2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 16 Jun 2001

PEMERINTAH Indonesia akhirnya membuat keputusan membatalkan kenaikan harga minyak yang sepatutnya berkuat kuasa mulai semalam atas sebab-sebab keselamatan.

Langkah pembatalan itu dilakukan setelah Menteri Penyelaras Politik, Sosial dan Keselamatan, Agum Gumelar memberi penjelasan berhubung situasi keselamatan di seluruh Indonesia terutamanya di Jakarta jika kenaikan itu diteruskan.

Justeru, bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini seperti rusuhan maka pemerintah Indonesia tidak mempunyai pilihan selain daripada membatalkan kenaikan yang penuh dengan kontroversi itu.

Sememangnya sejak, awal pelbagai pihak telah menyedari bahawa langkah pemerintah Indonesia untuk menaikkan harga minyak berkenaan bukan satu tindakan yang baik.

Tetapi sepertimana kata Presiden Abdurrahman Wahid (Gus Dur) pemerintah negara itu tidak mempunyai pilihan kerana ia merupakan sebahagian daripada persefahaman yang dicapai dengan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

``Kalau boleh kerajaan tidak mahu menaikkan harga apa-apa pun tetapi kita tidak ada pilihan, kita harus mematuhi arahan IMF,'' kata Gus Dur beberapa minggu lalu.

Kini ternyata sekali lagi langkah berkenaan benar-benar ditentang oleh rakyat apatah lagi dalam bulan ini juga mereka terpaksa merasai tekanan akibat kenaikan tarif elektrik dan telefon.

Bagaimanapun langkah pemerintah Indonesia dikatakan agak terlambat memandangkan sejak sebulan lalu apabila tercetus isu bahawa harga minyak akan dinaikkan berkuat kuasa 15 Jun, harga barang melambung naik terlebih dahulu.

Keadaan itu telah memberi tekanan kepada rakyat yang semakin merasai bahawa ekonomi Indonesia di bawah kepimpinan Gus Dur bukannya semakin pulih tetapi semakin parah.

Sebab itulah terdapat sekurang-kurang sembilan pertubuhan kerajaan mengancam akan mengadakan demonstrasi besar-besaran di Jakarta seandainya kenaikan itu diteruskan.

Ketua Bahagian Penerangan Polis Metro Jaya-Jakarta, Mejar Jeneral Anton Bachrul Alam berkata, pihaknya telah mengetahui rancangan berkenaan yang bertujuan untuk mencegah kenaikan itu dan mencetuskan rusuhan di Jakarta.

Sehubungan itu, pihak polis telah mengerahkan 42,000 anggota polis untuk membuat kawalan di seluruh kota berkenaan bagi memastikan kenaikan itu tidak mencetuskan kekacauan.

Walaupun akhirnya kenaikan itu ditunda namun ini tidak dapat menghapuskan keraguan dan rasa tidak percaya rakyat kepada kemampuan Gus Dur dan kabinetnya untuk memulihkan ekonomi Indonesia.

Kenaikan semua jenis bahan sama ada elektrik, telefon atau minyak telah menunjukkan dengan jelas bahawa ekonomi negara itu masih berada di paras yang membimbangkan.

Indonesia hakikatnya pada pandangan mereka tidak menunjukkan tanda-tanda akan pulih daripada krisis ekonomi yang dideritainya sejak tahun 1997, malah semakin buruk.

Kenyataan menteri-menteri ekonomi Gus Dur yang menyatakan Indonesia semakin pulih, hakikatnya adalah satu omong kosong semata-mata bagi menutup kegagalan kepimpinan Presiden Indonesia itu.

``Pemimpin Indonesia sering mendakwa negara itu semakin menunjukkan tanda-tanda pemulihan tetapi ia hanya menimbulkan keraguan di kalangan rakyat kerana kehidupan mereka semakin terhimpit.

``Bagi rakyat, mereka tidak peduli soal pertumbuhan, apa yang penting ialah apa yang mereka dapat dan apa yang lebih menyakitkan hati, mereka terpaksa merasa kepahitan berikutan semakin banyak harga keperluan asas yang naik,'' kata seorang diplomat yang bertanggungjawab di bahagian ekonomi bagi sebuah kedutaan asing di Jakarta.

Oleh itu apabila Gus Dur merombak pasukan kabinet bagi ekonomi, kononnya atas alasan bagi memenuhi sasaran tertentu ia dipandang sinis oleh pelbagai pihak.

Ini kerana mereka melihat tindakan itu hanya bermotif politik semata-mata demi untuk menyelamatkan kedudukan Gus Dur yang kini semakin terancam berikutan langkah Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) mengadakan sidang istimewanya pada 1 Ogos ini.

``Adalah sesuatu yang mustahil dalam tempoh tidak sampai dua bulan Gus Dur akan mampu memulihkan ekonomi Indonesia dengan memecat Menteri Kewangan dan membuat pelantikan baru bagi jawatan Menteri Penyelaras Ekonomi, Kewangan dan Industri,'' kata pengamat ekonomi terkenal Indonesia, Sri Mulyani.

Apa yang menimbulkan persoalan ialah rombakan kabinet yang melibatkan menteri di bahagian ekonomi ini dilakukan ketika Gus Dur sedang bertarung mempertahankan kekuasaannya.

``Ia hanya tindakan untuk menunjukkan kepada rakyat kononnya Gus Dur memandang serius soal ekonomi tetapi hakikat semua itu hanya sandiwara beliau,'' kata seorang ahli perniagaan.

Dalam rombakan itu, Gus Dur memecat Menteri Kewangan, Prijadi Praptosuhardjo dan menurunkan pangkat Rizal Ramli daripada Menteri Penyelaras Ekonomi, Kewangan dan Industri bagi menggantikan Prijadi.

Oleh itu, jika sebelum ini Gus Dur memberi alasan bahawa pemecatan Prijadi dilakukan kerana menteri berkenaan tidak mampu lagi bekerjasama dengan `bosnya' Rizal tetapi kenapakah Rizal diturunkan pangkat menjadi Menteri Kewangan.

Tindakan Gus Dur itu jelas menunjukkan bahawa beliau hakikatnya tidak mempunyai alasan yang kukuh kenapa beliau merombak kabinet pada 12 Jun lalu.

``Jika benar Gus Dur ingin mencapai `sasaran' ekonomi yang dinyatakannya, secara keseluruhan semua menteri yang terlibat dalam bidang berkenaan harus dipecat dan bukannya Prijadi seorang sahaja.

``Penurunan pangkat yang terjadi kepada Rizal juga telah membuktikan bahawa menteri itu telah gagal menjalankan tugasnya sebelum ini dan tidak layak lagi berada dalam kabinet,'' kata seorang diplomat ASEAN kepada penulis.

Hakikatnya menurut diplomat berkenaan, sepanjang menjadi Menteri Penyelaras Ekonomi, Kewangan dan Industri, Rizal yang sebelum ini dikenali sebagai pengamat ekonomi paling terkenal di Indonesia ternyata tidak mampu berbuat apa-apa.

``Gus Dur mempertahankan beliau kerana Rizal suatu ketika dahulu merupakan salah seorang yang paling kuat menyokongnya,'' kata diplomat tersebut.

Kini melalui rombakan kabinet itu, semua pihak akan menantikan apakah barisan baru ini yang diketuai oleh Burhanuddin Abdullah yang merupakan Timbalan Gabenor Bank Indonesia yang digantung tugas akan mampu memulihkan Indonesia atau tidak.

Jika berdasarkan kepada tempoh pemerintahan Gus Dur yang dikatakan tidak sampai dua bulan lagi, ternyata sekali kabinet di bahagian ekonomi ini dianggap sedang menjalankan `operasi' yang cukup mustahil.

Walaupun Gus Dur menyedari hakikat ini namun beliau tetap tidak mahu mengakui kelemahan itu, sebaliknya sentiasa yakin bahawa Indonesia akan pulih daripada krisis ekonomi yang dialami.

``Memang benar Indonesia akan pulih tetapi saya fikir ia akan terjadi bukan di bawah barisan kabinet yang diketuai oleh Gus Dur,'' kata seorang pengamat ekonomi dalam satu tulisannya kepada sebuah akhbar tempatan.

Oleh itu, rombakan menteri ekonomi ini ternyata bukanlah satu berita gembira bagi rakyat Indonesia, sebaliknya mereka hanya melihat bagaimana seorang pemimpin yang berkuasa sedang mempermainkan kekuasaan yang dimilikinya.

Keadaan itu sudah tentulah mengecewakan rakyat Indonesia yang pada masa ini boleh dianggap sudah tidak mampu lagi menerima tekanan akibat kesempitan hidup yang berpunca daripada masalah ekonomi.

Atas sebab itulah mereka amat mengharapkan sidang istimewa MPR pada 1 Ogos ini akan mengubah kepimpinan negara itu dan memberi nafas baru kepada Indonesia.

Jika berdasarkan kepada pungutan suara yang dilakukan oleh beberapa media utama di Indonesia adalah jelas rakyat sama sekali sudah tidak yakin bahawa kepimpinan Gus Dur mampu mengatasi masalah ekonomi yang terjadi.

Sebaliknya mereka menganggap semakin lama Gus Dur menjadi Presiden maka keadaan negara itu akan menjadi bertambah parah. Ini kerana berdasarkan kepada pandangan mereka, keadaan ekonomi Indonesia tidak mampu pulih bukan sahaja kerana kegagalan menteri-menteri tetapi kerana sikap Gus Dur sendiri.

Tindakan Gus Dur yang lebih menumpukan perhatian kepada soal mempertahankan kekuasaan sehingga menyebabkan beliau melakukan tindakan kontroversi telah menyebabkan keyakinan pelabur-pelabur asing kepada Indonesia semakin berkurangan.

Lanjutan daripada itulah, pasaran saham dan kedudukan matawang Rupiah kini bukanlah bergantung kepada Gus Dur, sebaliknya kedudukan kedua-duanya semakin kukuh sejak Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) mencapai kesepakatan untuk menghadapkan Gus Dur ke sidang istimewa MPR.

Semua itu berlaku kerana mereka dan mungkin juga sebahagian besar rakyat Indonesia kini semakin yakin bahawa negara itu akan berada dalam keadaan yang lebih baik jika Gus Dur tidak lagi menjadi Presiden negara republik tersebut. - Utusan

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum