KOLUMNIS

Mingguan Malaysia 15 April 2001

BISIK-BISIK MINGGUAN-AWANG SULUNG

ERRA, SELAMAT BERJUANG
AWANG tidak dapat menahan diri daripada turut sama mengulas langkah Erra Fazira menyertai UMNO melalui sayap baru parti itu yang dipanggil Puteri.

Pada mulanya Awang terdengar desas-desus bahawa yang akan masuk ialah penyanyi kecil molek, Siti Nurhaliza. Tapi kata Siti, beliau ada platform tersendiri untuk berbakti.

Ada yang berpendapat Siti memilih untuk tidak menyertai Puteri pada masa ini kerana hendak menjaga hati para peminatnya yang begitu ramai. Ini tidak menghairankan kerana beliau penyanyi paling hebat, paling diminati dan dipercayai, paling mahal bayarannya pada masa ini.

Mungkin Siti, yang lemah lembut dan bersopan santun itu, tidak mahu kehilangan peminat sekiranya beliau menyertai Puteri - perhitungan munasabah bagi seorang yang business-minded.

Orang bisnes lazimnya tidak mahu kecondongan politik mereka diketahui umum. Mereka berbaik dengan semua dan cuba kelihatan memberi sokongan kepada semua. Yang masuk bisnes melalui saluran politik, itu lain cerita.

Ternyata Erra mempunyai perhitu-ngan tersendiri. Kepadanya, Awang ucapkan selamat berjuang.

TANGKAPAN ISA
DI Bukit Aman, polis sedang menyoal siasat tujuh anggota gerakan reformasi yang ditangkap minggu lalu berhubung apa yang disifatkannya sebagai pakatan sulit untuk mencetuskan demonstrasi jalanan bercorak militan.

Di luar ibu pejabat polis itu, mereka yang mengambil peduli sedang menentang atau membahaskan sama ada ketujuh-tujuh aktivis itu wajar ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membolehkan penahanan tanpa bicara.

Dalam pada itu, tidak kurang juga yang menganggap tindakan polis itu sebagai perlu mengambil kira suasana dalam negara sekarang ini.

Undang-undang tersebut memberi kuasa kepada polis menahan mereka selama 60 hari. Selepas itu polis akan membuat perakuan kepada Menteri Dalam Negeri. Dua perkara boleh berlaku - mereka dibebaskan atau ditahan bagi tempoh yang akan ditentukan.

Bagi kaum keluarga dan sahabat handai serta rakan-rakan seperjuangan mereka yang ditahan itu, penggunaan ISA tentulah suatu yang memedihkan dan tidak adil.

Pun begitu, terdapat pandangan bahawa kerajaan terlalu berlembut dan sepatutnya sudah lama bertindak tegas. Malah, ada yang menganggap sikap tidak tegas kerajaan itulah yang membuat ia tidak henti-henti dicabar.

Teringat Awang kepada Operasi Lalang pada Oktober 1987 di mana kira-kira 100 orang termasuk pemimpin parti memerintah ditahan di bawah ISA kerana mengganggu gugat kestabilan, ketenteraman dan keselamatan negara.

Tindakan cepat itu bukan sahaja mengembalikan ketenteraman tetapi juga meyakinkan orang ramai terhadap kemampuan kerajaan mengawal keadaan. Ia turut mencerminkan rasa yakin diri di pihak kerajaan.

Dalam menghadapi keadaan kali ini, kerajaan, bagi satu tempoh, kelihatan seolah-olah tidak pasti apa yang hendak dibuat bagi menangani cabaran yang terkeluar daripada batas undang-undang.

Atau, mungkin kerajaan sengaja mengambil sikap berhati-hati dan bersabar selagi keadaan tidak memaksanya mengambil tindakan tegas seperti penangkapan di bawah ISA.

Awang teringat komen-komen yang diucapkan orang apabila berlaku pergaduhan di Kampung Medan. Kalaulah dapat dicegah, bukankah lebih baik daripada mengheret ramai anak muda ke mahkamah?

Polis yang bertanggungjawab terhadap keselamatan tentu ada sebab untuk menahan mereka di bawah ISA. Dalam perkara ini kita kenalah bergantung kepada kebijaksanaan mereka.

Sementara itu, langkah membebaskan mereka yang ditahan sudah pun diambil melalui prosedur mahkamah. Polis akan dikehendaki mempertahankan tindakan mereka. Gambaran lebih jelas akan terbit.

BILA MENGINTIP MENJADI SATU HAK
KEPADA Amerika Syarikat, mengintip orang adalah satu hak. Sebab itu ia akan terus mengintip China menggunakan pesawat canggihnya walaupun sudah berlaku perlanggaran udara dekat pulau Hainan yang mengorbankan nyawa se-orang juruterbang China.

Seperti biasa, Amerika menganggap kegiatan tersebut tidak salah kerana tujuannya adalah baik iaitu untuk mengumpul maklumat bagi tujuan keamanan dan kestabilan dunia serta manusia yang menduduki muka bumi ini. Malah, selepas ini ia akan berbincang dengan China bagaimana kegiatan mengintip itu dapat dijalankan dengan lebih selamat.

Awang tertanya-tanya apa akan berlaku sekiranya China menembak pesawat intip Amerika dalam kejadian pada 1 April itu? Ini boleh berlaku. Kita tentu masih ingat bagaimana Rusia menembak sebuah pesawat awam Korea Selatan mengorbankan kesemua penumpangnya termasuk seorang diplomat Amerika. Ada teori mengatakan pesawat itu keluar dari laluannya kerana hendak mengintip. Mengintip untuk siapa?

Rusia juga pernah menembak jatuh pesawat intip Amerika jenis U-2 pada tahun 1960.

Dua puluh empat orang anak kapal pesawat EP-3E yang terpaksa membuat pendaratan cemas di lapangan terbang tentera udara China di pulau Hainan itu boleh menganggap diri mereka cukup bernasib baik kerana dibebaskan dengan begitu cepat (selepas 11 hari).

Mereka tentunya sedar bahawa mengintip adalah kesalahan besar, di mana-mana pun. Dulu-dulu, pengintip (spy) biasanya dihukum tembak. Tapi dalam zaman moden ini, mereka dipenjarakan bagi tempoh yang lama.

Di China sendiri hukuman mati masih dikenakan ke atas mereka yang didapati bersalah kerana mengintip. Pada Disember tahun lalu, se-orang ahli perniagaan Amerika, Edmond Pope, dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dengan kerja berat oleh sebuah mahkamah di Moscow kerana kesalahan mengintip.

Di Amerika juga kesalahan mengintip membawa hukuman berat. Dalam satu kes terbaru, pihak pendakwa sedang berusaha mengenakan hukuman mati ke atas bekas agen FBI, Robert Hanssen, yang dituduh menjadi spy Rusia.

Dalam pada itu, Awang menggeleng kepala semasa membaca laporan yang menyebut Amerika menganggap pesawat intipnya yang mendarat di pulau Hainan sebagai sebahagian kedaulatannya dan tidak boleh disentuh oleh China.

Sekadar bertanya, bagaimana pula dengan kedaulatan China apabila pesawat Amerika itu mendarat tanpa kebenaran walaupun ia dalam keadaan kecemasan?

Dan sekadar bertanya juga, bagaimana dengan insiden di mana pesawat Amerika mengebom (tersilap) Kedutaan China di Belgrade dua tahun lalu menyebabkan tiga orang mati dan 27 ce-dera?

HEBATNYA PROTON WAJA
IBARAT orang sedang bercinta, menunggu idaman hati bukan masalah besar walaupun ia mungkin suatu penyiksaan. Ada yang sanggup menunggu seribu tahun kerana tiada lain yang boleh mengganti.

Analogi ini boleh digunakan terhadap kereta nasio-nal Proton Waja yang ternyata menjadi idaman ramai. Walaupun terpaksa menunggu lama, ada yang sanggup meneruskan penantian itu sungguhpun terdapat tawaran untuk mengembalikan deposit mereka.

Menurut Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) para pembeli sanggup menunggu lama untuk mendapatkan Proton Waja dan tidak menyambut tawaran menukar model atau mengambil semula deposit mereka.

Pengarah Urusan EON, Adzmi Abdul Wahab tentu orang paling gembira hari ini. Tiada apa yang lebih menggembirakan seorang penjual apabila pembeli sanggup menunggu barang jualannya.

Bagi Awang, apa yang sedang berlaku itu sekali lagi membuktikan langkah menceburi industri otomobil yang pernah disifatkan sebagai `langkah orang gila' sesungguhnya suatu pandangan jauh. Dalam dunia hari ini dan akan datang, hanya yang berani dan `gila' akan berjaya.

Menurut EON, walaupun pembeli diberi dua pilihan itu tetapi mereka tetap memilih model terbaru Proton itu yang dilengkapi sistem pemanduan Lotus dan lain-lain ciri menarik.

Kisah penantian Proton Waja menjadi tajuk berita beberapa hari lalu ekoran sungutan orang ramai yang tidak sabar menunggu kereta tempahan mereka itu. Mereka merasakan adalah tidak adil bagi EON memegang deposit mereka bagi tempoh terlalu lama.

Sebenarnya, mereka mahu kereta yang mereka tempah, bukan duit deposit itu. Begitulah halnya bila sesuatu barang itu baik dan harganya berpatutan.

Nampaknya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Fomca tidak payah lagi menggesa supaya pembeli yang tidak menerima kereta mengikut tempoh yang dijadualkan diberi pilihan menukar model atau mengambil balik deposit.

Untuk makluman pembaca, Proton Waja menerima 16,000 tempahan dalam tempoh dua minggu pelancarannya pada 31 Ogos tahun lalu. Ia terus ditempah walaupun selepas pembeli dimaklumkan bahawa mereka perlu menunggu antara lapan hingga sembilan bulan.

Kini terdapat 18,000 pembeli yang masih menunggu kereta idaman mereka, memaksa pengeluarnya bekerja sepanjang masa untuk memenuhi tempahan. Proton kini mengeluarkan antara 4,000 hingga 5,000 unit Proton Waja setiap bulan.

Awang harap kejayaan ini tidak akan melekakan pengeluar dan pengedar Proton Waja. Kesabaran pembeli jangan diambil mudah kerana kesabaran ada hadnya, walaupun seribu tahun.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi