2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 13 Jun 2001

Pas terus hantui DAP

Oleh: ABDULLAH AHMAD
DULU, kini dan akan datang pun negara tercinta ini dari segi geopolitik, penduduknya berbilang bangsa dan agama. Bukan Islam berada dalam sebuah masyarakat yang penduduk Islamnya majoriti.

Di Singapura pula orang Melayu berada dalam masyarakat yang majoriti penduduknya bukan Islam tetapi pulau republik itu berada dalam kawasan penduduk Islam terbesar dalam dunia (Indonesia) dan berjiran rapat dengan sebuah kerajaan Melayu-Islam yang termaju dan termoden dalam sejarah politik pembangunan Islam.

Di Kelantan dan Terengganu majoriti orang Melayu kemuncak, kedua-dua negeri hampir sejenis (homogen) dan diperintah oleh Pas yang giat berusaha membina jambatan silaturahim dan persefahaman dengan orang Cina melalui usahanya sendiri dan juga dengan ihsan DAP, Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia untuk meraih lebih undi dalam pilihan raya umum kesebelas.

Usaha gigih Pas ini jelas menampakkan peri penting peranan pengundi Cina dalam pilihan raya umum akan datang bagi kejayaan Pas yang lebih besar.

Keprihatinan dan kepekaan Pas terhadap isu-isu kepentingan Cina diperjuangkan oleh parti Islam ini secara mendadak dan terbuka.

Satu ketika, berpakat dengan orang kafir dikatakan haram dan kemuncak kejayaan fatwa ini ialah kejayaan Pas di Kelantan dan Terengganu tahun 1959 dan juga dalam pilihan raya umum 1969.

Pas kini, kerana cita-cita politik telah menerima hakikat bahawa tanpa sokongan orang Cina Pas akan terus bermimpi bagi menubuhkan sebuah negara Islam. Pas sekarang cuba memperlihatkan keterbukaan Islam kepada orang kafir.

Orang Cina golongan terminoriti di Kelantan dan Terengganu mungkin belum terasa lagi tekanan halus tetapi keadaannya akan berubah apabila Pas terus berpengaruh dan meningkat kelak. Ini baru musim mengurat, masa bertunang lain, selepas kahwin lazimnya hilang asmara dan asyik!

Pemuda DAP telah memberi amaran (beraninya) kepada Pas supaya lebih peka terhadap isu-isu yang sensitif tentang adat resam dan cara hidup orang Cina, kalau tidak DAP akan berhenti menolong Pas mendapat sokongan mereka.

Ini satu pengakuan terbuka oleh DAP bahawa DAP bekerja keras agar Cina sokong Pas.

Pengerusi Pemuda Sosialis DAP, Teng Chang Khim, telah mengutuk Menteri Besar Terengganu dan Timbalan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang tatkala ia menegaskan apabila Pas memerintah kelak ia akan tutup Kasino Genting.

Kenapa pula Chang begitu marah? Abdul Hadi konsisten dengan pendapatnya dan dasar Pas. Masakan DAP tidak tahu bahawa Pas dari dulu lagi menentang perjudian. Kenapa pula kerana perikatan dengan DAP, Pas harus bertolak ansur tentang prinsip Islamnya?

Pas bukan tidak sensitif. Abdul Hadi bukan seorang yang bebal, dia tahu hukum agamanya. Apabila dia membuat kenyataan itu dalam satu majlis muhibah dan dailog dengan bukan Islam di Alor Setar (Jun 8) dan disiarkan oleh Nanyang Siang Pau (yang diperjuangkan bersama oleh DAP dan Pas) dia hanya berterus terang menyatakan rancangan partinya. Abdul Hadi harus dipuji kerana ketelusannya.

Perjudian, tegas Hadi, bukan satu adat resam insan kerana itu Pas akan tutup kasino di Genting (dan loteri, perjudian lain dan banyak lagi iaitu apa yang pada pandangan Pas adalah mungkar).

Toleransi Pas terhadap DAP hanya setakat mahu menggunanya sebagai kuda tunggangan bagi mendapat sokongan Cina.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum