan nikmat Allah ini kita lupa diri? Apakah tidak terfikir bagaimana masyarakat Cina juga memperjuangkan bahasa, budaya dan pendidikan mereka sejak sekian lama hingga menduduki tahap pada hari ini. Bagaimana pula masyarakat India bangkit dari kepompong estet hingga berusaha memperoleh gaji minimum dan tuntutan kuota pendidikan?

Adakah mereka cepat melupai sejarah atau sejarah menukil semangat perjuangan mereka? Bukan cuba bersifat chauvanist, tetapi melihat realiti yang berlaku rentetan sejarah-sejarah negara.

Lantaran itu keperluan mengungkap keteladanan sejarah harus dilakukan dengan teliti. Peristiwa sejarah sewajarnya merangsang akal fikir melihat bagaimana masyarakat pada masa dahulu membuat keputusan berdasarkan ilmu dan persekitaran mereka.

Benar atau tidak sejarah tidak berulang bergantung kepada konteks dan galur waktu sesuatu perkara itu berlaku.

Kemungkinan masyarakat agak sukar untuk menafsirkan sejarah dalam beberapa konteks atau subkonteks tertentu kesan kekurangan pengalaman, ilmu atau asas pembacaan bahan ilmiah yang kurang.

Ditambah pula ketidakarifan memahami sejarah di samping tuan guru yang menyesatkan fakta sejarah. Hal ini pula menjadi kebimbangan sosial, apabila sejarah dipolitikkan atas kepentingan pihak tertentu tidak dapat dinafikan.

Individu yang tidak bertanggungjawab dan alpa tugasnya sebagai khalifah mungkin hipokrit dalam menafsirkan sejarah dari satu sudut berkepentingan. Hal ini memang tidak dapat dinafikan bukan setakat ilmu sejarah bahkan ilmu-ilmu Allah yang lain juga.

Sejarah mengajak kita membuat sesuatu keputusan itu dengan menilai kekesanan terdahulu apa yang baik atau apa yang buruk telah berlaku sebelumnya.

Sejarah tidak harus dikelompok dalam bidang kemanusiaan atau kemasyarakatan sahaja malahan dalam era ICT sejarah harus difokuskan sebagai aspek pembina jati diri yang dijana keperluannya pada setiap masa.

Justeru dalam persoalan mengangkat ketuanan bangsa menerusi pendabikan sejarah, kita harus memikirkan segala segi.

Janganlah terlalu pesimis dengan ilmu sejarah dan juga bersifat oportunis dengan keasyikan menjana masyarakat celik sejarah dan masyarakat yang menghargai sejarah bangsanya.

Persoalan asas seperti pelaksanaan masyarakat kritis terhadap sejarah bangsa Malaysia harus menjadi perhatian penting. Sistem pendidikan kini bertambah maju yang menjadikan masyarakat bertambah kompleks yang memerlukan kepakaran sejarawan untuk menyuntik semangat cintakan sejarah di kalangan bangsa Malaysia. - ABDUL GHANI ABU, Johor Bahru, Johor.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum