2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Mingguan Malaysia 17 Jun 2001

BISIK-BISIK MINGGUAN-AWANG SULUNG

PERTEMUAN DENGAN TUN DAIM
SEJAK meletakkan jawatan yang beliau pegang dalam kerajaan dan UMNO, tercetus bermacam-macam desas-desus tentang Tun Daim Zainuddin.

Ada yang kata beliau mengambil tindakan itu kerana merajuk; ada yang masih percaya beliau `bergaduh' dengan Perdana Menteri.

Desas-desus itu kadangkala menjadi liar - bahawa Tun Daim akan meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen Merbok dan menyertai parti pembangkang.

Yang terbaru, Tun Daim telah ditangkap.

Walaupun tidak yakin akan memperolehnya, Awang berusaha mendapatkan temu janji dengan beliau untuk bertanya sendiri tuan tubuh yang berkenaan. Awang terperanjat apabila mendapat panggilan daripada pembantunya memberitahu bahawa temu janji telah ditetapkan.

Apabila bertemunya pada pagi Rabu lalu, Tun Daim kelihatan relaks, sering ketawa, tapi serius semasa menerangkan beberapa perkara yang Awang tanya.

Pun begitu, Awang dapat mengesan rasa kecewa apabila beliau menyentuh beberapa hal.

Pertemuan itu berlangsung selama sejam - satu tempoh yang agak lama. Semasa menjadi Menteri Kewangan, Tun Daim biasanya memberi masa 20 minit sahaja. Itupun, beliau bercakap sambil tunduk membuat kerjanya. Tapi kali ini, beliau tidak begitu.

Pertemuan itu bukan satu wawancara. Maka isinya, walaupun menarik, tidak dapat disiarkan. Apa pun, Awang yakin Tun Daim tidak akan meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen Merbok, jauh sekali menyertai pembangkang.

Awang meninggalkan pejabat Tun Daim dengan pertanyaan-pertanyaan baru bermain di kepala sungguhpun beliau telah menjawab apa yang Awang tanya.

MISTERI FADZIL JUMPA DOWNER
AWANG masih menggaru kepala memikirkan apakah tujuan sebenar Presiden Pas, Fadzil Noor dan tiga orang lagi pemimpin parti itu terbang ke Sydney untuk bertemu Menteri Luar Australia, Alexander Downer.

Kata Fadzil, pertemuan itu untuk menjelaskan bebe-rapa isu dalaman Malaysia termasuk rawatan Anwar Ibrahim, perundangan, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan hak asasi manusia.

Terfikir Awang betapa kos tambang kapal terbang pergi balik untuk empat orang, penginapan dan makan minum selama enam hari adalah besar. Apakah itu tanggungan parti atau wang kocek mereka sendiri?

Jika wang parti, tentulah besar tujuannya untuk mewajarkan perbelanjaan yang juga besar. Lagipun Pas sentiasa meminta `sumbangan' orang ramai pada setiap ceramahnya.

Jika kata Fadzil pemergiannya sekadar untuk memberikan penjelasan, kenapa dengan Australia sahaja. Apa fasal tidak dengan Arab Saudi, Iraq, Iran dan lain-lain negara Islam? Disebabkan kononnya parti pimpinan Fadzil amat islamik, sepatutnya tempat mengadu hal ialah negara-negara Islam. Barulah sejajar dengan perjuangan Islam Pas.

Kata Fadzil, pertemuan setengah jam dengan Downer diadakan bukan atas permintaan Australia, tetapi atas kehendak Pas. Setahu semua rakyat Malaysia, antara negara dunia yang mempunyai rekod hubungan yang paling buruk dengan kita ialah Australia.

Secara kebetulan, Australia menjadi tuan rumah Persidangan Ketua Kerajaan Negara-Negara Komanwel (CHOGM) yang akan diadakan di Brisbane pada Oktober tahun ini.

Maka timbul pertanyaan apakah Australia dipohon supaya berbuat sesuatu untuk kepentingan pembangkang di Malaysia melalui CHOGM?

Menurut Fadzil, Australia tidak berminat untuk memberi sokongan kepada Pas dan pakatan pembangkang dalam menangani `beberapa' isu di Malaysia. Kenapa `beberapa' isu sahaja dan tidak `semua' isu?

Dalam hal ini, molek benar jika kerajaan Australia mengeluarkan kenyataan rasmi kepada kerajaan Malaysia kerana mereka telah mengadakan perbincangan dengan pihak pembangkang. Sepatutnya segala hal yang berkaitan Malaysia hendaklah dibincangkan de-ngan kerajaan yang dipilih oleh rakyat Malaysia.

Jika Australia berdiam diri, eloklah Wisma Putra bertanya khabar. Berdasarkan rekod hubungan Malaysia-Australia yang lalu, tidak wajar dalam hal seumpama ini kita juga membisu.

Kata Fadzil, perjumpaan dengan Downer hanya sebagai kunjungan hormat antara parti pembangkang itu dengan kerajaan Australia.

Setahu Awang, membuat kunjungan hormat ke luar negara bukanlah amalan biasa Pas walaupun para pemimpin Pas dulu secara peribadi kerap pergi ke beberapa negara Islam di Asia Barat. Apakah kunjungan Fadzil ke Australia merupakan permulaan perubahan dasar luar Pas?

Memanglah umat Islam dianjurkan berbaik-baik de-ngan sesiapa sahaja. Tetapi kalau tiba-tiba mahu berbaik-baik dengan negara yang pernah menghina pemimpin negara kita, tentulah timbul banyak syak wasangka. Tidak tahulah sama ada Pas sedang berusaha untuk membawa hubungan Australia dan Malaysia ke satu dimensi baru yang lebih erat dan dinamik.

Awang menimbulkan pelbagai pertanyaan ini kerana tidak mahu menyimpan syak wasangka. Disebabkan pokok bergoyang, tentulah ada angin yang meniupnya. Biarlah kita berterus terang.

SIAPA ARAH BATALKAN PETISYEN?
SELAIN ketua-ketua hakim negara, sebenarnya tidak banyak nama hakim yang kekal dalam ingatan orang-orang biasa. Sebabnya, amat jarang hakim terlibat dalam kontroversi atau peristiwa yang mendapat liputan besar-besaran media.

Awang sendiri, apabila melayangkan minda sejenak ke kotak ingatan, menjelma hanya beberapa nama.

Hakim Yeop Sani diingati kerana memulakan tradisi memakai songkok dan membuang wig yang merupakan warisan hakim-hakim British.

Kemudian menjelma wajah Hakim Harun Hashim yang membuat keputusan mengharamkan UMNO. Walaupun dari semasa ke semasa beliau juga membuat kenyataan yang mudah mendapat perhatian umum, keputusan mengharamkan UMNO itu adalah satu peristiwa besar dalam sejarah politik Malaysia.

Seterusnya muncul muka Hakim Augustine Paul dengan komen masyhurnya ``tidak relevan.'' Beliau adalah hakim yang pertama mendapati Anwar Ibrahim bersalah.

Yang paling segar dalam ingatan ialah Hakim Muhammad Kamil Awang kerana mendedahkan betapa beliau menerima panggilan telefon daripada `seorang atasannya' supaya membatalkan petisyen pilihan raya Likas, di Sabah.

Kontroversi yang dicetuskan oleh pendedahan yang dibuat dalam keputusan penghakimannya masih bergema kerana identiti pemanggil itu belum didedahkan secara `rasmi'.

Nampaknya teka-teki itu lebih cenderung untuk tidak dijawab dengan tepat kerana Hakim Kamil sendiri enggan menjawabnya, malah tidak mahu membuat laporan polis.

Bosnya Ketua Hakim Negara, Mohamed Dzaiddin Abdullah yang turut diberitahu secara bertulis nama pemanggil berkenaan juga menu-tup mulut kerana tidak mahu mengganggu siasatan yang dijalankan oleh polis.

Polis pula menjalankan siasatan berdasarkan laporan yang dibuat oleh pegawainya sendiri. Apakah siasatan itu juga akan berakhir dengan tidak menjawab pertanyaan?

Seperti kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Rais Yatim, yang juga seorang peguam, bukannya mudah hendak membuktikan kesahihan identiti pemanggil berkenaan.

``Bagaimana mahu memastikan siapa pemanggil berkenaan jika kita tidak merakamkan suaranya? Membuktikannya adalah satu masalah teknikal,'' katanya.

Malah, jika ada rakaman suara pemanggil berkenaan, adakah ia boleh diterima pakai sebagai bukti di mahkamah. Adakah mengintip suara atau bugging dibenarkan oleh undang-undang di Malaysia?

Sebaliknya, suara manusia juga tidak sukar untuk ditiru. Seorang pelawak, Yusof Chong boleh meniru suara dan lagak kebanyakan menteri di Malaysia.

Silap gaya, orang yang berkenaan boleh membuat tuntutan saman malu (bilion ringgit?) terhadap pihak yang mendedahkan namanya.

Kelihatan segalanya kini terserah kepada pihak polis. Dan pihak polis juga terpaksa bergantung kepada kenyataan yang diambil daripada Hakim Kamil yang siang-siang lagi enggan membuat laporan.

Selagi tidak mendapat jawapan yang pasti daripada hasil siasatan polis, umum akan mem-buat andaian berdasarkan kenyataan pihak-pihak berkenaan yang dilaporkan oleh akhbar dalam tempoh seminggu lalu. Dan andaian semua orang mungkin sama.

KHIR PEJUANG TULISAN JAWI
TIDAK ramai orang yang berminat dengan tulisan jawi, apatah lagi mahu mempertahan dan menyuburkannya. Turut berada dalam kelompok yang kecil itu ialah Menteri Besar Selangor, datuk seri Dr. Mohd. Khir Toyo.

Awang mengangkat songkok kepadanya kerana amat sedikit kalangan generasi muda kini yang tahu membaca dan menulis jawi. Mohd. Khir yang boleh dianggap pemimpin muda bukan sekadar tahu membaca dan menulis tulisan jawi, beliau juga memperjuangkan survival tulisan warisan bangsa Melayu itu.

Selangor di bawah pimpinannya adalah kerajaan negeri yang pertama memberikan insentif pengecualian cukai iklan bagi papan tanda yang menggunakan tulisan jawi.

Tulisan jawi juga akan digunakan pada papan nama jalan di seluruh Selangor, di samping pada papan tanda pejabat.

Beliau mengisytiharkan komitmennya itu ketika merasmikan Bengkel Akhbar Jawi Dalam Kelas (Ajak) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Khamis lalu.

``Orang-orang Melayu tidak harus merasa malu dan segan menulis jawi kerana ia adalah warisan budaya bangsa,'' katanya.

Bengkel itu dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Melayu Pusat Bahasa dan Jabatan Pendidikan Seni Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM dengan kerjasama akhbar Utusan Melayu dan Persatuan Pencinta Tulisan Jawi Malaysia (Penjawim).

Walaupun hari itu bukan Jumaat, Mohd. Khir adalah satu-satunya pemakai baju Melayu pada majlis tersebut. Dan warna baju Melayunya adalah merah hati. Maka lebih fahamlah Awang tentang jiwa dan semangat pemimpin muda yang naik secara mendadak dalam arena politik UMNO itu.

Bengkel itu dihadiri oleh wakil-wakil guru dari setiap daerah di Selangor. Selepas dipandu arah di UiTM, mereka akan memperluaskan bengkel tersebut ke daerah masing-masing.

Songkok Awang juga diangkat sebagai tabik kepada Naib Canselor UiTM, Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah selaku penaung bengkel tulisan jawi itu.

Dalam ucapannya, beliau berkata UiTM sebagai `universiti Melayu' akan memartabatkan tulisan jawi di tempat yang sewajarnya. Di samping menjalankan pelbagai program pengembangan melalui pusat bahasanya, UiTM juga akan menggunakan tulisan jawi pada papan nama jalan dan pada pejabat di kampus itu.

Awang melihat langkah-langkah yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri Selangor dan UiTM itu amat realistik.

Ini adalah berdasarkan betapa pelbagai usaha telah dijalankan oleh berbagai-bagai pihak untuk `memartabatkan semula `tulisan jawi yang diguling daripada singgahsananya oleh seorang Menteri Pelajaran pada 60-an.

Berbakul-bakul cadangan seminar telah dikemukakan, termasuk kepada Kementerian Pendidikan yang dianggap pihak paling berautoriti (jika mahu) menyuburkan semula penggunaan tulisan jawi. Namun, tidak muncul tindakan yang berupaya mengangkat kembali tulisan jawi ke martabat dulu.

Bagaimanapun belum ada sesiapa yang mahu berterus terang bahawa dalam masyarakat Malaysia sekarang, tulisan jawi tidak akan dapat dikembalikan ke zaman kegemilangannya dulu. Apa yang boleh dilakukan ialah sekadar mempertahankan satu warisan orang Melayu.

Maka dalam keterbatasan inilah Awang melihat secara realistik bahawa apa yang mahu dilakukan oleh mohd. Khir dan Ibrahim Abu Shah amat besar ertinya. Semoga usaha mereka dicontohi.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum