KOLUMNIS

Utusan Malaysia 11 April 2001

Syed Hamid dan helah Amerika

Oleh: ABDULLAH AHMAD
MENTERI Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar telah berkali-kali memberitahu pegawai dan diplomat Amerika termasuk staf Kongresnya bahawa hubungan Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia sukar meningkat jika isu Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap kunci atau isu terpenting.

Syed Hamid jelas nampaknya terkilan kedudukan dunia kini hanya satu pola bukan dwipola seperti wujudnya masa pertentangan hebat antara demokrasi dan komunisme sebelumnya.

Tidak ternampak sekarang bakal pengganti Soviet Union dalam masa terdekat, sungguhpun calon terbaik ialah China Komunis, itu pun mungkin kalaupun terjadi dalam beberapa dekad mendatang.

Andainya India dan China satu ideologi, lain cerita tetapi Washington sedang berusaha agar India-China senantiasa mencurigai antara satu sama lain: Pecah dan perintah.

Apa pun hubungan China-Amerika Syarikat ini tegang akibat peristiwa pesawat pengintip AS berlanggar dengan jet pejuang tentera udara China yang menyebabkan kehilangan pemandunya dan tertawannya 24 pegawai dan kakitangan pesawat pengintip AS yang mendarat tanpa izin di Pulau Hainan, di selatan China.

Pertanyaan sekarang: Sejauh mana ketegangan itu akan berlarutan dan apa pula harga politik dan maruah yang sanggup dibayar oleh kedua-dua kuasa itu? Satu, China yang bersifat konfrontasi baik sebagai permulaan bagi melahirkan politik antarabangsa yang dua hala.

Potensi China dan India sebagai kuasa besar wujud tetapi akan mengambil masa yang agak lama dan AS terus mara dalam alam teknologi dan sains persenjataan peluru berpandu. Kini, mereka merancang mengadakan sistem pertahanan senjata yang antipeluru berpandu. AS kerana ilmu dan ekonomi terbesar mesti senantiasa ke hadapan bagi membela dan mempertahankan kedudukannya yang terunggul itu.

Satu lagi calon yang berpotensi ialah Kesatuan Eropah, tetapi mereka kuasa kulit putih maka apa pun, kedua-dua (AS dan Kesatuan Eropah) tidak akan bermusuh berasaskan kepada sejarah dan tamadun Kristian-Yahudi yang mereka punyai.

Dasar luar negara kita bebas, berasaskan nasionalisme-Islam yang modenis yang senantiasa dicurigai oleh AS kerana kita memihak kepada negara-negara membangun seperti Iraq, Iran dan negara-negara Islam, Latin Amerika dan Afrika.

Bagi Washington, implikasi dasar kita ini besar, berani serta berwawasan dan membawa kesan di luar hubungan dua hala. Walaupun begitu dasar praktik kita ini bukan bermakna kita anti-AS, kita hanya pro-Malaysia sahaja. Kita mahu berbaik-baik dengan AS tetapi sukarlah jika AS menjadikan kebebasan Anwar sebagai syaratnya.

Hubungan dagang antara AS dan negara kita baik, kita mengeksportkan lebih 23 peratus hasil Keluaran Dalam Negara Kasar kita ke AS. Kebanyakannya melalui keluaran elektronik tetapi oleh kerana ekonomi AS menurun dan selalunya kalau ekonomi AS meleset, ekonomi dunia turut menimpa kesakitan termasuk kita.

Kerana kita sedar kemungkinan ini menjejaskan ekonomi kita, maka kerajaan telah membuat persediaan mewujudkan perbelanjaan berjumlah RM3 bilion bagi membantu agar ekonomi kita dapat bertahan.

Kita akan terus berusaha mendapat modal asing dan bersedia menghadapi cabaran globalisasi. Bezanya sekarang kita menghadapi banyak saingan untuk menarik modal asing secara langsung antaranya China, yang berpotensi menjelma sebagai saingan kepada AS.

Bercakap dengan Syed Hamid adalah seronok kalau mendapat perhatian dan minatnya - tetapi jelas sungguhpun beliau gembira sebagai Menteri Luar namun nampaknya beliau lebih senang dengan politik domestik.

Apa pun, Syed Hamid memanggil sidang akhbar di pejabatnya hari ini. Tanyalah beliau sama ada politik antarabangsa atau dalam negara.

Tugasnya makin mencabar membantu Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad bagi menegakkan kedaulatan dan maruah kita dalam menghadapi helah politik antarabangsa AS dan polisinya terhadap kita, dan dasar promosi Anwar dan dalam usahanya mengisolasikan negara tercinta.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi